Fahmi Reza Disoal Siasat Polis Berhubung Satira Musa Aman, Dakwa Laporan Dibuat MCMC
Fahmi berkata dia disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebut sahaja nama Fahmi Reza, pasti ramai yang mengenali aktivis dan kartunis kontroversi ini yang sering membuat karya grafik satira mengenai isu di Malaysia yang melibatkan individu ternama serta golongan berpengaruh.
Fahmi yang pernah melakar bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai badut itu sememangnya sering dipanggil dan ditahan pihak polis untuk disoal siasat berhubung karya-karya satiranya.
Pun begitu, perkara terbabit sedikit pun tidak pernah mengubah pendiriannya untuk terus membuat satira-satira membabitkan individu berpengaruh dan ahli politik di negara ini.
Fahmi disoal siasat berhubung satira Koruptor No.1 Sabah
Terbaharu, Fahmi telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini (19 Disember) untuk disoal siasat berhubung satira ‘Koruptor No.1 Sabah’.
Dalam karya tersebut, kelihatan imej bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Musa Aman seakan sedang mengigit wang kertas RM100 selain terdapat teks berwarna merah yang mendakwa Musa sebagai perasuah nombor satu di Sabah.
Menerusi satu ciapan yang dimuat naik di akaun X miliknya, Fahmi berkata siasatan itu tamat lebih awal berbanding jangkaannya dan dia tidak ditahan polis.
“Aku baru habis ‘dating’ dengan polis. Date habis awal, tak perlu bermalam di lokap Dang Wangi malam ini,” ciapnya.
Disiasat mengikut Akta Hasutan, dakwa laporan dibuat MCMC
Fahmi dalam masa yang sama mendakwa dia diberitahu bahawa laporan untuk siasatan dijalankan terhadapnya dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Susulan itu, Fahmi berkata dia disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
“Peringatan kepada MCMC dan Kerajaan Madani, mengkritik pemerintah dan penguasa dengan seni dan satira bukan satu jenayah.
“Kalau tidak mahu dibadutkan rakyat, jangan jadi pemerintah yang bangs*t,” ciapnya lagi.
Peringatan kepada @MCMC_RASMI & Kerajaan MADANI…
— Fahmi Reza (@kuasasiswa) December 19, 2024
Mengkritik pemerintah & penguasa dengan seni & satira bukan satu jenayah. Kalau tak mahu dibadutkan rakyat, jangan jadi pemerintah yang bangsat!
Solidariti dengan semua rakyat Sabah yang melawan koruptor! #SatireIsNotACrime pic.twitter.com/OaGgYXFdUx