Kereta Kemalangan Selepas Beri Laluan Kepada Ambulans Dalam Kecemasan Jadi Perhatian [Video]
Susulan daripada kemalangan tersebut, pengguna itu mendakwa dia dikenakan saman RM300 atas sebab melanggar lampu isyarat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap pengguna seringkali diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan peka ketika berada di jalan raya.
Ia bukan sahaja bertujuan untuk mengelakkan daripada berlakunya kemalangan sebaliknya mahu pengguna peka dan sedar dengan situasi kecemasan contohnya seperti kehadiran ambulans atau pihak berkuasa.
Ini kerana ada segelintir pihak yang dilihat tidak mengendahkan bunyi kecemasan itu dengan tidak memberi laluan kepada pihak berkaitan.
Walaupun ada yang peka dan mengambil langkah dengan berjaga-jaga, ada kalanya kemalangan tetap berlaku atas faktor lain di luar kawalan manusia.
Cuba Beri Laluan Selepas Dengar Bunyi Siren Ambulan Di Lampu Isyarat
Itulah yang berlaku kepada seorang wanita apabila kereta dipandunya berlanggar dengan sebuah kereta lain di persimpangan lampu isyarat hanya kerana mahu memberi laluan kepada ambulans.
Menerusi video yang dikongsikan di TikTok @qilarahmad, dapat dilihat kereta Honda Civic miliknya sedang berada di kedudukan paling hadapan di persimpangan tersebut.
Ketika menunggu lampu isyarat tersebut berubah dari merah menjadi warna hijau, kedengaran bunyi siren ambulans.
Melalui perkongsian tersebut, dapat dilihat pemandu wanita itu cuba memberi laluan dengan menggerakkan kenderaannya ke bahagian sebelah kanan. Namun, ambulans berkenaan masih gagal untuk melepasi laluan tersebut.
Terus Bergerak Ke Hadapan Bagi Laluan Ke Ambulans
Peka dengan keadaan itu, wanita berkenaan dilihat terus bergerak ke hadapan bagi memudahkan ambulans untuk melepasi jalan berkenaan.
Namun, nasibnya tidak baik apabila sebuah kereta yang datang dari kiri telah melanggar keretanya pada ketika itu.
Kedengaran pemandu wanita itu yang sedang sarat mengandung itu menjerit selepas rempuhan berkenaan.
“Masa ini macam tersedar, aku pertaruhkan dua nyawa (tengah mengandung trimester ketiga). Hanya fikir anak je dalam perut, dahla hampir empat tahun TTC untuk dapatkan zuriat,” tulisnya menerusi video tersebut.
Wanita Dakwa Polis Maklumkan Kereta Hanya Boleh Elak Ke Tepi Bukan Ke Hadapan
Susulan daripada insiden tersebut, pengguna itu mendakwa dia dikenakan saman RM300 atas sebab melanggar lampu isyarat.
Ini kerana pihak polis menerangkan kepadanya bahawa dia hanya boleh mengelak ke kiri atau kanan jika mendengar bunyi siren.
Malah disebabkan kejadian itu juga, dia terpaksa menangung kerugian serta trauma apabila mendengar bunyi siren ambulans.
“Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) Insurans daripada 55% jadi 0, daripada sepatutnya jadi RM1,000 jadi RM2,000 bayar untuk renew insurans.
“Betterment (kos tambahan) hampir RM1,000 untuk dapatkan bahagian original sebab kereta dah enam tahun. Nak pergi kerja terpaksa pinjam kereta,” tulisnya lagi.
Difahamkan kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 6.45 petang pada 25 November lalu di Terengganu.
Malah, tujuannya memuat naik video tersebut hanyalah sekadar untuk berkongsi pengalamannya kepada pengguna lain.
“Tiada siapa yang salah, tiada siapa yg betul. Cuma nak bagitahu, anda bagi laluan dekat ambulans ke polis ke, risiko 100% tanggung sendiri,” tulisnya lagi.
Perkongsian Wanita Undang Pelbagai Reaksi
Video yang telah mendapat lebih 360,000 tontonan itu nyata menjadi perhatian pengguna media sosial.
Menjengah ke ruangan komen, masing-masing mempunyai pendapat tersendiri apabila melihat insiden berkenaan.
Kebanyakannya berpendapat wanita itu seharusnya tidak bergerak ke hadapan dan hanya boleh ke kiri atau ke kanan.
Namun, ada juga yang menyalahkan kenderaan yang melanggar kereta wanita itu kerana tidak peka dengan keadaan sekeliling.
Malah, rupanya ramai juga yang baru tahu sebenarnya pengguna hanya boleh bergerak ke kiri atau ke kanan serta menanggung risiko sendiri sekiranya melanggar lampu merah di persimpangan lampu isyarat walaupun hanya mahu memberi laluan kepada ambulans.
Berikut antara komen pengguna TikTok:
“Ke Tepi Je Kak, Jangan Ke Depan, Kami Bawa Ambulans Boleh Agak Ruang Untuk Kami Lepas”
“Ramai Yang Tak Tahu, Sebenarya Kita Tak Perlu Jalan Jika Ada Ambulans Dekat Belakang Yang Buka Siren”
“Baru Tahu, Kalau Ada Ambulans Belakang Kita, Jalan & Kemalangan Tetap Salah Kita Ye”
“Anda Hanya Perlu Beri Laluan, Ke Tepi Saja Ketika Di Lampu Isyarat, Sama Ada Ke Kiri Atau Ke Kanan”
“Kereta Belah Sana Pun Macam Tak Alert Je, Takkan Tak Nampak Atau Tak Dengar”
Baca Artikel Berkaitan: Pemandu Sanggup Masuk Lorong Lain Untuk Beri Laluan Kepada Ambulans Raih Pujian [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Macam Samseng!” – Toyota Camry Halang Laluan Ambulans Buat Netizen Berang [Video]