fbpx
Now Reading
[Video] Pelanggan Restoran Di Hatyai Mengamuk, Lepaskan Tembakan Hingga Dua Beradik Jadi Yatim Piatu

[Video] Pelanggan Restoran Di Hatyai Mengamuk, Lepaskan Tembakan Hingga Dua Beradik Jadi Yatim Piatu

Sebuah keluarga sedang menyambut hari jadi di restoran yang terletak di Jalan Nuan Kaew Uthit, Hatyai, Thailand sebelum kedua ibu bapa terkorban akibat tembakan tersebut.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebut sahaja tentang melancong ke luar negara, Hatyai yang terletak di negara jiran pasti menjadi salah satu destinasi pilihan.

Dengan kedudukannya yang dekat, mod pengangkutan yang memudahkan, dan kos rendah, rakyat tempatan tidak perlu membelanjakan wang yang banyak untuk ke sana.

Namun, satu insiden yang berlaku baru-baru ini mungkin akan menyebabkan banyak pihak berfikir dua kali untuk melawat ke Thailand.

Lelaki Tembak Secara Rawak Di Restoran Di Hatyai, Thailand

Satu video yang dikongsi di laman X (@anthraxxx781) menyaksikan situasi getir di sebuah kedai makan di Hatyai, Thailand.

Kelihatan pelanggan di restoran berkenaan bertempiaran melarikan diri daripada seorang lelaki yang memegang senjata api berupa pistol.

Lelaki tersebut dilihat menembak pistolnya secara rawak di dalam restoran tersebut.

Apa yang lebih menyayatkan hati, di suatu sudut kelihatan seorang wanita melindungi anaknya daripada ditembak menggunakan tubuh badannya sendiri.

Lelaki Lakukan Tembakan Rawak Kerana Tidak Puas Hati Pelayan Kemaskan Mejanya

Berdasarkan laporan Bangkok Post, insiden tersebut berlaku sekitar 10 malam Ahad (22 Disember) di kedai makan Khrua Paowana di Jalan Nuan Kaew Uthit.

Serangan oleh sukarelawan pertahanan daerah Hatyai itu menyebabkan dua beradik menjadi yatim piatu apabila kedua-dua ibu bapa terkorban dalam insiden tembakan terbabit.

Menurut saksi kejadian, lelaki yang bernama Akarapon Pamchamnong, 50, datang ke restoran tersebut untuk minum.

Namun apabila pelaku keluar untuk merokok, pelayan restoran telah mengemaskan mejanya sedangkan dia belum selesai menghabiskan minuman.

Melihat keadaan itu, individu itu menjadi marah dan bertengkar dengan pelayan dan pemilik restoran sebelum beredar. Pelaku tersebut kemudiannya kembali bertengkar di restoran terbabit dan mengeluarkan pistol yang ditembak berkali-kali.

2 Pelanggan Terkorban & 3 Tercedera Akibat Tembakan

Insiden itu menyebabkan dua pelanggan terkorban iaitu Sitthipong Siriphan, 48, dan isterinya Orachon Ieankham, 45, kedua-duanya ditembak di kepala.

Mereka bersama anak perempuan ketika itu hadir ke restoran tersebut untuk menyambut hari jadi ke-12 anak lelaki mereka. Kanak-kanak lelaki itu terselamat, manakala adik perempuannya mempunyai luka di kepala.

Di samping dua korban tersebut, pekerja restoran Paowana Uttha, 46, mengalami kecederaan luka tembakan pada kepala dan seorang pelanggan lain Suriya Supradit, 42, ditembak di lengan kanan.

Pelaku kemudiannya menyerah diri kepada pihak polis. Lapan kelongsong peluru berukuran 9mm telah ditemui di lokasi kejadian.

Thailand Negara Ke-13 Di Dunia Memiliki Pistol Kecil

Insiden sedemikian pastinya mengejutkan ramai rakyat Malaysia memandangkan Hatyai menjadi destinasi pelancongan luar negara pilihan.

Untuk info, penduduk Thailand memiliki jumlah senjata paling tinggi di Asia Tenggara dengan purata 15 senjata api bagi setiap 100 orang.

Menurut Bangkok Post, rakyat Thailand memiliki sekitar 10.3 juta senjata api, meletakkannya negara ke-13 tertinggi dunia bagi pemilikan pistol kecil.

Daripada jumlah itu, hanya sekitar 6.2 juta yang didaftarkan secara sah.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.