fbpx
Now Reading
UM Sah Terima Laporan Dakwaan Pensyarah Kongsi Gambar Bogel

UM Sah Terima Laporan Dakwaan Pensyarah Kongsi Gambar Bogel

UM bagaimanapun berkata tidak dapat mengulas lanjut mengenai dakwaan gangguan seksual oleh ahli akademik memandangkan siasatan telah diserahkan kepada pihak berkuasa.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Gangguan seksual masih banyak berlaku dalam kalangan masyarakat yang terjadi terhadap mangsa tidak kira umur mahupun jantina.

Apa yang lebih parah lagi apabila gangguan sedemikian dilakukan oleh mereka yang mempunyai pangkat terhadap orang bawahan dalam suatu organisasi, sejurus itu menyukarkan mangsa untuk membuat laporan akibat perbezaan dinamik kuasa.

Namun begitu, mangsa digalakkan untuk tetap membuat laporan atas insiden sedemikian kerana terdapat banyak peruntukan undang-undang yang diwujudkan bagi menangani perkara tersebut.

Kelab Feminisme UM Lapor Dakwaan Gangguan Seksual Ke Atas Pelajar

Semalam (18 Disember), pihak Universiti Malaya (UM) membuat pengesahan menerima laporan yang mendakwa seorang ahli akademik berkongsi gambar bogel dirinya dengan penuntut dan melakukan gangguan seksual.

Laporan yang dikatakan pada mulanya dilakukan oleh Kelab Feminisme UM (UMFC) telah kemudiannya dilaporkan oleh beberapa agensi media.

“Ketika ini, UM tidak dapat mengulas lanjut memandangkan ia sudah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan.

“UM akan sentiasa memantau perkembangan kes dan bersedia memberikan kerjasama kepada pihak bertanggungjawab bagi memastikan isu ini ditangani secara betul,” katanya.

Kelab Feminisme UM Dakwa Ada Bukti Yang Cukup

Menerusi satu hantaran di Instagram, UMFC bagaimanapun meluahkan rasa kecewa dengan respon yang diberikan oleh pihak pentadbiran UM.

Tindakan UM yang enggan mengulas lanjut insiden tersebut disifatkan sebagai usaha untuk menolak akauntabiliti dan menghentikan kritikan lanjut.

Tambah kenyataan itu lagi, beberapa pelajar telah mengemukakan aduan mengenai insiden berkenaan, tetapi seolah-olah diketepikan.

UMFC juga dimaklumkan bahawa profesor yang dituduh telah membuat laporan polis yang mendakwa dia telah difitnah.

Mereka bagaimanapun mendakwa mempunyai bukti yang secukupnya bagi mengesahkan dakwaan beberapa pelajar yang telah menghadapi gangguan seksual oleh pensyarah tersebut.

Gambar Bogel Yang Diterima Dipamerkan Di Sekitar Kawasan Kampus

Terdahulu, media melaporkan insiden berkenaan menjadi pencetus kepada Kelab Feminisme UM untuk menggesa pihak pengurusan bagi memperketatkan polisi gangguan seksual.

Menurut kelab tersebut, gambar bogel yang diterima dikatakan telah dicetak dan dipamerkan di sekitar kawasan kampus sebagai peringatan kepada penuntut lain sebelum diturunkan segera.

Dakwanya lagi, beberapa ahli akademik lain cuba untuk melindungi pelaku.

Kumpulan pelajar UM pada 17 Disember lalu telah menggesa mangsa yang mendakwa diganggu agar melakukan laporan polis.

PKAUM Gesa Siasatan Dalaman Segera Dijalankan

Dalam masa sama, Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM) turut menggesa agar siasatan dalaman berhubung dakwaan itu dijalankan segera secara teliti dan telus.

“Untuk menepis dakwaan ini dan menjaga keselamatan pelajar dan komuniti kampus kita, tindakan segera oleh pihak pengurusan universiti paling penting,” katanya dalam kenyataan.

“Sekiranya dakwaan itu tidak berasas, pihak pengurusan boleh menyangkalnya dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk meredakan keresahan dan kebimbangan warga kampus,” katanya.

Memetik laporan FMT, persatuan itu turut menerangkan bahawa UM menjadi antara institusi pengajian tinggi pertama dalam negara yang mengamalkan dasar menangani gangguan seksual.

Katanya jika dasar tersebut hanya sebagai tayangan, usaha dan advokasi yang dilakukan untuk melaksanakannya akan menjadi sia-sia.

Tambah PKAUM lagi, dakwaan gangguan oleh profesor terhadap pelajar adalah serius memandangkan ia membabitkan dinamik kuasa tidak seimbang.

Buat Aduan Sekiranya Anda Jadi Mangsa Gangguan Seksual

Jika anda menjadi mangsa jenayah gangguan seksual, kami menggesa agar melakukan aduan yang sekaligus dapat memberi amaran kepada si pelaku.

Sebagai info, Malaysia telah menguat kuasakan beberapa undang-undang terhadap kesalahan gangguan seksual. Antaranya seperti berikut:

  • Akta Antigangguan Seksual 2022
  • Seksyen 354 Kanun Keseksaan: Menyerang atau menggunakan kekerasan dengan niat hendak mencabul kehormatan.
  • Seksyen 509 Kanun Keseksaan: Mengaibkan kehormatan seseorang dengan menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat atau menunjukan apa-apa benda.
  • Seksyen 355 Kanun Keseksaan: Menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak menjatuhkan kehormatan.

Di samping itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga telah mewujudkan Tribunal Anti Gangguan Seksual (TAGS) yang mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan aduan gangguan seksual.

Menerusi TAGS, mana-mana individu yang menjadi mangsa gangguan seksual boleh memfailkan aduan.

Bagi mangsa yang berumur kurang 18 tahun atau seorang yang tidak berkeupayaan, mereka boleh diwakili oleh sahabat wakil atau penjaga ad litem.

Diingatkan juga bahawa ganguan seksual boleh berlaku di tempat kerja. Bagi kes sedemikian, mangsa dinasihati agar membuat aduan kepada jabatan Unit Integriti atau Sumber Manusia, selain melaporkan kepada pihak polis.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.