fbpx
Now Reading
Penjelasan ‘Cikgu Zafrul’ Tentang Beza MOU & Pelaburan Diluluskan Buat Ramai Tertarik [Video]

Penjelasan ‘Cikgu Zafrul’ Tentang Beza MOU & Pelaburan Diluluskan Buat Ramai Tertarik [Video]

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul, menegaskan bahawa permohonan pelaburan pasti tidak akan diluluskan sama sekali jika syarikat hanya menghantar MOU.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Jika anda biasa mengikuti berita atau perkembangan perniagaan dalam negara, pasti anda pernah mendengar terma-terma seperti Memorandum Persefahaman (MOU) dan pelaburan yang diluluskan.

Bagi mereka tanpa pengetahuan asas perniagaan atau ekonomi, tidak mustahil jika definisi terma-terma tersebut disalah ertikan.

Namun penting untuk faham bahawa terdapat perbezaan yang ketara antara MOU dan pelaburan yang telah diluluskan.

MOU Hanya Persetujuan Antara Pihak Untuk Menjalankan Sesuatu

Menerusi video informasi yang dimuat naik di Instagram, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, tampil menjelaskan mengenai perbezaan MOU dan pelaburan diluluskan.

Dengan memainkan watak sebagai seorang guru, beliau bertanya kepada ‘murid-muridnya’ tentang maksud pelaburan yang diluluskan.

Namun kesemua mereka memberi jawapan yang salah, termasuk menjelaskan pelaburan diluluskan sebagai keinginan syarikat untuk menjalankan pelaburan.

Sebaliknya, jawapan tersebut sesuai bagi menghuraikan definisi MOU, iaitu persetujuan tanpa ikatan antara dua atau lebih pihak untuk menjalankan suatu kerjasama.

MIDA Bertanggungjawab Meluluskan Permohonan Pelaburan Di Dalam Negara

Tengku Zafrul dalam pada itu menjelaskan bahawa definisi pelaburan diluluskan adalah apabila Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan permohonan syarikat untuk melabur di Malaysia.

Tambah beliau lagi, MOU yang dimeterai belum boleh dianggap sebagai satu pelaburan yang diluluskan.

Syarikat Perlu Mohon Lesen Pengilang Dahulu Sebelum Mohon Bagi Pelaburan

Jelasnya lagi, permohonan syarikat untuk menjalankan aktiviti perniagaan diluluskan di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975.

Syarikat yang mahu memohon lesen perkilangan perlulah mempunyai dana pemegang saham sekurang-kurangnya sebanyak RM2.5 juta atau menggaji 75 orang dan ke atas pekerja sepenuh masa.

Tengku Zafrul menjelaskan bahawa syarikat yang terlibat perlu kemukakan permohonan Lesen Pengilang terlebih dahulu kepada MIDA.

Dokumen-dokumen yang diperlukan bagi permohonan tersebut adalah seperti berikut:

  • Butiran syarikat
  • Butiran industri
  • Lokasi projek
  • Projek atau produk yang dihasilkan
  • Tempoh perlaksanaan projek
  • Kos tahunan projek
  • Butiran pemegang saham
  • Ekuiti serta butiran-butiran lain

Senarai Keperluan Bagi Kelulusan Pelaburan

Selain itu, Tengku Zafrul turut berkongsi senarai keperluan dalam mendapatkan kelulusan pelaburan berkenaan.

Pertama adalah jumlah pekerjaan yang akan diwujudkan, serta peratus pekerja yang terdiri daripada pengurusan, teknikal dan berkemahiran tinggi.

Tengku Zafrul berkata ini kerana kerajaan ingin mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi bagi rakyat.

“Kalau semua nak pekerja tidak mahir, dari segi jangka panjang, macam mana negara kita nak maju?” soalnya.

Seterusnya adalah mengenai sumber bahan mentah dan komponen yang digunakan dalam penghasilan.

Menurut Tengku Zafrul, syarikat yang menggunakan komponen dihasilkan dalam negara akan diberi keutamaan. Hal ini adalah kerana ia sekaligus akan dapat meningkatkan hasil syarikat tempatan sedia ada.

Di samping itu, terdapat juga beberapa syarikat baharu yang akan diwujudkan bagi memenuhi keperluan kilang-kilang tersebut, seterusnya dapat mengembangkan ekosistem negara.

Pihaknya juga akan meminta perincian sama ada pasaran dihasilkan bagi eksport atau kegunaan tempatan, serta unjuran pendapatan daripada pelaburan tersebut. Tengku Zafrul menerangkan bahawa pasaran eksport akan dapat meningkatkan pendapatan negara.

Akhir sekali, syarikat yang datang ke Malaysia perlu mempunyai elemen penyelidikan dan pembangunan (R&D) supaya dapat membangunkan teknologi tempatan.

Permohonan Pelaburan Tidak Diluluskan Jika Hanya MOU Dihantar

Daripada perkongsiannya, Tengku Zafrul menyimpulkan bahawa tidaklah mudah bagi sesebuah pelaburan diluluskan memandangkan kesemua aspek yang ditetapkan harus diikuti sebelum syarikat diberi Lesen Pengilang.

Dia menegaskan sekali lagi bahawa permohonan pelaburan pasti tidak akan diluluskan sama sekali jika syarikat hanya menghantar MOU.

“Itulah sebabnya bila orang perleceh data pelaburan diluluskan itu, ‘alah ini setakat baru lulus’, tandanya orang itu tak tahu. Bukan senang kita nak luluskan pelaburan-pelaburan ini.

“Kalau dah susah payah nak penuhi syarat-syarat itu, maknanya syarikat itu memang serius nak melabur ke dalam negara kita,” jelas Tengku Zafrul.

Hanya 1.6% Pelaburan Diluluskan Masih Belum Dilaksanakan

Dalam pada itu, Tengku Zafrul menerangkan bahawa bagi tempoh 2021 hingga Mac 2024, hanya 1.6% sahaja projek yang masih belum dilaksanakan sehingga kini.

Sebaliknya 98.4% adalah projek yang telah siap, sedang dilaksanakan atau dalam perancangan.

“Statistik ini menunjukkan apabila pelaburan diluluskan, memang tunggu masa nak buat je. Sangat jarang pelaburan yang diluluskan tidak dilaksanakan.

“Lepas ini, kalau orang perleceh lagi pelaburan yang diluluskan, tunjuk kat dia orang statistik ini,” tegas Tengku Zafrul.

Pengguna Media Sosial Saran Menteri Lain Turut Hasilkan Kandungan Sedemikian

Menjenguk ke ruangan komen, perkongsian oleh Tengku Zafrul itu sememangnya mendapat perhatian ramai pengguna media sosial.

Ramai yang menyifatkan hantaran tersebut berilmiah dan mahukan lebih banyak kandungan sedemikian daripada ‘Cikgu Zafrul’.

Malah, seorang individu berpendapat bahawa menteri-menteri lain juga perlu menggunakan pendekatan sama dengan menghasilkan kandungan sedemikian bagi menerangkan fungsi dan konsep berkaitan kepada rakyat.

Ada juga yang berseloroh berkata murid-murid pasti tidak sempat berasa mengantuk di dalam kelas tersebut apabila mendengar bunyi libasan rotan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.