Ini Sebab Mengapa Umat Islam Tak Boleh Menggayakan Kostum Santa Claus
Nabi Muhammad SAW juga melarang umatnya untuk memakai kostum yang menyerupai agama lain seperti baju Santa Claus.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Perayaan Krismas pada setiap 25 Disember yang disambut oleh penganut beragama Kristian baru sahaja melabuhkan tirai tahun ini pada Rabu lalu.
Sambutan itu dilakukan dengan meriah selepas banyak pusat membeli-belah yang tampil dengan hiasan salji palsu di luar premis mereka.
Selain meletakkan hiasan pokok Krismas, sesetengah meminta pekerja untuk memakai kostum Santa Claus bagi menarik lebih ramai pengunjung. Tetapi bagi staf yang beragama Islam, boleh ke pakai baju berupa Santa Claus ini?
Umat Islam Tak Boleh Pakai Kostum Santa Claus
Menerusi video dimuat naik di laman TikTok (@drkamilinjamilin), seorang pendakwah bebas iaitu Dr Kamilin Jamilin menjelaskan bahawa penganut beragama Islam tidak boleh memakai topi mahupun kostum Santa Claus kerana simbolik kepada agama Kristian.
Namun larangan itu tidak menjadi penghalang bagi masyarakat Muslim untuk tidak bertoleransi dengan penganut agama lain
“Jangan salah faham, agama Islam adalah agama toleransi dan harmoni, cuma ada hal-hal tertentu dalam bab akidah yang Islam sangat titikberatkan.
“Antaranya Islam tak benarkan umatnya pakai pakaian simbolik agama lain. Nak pakai pakaian adat atau tradisi mana-mana bangsa yang lain, tak ada masalah sebab Islam tak mengira bangsa.
“Tapi dalam bab agama, Islam ambil berat sikit, kena tegas sebab Islam tak mahu umatnya menyerupai agama lain,” katanya dalam video berdurasi tiga minit tersebut.
Ini Sebab Kenapa Umat Islam Tak Boleh Pakai Baju Santa Claus
Perkara ini sebenarnya telah termaktub dalam beberapa hadis Nabi Muhammad SAW yang turut menegaskan larangan pemakaian yang menyerupai agama lain.
Jelasnya lagi dalam hadis Riwayat Muslim, Rasulullah SAW turut melarang perkara ini selepas melihat sahabatnya yang memakai pakaian berwarna menyerupai simbolik agama lain.
“Nabi pernah ternampak seorang wanita yang pada pakaiannya ada lambang salib yang kita semua tahu ia merupakan simbolik kepada agama Kristian. Waktu itu Nabi pun suruh wanita itu tukar pakaiannya,” ujarnya.
“Itu menunjukkan betapa Nabi prihatin dan mahu menjaga akidah umat Islam. Jangan cakap ‘tak ada apa-apa lah’, ‘niat saya ok’, ‘saya bukan nak tukar agama’, ‘akidah saya tetap utuh’.
“Kita kena tahu dalam bab akidah banyak yang nabi ajar kita untuk sadd adz-dzari’ah, maksudnya menghalang sesuatu yang buruk daripada terjadi sebelum ia terjadi. Potong dulu awal-awal sebab kalau dah terjebak,” jelas pendakwah bebas tersebut.
Cara Untuk Bezakan Sama Ada Pakaian Itu Sebagai Simbolik Agama Atau Bangsa
Dr Kamilin turut menjelaskan bagaimana untuk mengetahui sama ada pakaian itu adalah simbolik bagi sesuatu agama.
“Macam mana nak tahu pakaian itu simbolik agama lain, antaranya kita boleh tengok penganut agama yang tu sahaja yang akan pakai pakaian jenis tu ketika perayaan agama mereka, yang tu tak boleh lah kita pakai.
“Pakaian santa itu sangat sinonim dengan Krismas dan kepercayaan penganut Kristian. Sebab tu kita tak tengok mereka pakai pakaian tu hari-hari, tapi kita akan tengok mereka menggayakan pakaian santa setahun sekali pada penghujung tahun setiap kali musim Krismas,” kata Dr Kamilin.
Boleh Ke Umat Islam Ucap ‘Merry Christmas’?
Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi penjelasan tentang hukum umat Islam mengucapkan ‘Merry Christmas’ kepada penganut beragama Kristian.
Laporan Kosmo yang memetik ciapan di laman X (@MyJAKIM), hukum umat Islam mengucapkan ‘Merry Christmas’ kepada penganut agama Kristian adalah harus.
Namun, ia perlu memenuhi tiga syarat iaitu:
- Tidak menggunakan simbol atau lambang keagamaan.
- Niat untuk muhibah sesama masyarakat.
- Tidak berniat mengiktiraf atau membenarkan kepercayaan agama lain.
Garis Panduan Bagi Umat Islam Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam
Dalam satu ciapan berbeza, JAKIM turut mengeluarkan panduan bagi umat Islam yang turut meraikan hari kebesaran agama orang bukan Islam.
Ia adalah seperti berikut:
- Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.
- Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.
- Majlis itu tidak disertakan dengan perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam di Malaysia.
- Majlis tidak disertakan dengan perbuatan yang menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.
- Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.
Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam
— JAKIM (@MyJAKIM) December 20, 2024
Untuk membaca dengan lebih lanjut, sila klik link di portal rasmi JAKIM https://t.co/t2989Ojedx
Sebarkan panduan ini untuk manfaat bersama.#IslamItuIndah #PanduanBermasyarakat #JAKIM pic.twitter.com/CL9EyQgMNN