Video Wanita Kupas Durian Tak Pakai Sarung Tangan Cecah Lebih 2 Juta Tontonan!
Wanita yang dikenali sebagai Wenny Ooi itu dilihat membelah sebiji durian jenis Black Thorn yang bersaiz lebih 4 kilogram.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Apabila membeli durian dari gerai, selalunya mesti buah tersebut akan dikupas siap-siap oleh penjual demi memudahkan pelanggan.
Biasanya, rata-rata tukang buka durian pastinya seorang lelaki. Bukan apa, tetapi kerana kulitnya yang tebal dan berduri memerlukan tenaga lebih kuat untuk dikupas.
Namun lain pula bagi seorang wanita yang dilihat secara bersahaja mengupas durian dengan pantas.
Wanita Kupas Durian Black Thorn Seberat 4 Kg
Wanita yang dikenali sebagai Wenny Ooi itu dilihat membelah sebiji durian bersaiz besar dengan berat lebih 4 kilogram. Durian itu juga difahamkan berharga lebih RM300.
Di ruangan komen, Wenny menerangkan bahawa durian itu ialah jenis Black Thorn atau Duri Hitam yang sememangnya tinggi nilainya.
Dia dilihat mengetuk-ngetuk buah durian itu di antara pangsa sebelum mengupas kulitnya. Peminat durian pasti kagum melihat isinya yang cantik!
Untuk info, lokasi kedai itu, Durian Wenny Kg Guar Kepah, terletak di Seberang Perai, Pulau Pinang.
Wanita Raih Pujian Ramai Kerana Kupas Kulit Durian Tanpa Pakai Sarung Tangan
Apa yang hebat lagi, Wenny dilihat membelah kulit durian tersebut tanpa memakai sarung tangan atau melapik menggunakan kain sama sekali.
Katanya, dia berbuat sedemikian kerana sukar jika perlu membuka dan memakai semula sarung tangan acap kali.
Perkara ini sudah tentu meraih pujian orang ramai memandangkan dia boleh memegang duri pada buah itu dengan begitu sahaja.
Namun beberapa pengguna TikTok masih meminta Wenny agar berhati-hati kerana takut terluka akibat dicucuk duri tersebut.
Ramai Minat Dengan Durian Black Thorn Walaupun Harga Mahal
Selain daripada kehebatan Wenny mengupas durian tanpa memakai sarung tangan, orang ramai juga tertarik dengan Black Thorn tersebut kerana harganya yang mahal.
“Mampu tengok saja amoi. Durian mahal,” kata seorang individu.
Mereka berkongsi terdapat Black Thorn yang dijual dengan harga RM55 sekilogram, malah setinggi RM120 bagi setiap kilogram.
Namun Wenny menerangkan dia juga ada menjual Black Thorn dengan harga RM35 sekilogram, mungkin bergantung kepada gred buah tersebut.
Dalam pada itu, seorang pengguna media sosial berkata dia ada menanam durian Black Thorn dan berniat untuk menjual dengan harga yang murah berbanding ditawarkan di pasaran sekarang agar dapat dinikmati oleh mereka yang tidak berkemampuan.
Durian Black Thorn Dihasilkan Di Pulau Pinang
Untuk info, Black Thorn menjadi popular sekitar tahun 2010 setelah ia dihasilkan menerusi kacukan dua jenis durian.
Mungkin ramai yang tidak tahu, tetapi pokok induk durian Black Thorn ini terletak di Kampung Lima Kongsi, Sungai Jawi, Pulau Pinang dan kini sudah berusia lebih 40 tahun.
Dari situlah durian Black Thorn mula tersebar ke seluruh Malaysia, malah sehingga ke Thailand, Vietnam, Indonesia dan China.
Peniaga durian tempatan, Leow Cheok Kiang, diiktiraf sebagai pemilik pokok induk durian Black Thorn oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang mendaftarkan varieti itu dengan kod D200.
Berbanding Musang King, isi Black Thorn mempunyai tekstur yang lebih ringan dan tidak begitu tebal, sekaligus meletakkannya di tempat pertama dalam kategori durian premium.
Baca Artikel Berkaitan: Anda Hantu Durian? Ini Varian Durian Yang Kurang Dikenali Tapi Kena Cuba
Baca Artikel Berkaitan: Durian Kampung, IOI, Udang Merah & 7 Lagi Jenis Durian Yang Popular Di Malaysia