“Lelaki Hebat” – Ramai Kagum Lihat Kaum Adam Solat Jemaah Dalam Koc KTM [Video]
Difahamkan, kereta api itu sedang dalam perjalanan dari Padang Besar, Perlis menuju ke Butterworth, Pulau Pinang pada awal pagi dan kebanyakan individu yang sedang bersolat itu merupakan pencari rezeki di Pulau Mutiara.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Solat merupakan tiang agama dan ibadah wajib yang perlu dilakukan oleh setiap muslim.
Pentingnya solat ini dapat dilihat apabila pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh individu bergantung kepada keadaan contohnya ketika sakit atau sedang bermusafir. Ini kerana Islam sentiasa memudahkan umatnya.
Oleh sebab itu, individu yang beragama Islam akan tetap mencari jalan walaupun dalam keadaan sukar bagi menunaikan ibadah tersebut.
Solat Subuh Berjemaah Dalam Kereta Api
Itulah yang dilakukan oleh sekumpulan lelaki yang menunaikan ibadah wajib itu dalam sebuah koc kereta api.
Menerusi video yang dikongsikan di TikTok @jamaludinjamaludi77, pengguna berkenaan berkongsikan momen tersebut ketika dia turut sama berada dalam koc Kereta Api Tanah Melayu (KTM).
Apa yang menjadi perhatian adalah lebih sepuluh orang lelaki sedang menunaikan solat subuh secara berjemaah dalam koc tersebut.
Melalui perkongsian itu, dapat dilihat terdapat sejadah yang turut digunakan ketika menunaikan ibadah wajib berkenaan.
Difahamkan, kereta api itu sedang dalam perjalanan dari Padang Besar, Perlis menuju ke Butterworth, Pulau Pinang pada awal pagi dan kebanyakan individu yang sedang bersolat itu merupakan pencari rezeki di Pulau Mutiara.
Individu Bukan Islam Tetap Hormat & Beri Ruang
Jelas pengguna itu lagi menerusi ruangan komen, tiada tempat solat khusus disediakan dalam KTM. Namun, keadaan itu tidaklah dilihat menyusahkan.
Malah, penumpang lain khususnya yang bukan beragama Islam turut menghormati dan memberi ruang kepada golongan tersebut untuk menunaikan solat.
Ramai Kagum & Puji Individu Jaga Kewajipan Solat
Video yang telah mendapat lebih 231,000 tontonan itu nyata mendapat perhatian pengguna media sosial.
Mengintai ke ruangan komen, majoriti mereka meluahkan rasa kagum dan memuji tindakan individu terbabit yang tetap menjaga solat mereka walaupun dalam keadaan tersebut.
Ada juga yang turut berkongsi pengalaman sendiri serta ahli keluarga yang melakukan perkara yang sama ketika berulang alik demi mencari sesuap nasi.
Bukan hanya itu, ada pengguna yang turut mencadangkan agar pihak KTM menyediakan satu kawasan yang khusus atau koc khas untuk penumpang mendirikan solat.
Namun, memetik satu video lama di TikTok, seorang pengguna menjelaskan kebanyakan individu yang solat di dalam komuter akan melakukannya di koc terakhir.
Ini kerana koc tersebut jarang sesak dengan orang ramai berbanding koc di hadapan.
Hukum Solat Dalam Kereta Api & Penentuan Arah Kiblat
Sekadar info, menurut Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menunaikan solat dalam kereta api contohnya seperti ETS adalah dibolehkan.
“Sekiranya seseorang itu merasakan kesukaran untuk solat di dalam kereta api tersebut dan membawa kepada terluputnya waktu solat, maka menurut mazhab Syafi’i, boleh untuknya menunaikan solat hormat waktu di dalam keretapi dan kemudiannya menunaikan solat qadha setibanya dia ke destinasi,” terangnya.
Bagi arah kiblat pula, seseorang itu perlu menunaikan solat menghadap arah kiblat.
Namun ia dikecualikan jika terdapat keuzuran untuk menghadap ke arah kiblat maka dibolehkan menghadap arah yang paling hampir dengan kiblat.
“Namun jika ini juga tidak dapat dilakukan, maka kami syorkan agar solat tersebut diulang semula (i’adah) sekiranya masih berada di dalam waktu ataupun qadha sebaik sahaja sampai ke destinasi sekiranya sudah luput waktu,” jelasnya lagi dalam laman web Maktabah al-Bakri.
Untuk rekod, ini bukanlah video pertama yang tular mengenai penumpang KTM yang terpaksa solat dalam komuter. Malah, sebelum ini turut tular beberapa video yang hampir serupa.
Berikut antara komen pengguna TikTok:
“Semoga Sahabat Komuter Ini Diberkati & Dilindungi Allah SWT”
“Saya Suka Tengok Suasana Ini”
“Pengalaman Saya, Setiap Pagi Akan Subuh Dalam Komuter, Abang-Abang Dalam Tu Dah Macam Keluarga”
“Sepatutnya KTM Sediakan Satu Gerabak Untuk Orang Bersolat Supaya Nampak Lebih Sempurna”
“Aku Bangga Tengok Orang Lelaki Macam Ini, Lelaki Hebat”
Baca Artikel Berkaitan: Video Penumpang Solat Subuh Berjemaah Dalam Tren KTM Raih Pujian Ramai [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Content Ke?” – Rakaman Lelaki Solat Dalam Banjir Cetus Perdebatan Namun Ada Yang Kata Ianya Sah [Video]