Guru Ini Kongsi Apa itu ‘Popcorn Brain’ Berlaku Kerana Terdedah Pada Tempoh Skrin Yang Lama [Video]
Menurut Iqbal, mereka yang mempunyai masalah popcorn brain atau otak bertih jagung ini sukar untuk fokus kepada sesuatu perkara apabila waktu skrin mereka terhenti.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Di dunia yang semakin berkembang maju ini tidak dinafikan kita disajikan dengan pelbagai teknologi, malah kita juga tidak lari daripada menggunakannya seperti telefon pintar dan sebagainya.
Penggunaan telefon pintar ini tidak hanya menarik minat golongan dewasa untuk menggunakannya sebaliknya turut menjadi tarikan kanak-kanak.
Meskipun ia dilihat mempunyai kebaikan yang boleh memudahkan kehidupan seseorang namun penggunaan yang tidak terkawal boleh mengakibatkan pelbagai masalah tidak kiralah pada kanak-kanak mahupun dewasa.
Guru jelaskan apa itu Popcorn Brain yang berlaku kerana terdedah pada tempoh skrin yang lama
Terbaharu, seorang guru daripada pusat tusyen MC+ iaitu Iqbal Ahyar telah berkongsi mengenai ‘Popcorn brain’ yang berlaku disebabkan pendedahan kepada gadget.
Jelas cikgu itu, dia awalnya terlihat seorang kanak-kanak berusia sekitar usia 7 hingga 8 tahun yang sedang ‘develop’ popcorn brain atau otak bertih jagung sewaktu berkunjung ke sebuah masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
“Orang yang ada Popcorn brain ni, dia adalah satu istilah yang dikaji oleh David Levy pada tahun 2011 macam tu waktu dekat University of Washington.
“Dia ada pengkaji di sana dan dia tengok apabila orang tu terlampau banyak guna screen time (waktu skrin terlalu lama) maksudnya tengok telefon pintar, skrol (sosial media), tonton movie ke apa ke banyak sangat.
“Dia (mana-mana individu) akan develop satu fenomena yang dipanggil sebagai popcorn brain, di mana otak dia seperti bertih jagung sedang meletup-letup,” kata Iqbal dalam TikTok yang dimuat naik.
Mereka yang mempunyai masalah popcorn brain sentiasa berubah fikiran & tak fokus
Katanya lagi, perkara ini menunjukkan pemikiran mereka yang berdepan masalah popcorn brain ini sentiasa berubah-ubah kecuali jika sedang menggunakan skrin semula.
Ujarnya lagi masalah ini juga boleh menyebabkan seseorang kurang memberikan perhatian, sukar untuk berfikir dan fokus.
Bukan hanya itu apa yang lebih buruk kesan kepada masalah popcorn brain juga boleh memberi kesan kepada produktiviti dan kebolehan belajar seseorang individu.
“Sebab saya nampak budak ni masa solat Jumaat, waktu khutbah tu dia tengah tengok video dan saya tengah dengar khutbah sambil tu saya ternampak video. Dia tak pasang bunyilah, dia tengah tengok video transformer ke apa ke tapi badan dia diam je.”
Namun sewaktu mendirikan solat tersebut Iqbal menyedari kanak-kanak itu tidak dapat memberikan fokus apabila dilihat sentiasa bergerak seperti mengaru, kaki bergerak ke hadapan dan belakang serta banyak lagi.
Tindakan kanak-kanak itu sangat berbeza sewaktu dia sedang menonton video yang langsung tidak bergerak dan fokus dengan rakaman terbabit.
“Maksudnya otak dia dah terlampau biasa dapat banyak informasi dan stimulasi. Tapi bila tiba-tiba tiada (screen time) dia terpaksa duduk diam dan fokus, dia tak dapat. Badan dia rasa macam nak bergerak.
“Dia rasa macam gatal-gatal, macam fidgeting (gelisah) kerana otak dia terlebih stimulasi dan berada pada tahap hyperactivity disebabkan otaknya sedang mencari dopamin dan benda (screen) tu.
Harap orang ramai sebarkan kesedaran mengenai popcorn brain
Iqbal turut mengatakan sebagai individu dia tidak boleh menegur kanak-kanak itu dan apa yang boleh dilakukan adalah memberikan kesedaran serta penjelasan mengenai apa itu Popcorn brain.
Malah dalam video tersebut dia juga membuat ujian kepada pengguna media sosial apabila melakukan video secara lambat untuk melihat sama ada mereka yang menonton mempunyai masalah popcorn brain atau tidak.
“Kalau awak masih tengok video ni sampai sekarang sebab rakaman ni memang sengaja saya perlahan pace (kelajuan). Maksudnya ini satu ujian menunjukkan awak mungkin tidak ada popcorn brain.
“Tapi kalau kawan awak ke apa yang dah skrol keluar maksudnya saya ada satu berita buruk buat mereka,” katanya lagi.
Menerusi laporan Hindustan Times yang memetik Perunding Pskiatri Hospital CARE, Hyderabad, India popcorn brain atau otak bertih jagung ini berlaku kerana kesan kognitif disebabkan terdedah kepada penggunaan sosial media yang banyak.
Cara untuk atasi masalah popcorn brain
- Setkan masa untuk penggunaan media sosial untuk mencegah daripada sentiasa memeriksannya.
- Amalkan kesedaran seperti melakukan meditasi untuk fokus bagi mengurangkan kekusutan mental.
- Bina rutin harian yang penuh dengan aktiviti untuk kehidupan yang lebih tersusun.
- Kenal pasti dan utamakan tugasan yang penting terlebih dahulu untuk mengelakkan daripada rasa gelisah, sukar fokus dan sebagainya.
- Berehat seketika untuk menyegarkan minda serta bagi mengelakan otak penat.