Kim Seri Akui Kerugian Restoran Ganggu Urusan Pakej Pelancongan, Janji Akan Bayar Ganti Rugi [Video]
Menurut Kim Seri, kerugian itu mula ditanggung sejak Februari lalu berikutan ulasan buruk yang diterima daripada pelanggan mengenai kualiti restorannya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebelum ini, kecoh di media sosial beberapa video individu mendakwa telah menjadi mangsa penipuan pakej percutian ke Korea Selatan yang dikendalikan oleh influencer terkenal, Kim Seri.
Mereka turut mendakwa aktiviti percuitan menjadi kucar-kacir disebabkan pengurusan yang tidak teratur dan sebagainya, malah turut tular video yang memaparkan beberapa individu terkandas di lapangan terbang kerana masalah tiket penerbangan.
Susulan itu, terdapat laporan yang telah dibuat berhubung isu tersebut dan pihak polis mengesahkan telah menerima laporan berkenaan.
Baca Artikel Berkaitan: Didakwa Tipu Pakej Pelancongan Ke Korea Selatan, Polis Sahkan Terima 5 Laporan Terhadap Kim Seri
Kim Seri tampil beri penjelasan, akui kelemahan pengurusan kewangan perniagaan
Terbaharu, Kim Seri tampil menerusi satu siaran langsung di akaun TikTok miliknya pada semalam (22 Disember) untuk memberi penjelasan berhubung isu tular berkenaan.
Dia mengakui kelemahan pengurusan kewangan melibatkan perniagaan restoran miliknya di Korea Selatan, Kimseri Restaurant sehingga mengalami kerugian menjadi punca utama pelbagai masalah timbul pada pakej pelancong yang turut dikendalikannya.
Kim Seri atau nama sebenarnya Seri Azlina berkata, kerugian itu mula ditanggung sejak Februari lalu berikutan ulasan buruk yang diterima daripada pelanggan mengenai restorannya.
Restoran Kimseri di Korea Selatan bertambah rugi hingga Ogos lalu
Menurutnya, perniagaan bertambah rugi pada bulan Ramadan lalu dan berlarutan sehingga musim panas iaitu pada Jun hingga Ogos kerana tiada pelancong yang datang ke Korea Selatan ketika itu.
“Pertama, saya akui kelemahan pengurusan daripada saya sendiri. Kedua, kos-kos yang sentiasa bertambah dari semasa ke semasa dan ketiga masalah kelemahan pengurusan kewangan perniagaan di mana sebab paling besar ialah restoran.
“Semuanya bermula pada Februari, kita alami pelbagai kerugian daripada restoran di mana pelanggan beri pelbagai ulasan mengenai restoran dan bertambah rugi pada Ramadan kerana tiada pelanggan dan berlarutan pada musim panas.
“Jadi, restoran alami banyak kerugian dan kita tanggung daripada masalah bayaran bulanan kedai, gaji, cukai yang sangat tinggi dan pembelian barang-barang mentah. Masalah ini banyak ganggu urusan perniagaan termasuk pakej pelancongan,” katanya.
Kim Seri berjanji akan pulangkan semula wang pelanggan terjejas
Malah sewaktu siaran langsung itu, Kim Seri berjanji akan memulangkan semula wang pelanggan terjejas sebelum atau pada 1 Februari 2025 dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perkara tersebut.
“Saya sedar insiden ini telah menimbulkan kesan mendalam terutama kepada mangsa-mangsa yang tersadai di lapangan terbang yang tentunya mengalami tekanan hasil daripada keputusan saya yang tak berfikir panjang pada waktu tersebut.
“Saya mohon maaf, saya akan bayar ganti rugi dan semua pakej yang saya tunda, saya akan memulangkan semula wang kepada semua yang terjejas dalam tempoh satu bulan lebih lagi,” katanya.
Restoran sudah bertukar milik, TikTok jadi platform Kim Seri cari wang bayar ganti rugi
Berkongsi lanjut, Kim Seri berkata dia akan menggunakan platform TikTok sebagai tempat mencari rezeki untuk membayar semula ganti rugi berkenaan memandangkan restorannya itu telah bertukar milik.
“Jadi, untuk menyelesaikan masalah ini, saya hanya ada satu platform iaitu TikTok di mana Kim Seri Restaurant sekarang sudah bertukar milik dan pakej pelancongan saya juga sudah ditutup selain perniagaan lain turut alami kerugian.
“Saya akan guna TikTok sepenuhnya untuk mencari rezeki dan bermula esok, saya akan cari duit di sini. Saya akan buat ‘live’ untuk berniaga dan ini satu-satunya cara untuk saya cari wang untuk bayar balik,” katanya lagi.