Apakah Hukum Puasa Penuh Dari Rejab Hingga Ramadan? Ini Penjelasan Para Ulama
Rejab merupakan salah satu bulan Haram yang disunatkan agar berpuasa menurut para ulama.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kita kini telah menyambut ketibaan bulan Rejab yang menandakan kehadiran tahun baharu Islam.
Merupakan salah satu daripada 12 bulan Islam, Rejab juga ialah bulan Haram selain Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram yang mempunyai kelebihan berbanding bulan-bulan lain.
Oleh itu, umat Islam dianjurkan agar memperbanyakkan ibadah pada bulan ini.
Baca Artikel Berkaitan: Ini 7 Perkara Untuk ‘Warm-Up’ Ibadah Bermula Bulan Rejab
Sunat Berpuasa Pada Bulan Haram
Di samping itu, majoriti ulama menyatakan bahawa umat Islam disunatkan agar berpuasa pada bulan-bulan haram. Ini adalah berdasarkan Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Sebaik-baik solat selepas daripada solat fardhu adalah solat malam dan sebaik-baik puasa selepas daripada Ramadan adalah puasa pada bulan Allah al-Muharam”.
Riwayat Muslim
Selepas bulan Rejab, bulan Syaban akan mendatang diikuti dengan Ramadan yang menandakan bermulanya ibadah puasa selama satu bulan sebelum menyambut Raya Aidilfitri.
Sehubungan itu timbul persoalan sama ada seorang Islam boleh menjalankan ibadah berpuasa selama tiga bulan berturut-turut iaitu Rejab, Syaban dan Ramadan.
UAI Jelaskan Puasa Berturut Dari Rejab Hingga Ramadan Bercanggah Dengan Perintah Nabi SAW
Menerusi satu video ceramah oleh Ustaz Azhar Idrus, beliau berkata umat Islam tidak boleh berpuasa selama tiga bulan berturut-turut bermula Rejab hingga Ramadan.
Katanya, perkara tersebut tidak sepatutnya diamalkan kerana bercanggah dengan perintah Rasulullah SAW.
Ustaz Azhar seterusnya menjelaskan tentang salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Nabi SAW tidak puasa Rejab dan Syaban sebulan. Cuma Nabi SAW suka berpuasa pada bulan Rejab dan Syaban berbanding bulan lain. Bukan setiap hari,” jelasnya.
UAI Sarankan Amalkan Puasa Nabi Daud AS
Ustaz Azhar dalam pada itu berkata lebih bagus sekiranya hanya berpuasa selama 15 hari pada satu bulan, iaitu melakukannya setiap selang sehari yang digelar sebagai puasa Nabi Daud AS.
“Kalau kita lebih daripada selang sehari, kita lebih daripada Nabi Daud AS. Tak boleh,” ujarnya.
Malah Ustaz Azhar turut mengingatkan bahawa seorang Islam tidak boleh berpuasa bermula 15 Syaban melainkan bagi tujuan qada atau yang sudah menjadi rutin.
Baca Artikel Berkaitan: Betul Ke Ada Larangan Berpuasa Setelah Nisfu Sya’ban Hingga Masuk Ramadan?
“Puasa penuh ini satu bulan sahaja, Ramadan. Kalau kita buat puasa penuh dalam bulan lain, maka kita telah menyamakan martabat dengan bulan Ramadan,” katanya.
Ada Pendapat Boleh Puasa 3 Bulan Berturut, Tetapi Tidak Iktikad Ia Sunat
Namun diingatkan bahawa isu berpuasa selama tiga bulan berturut-turut mempunyai pendapat yang berbeza dalam kalangan ulama.
Menurut penceramah Ustaz Jafri Mahmoodi, Syeikh ‘Atiyyah Saqar berkata tiada sebarang dalil yang menghalang perkara tersebut.
Dr Wahbah Al-Zuhaili menyatakan para solihin mengamalkan puasa tiga bulan berturut-turut tersebut.
“Ia tidak bercanggah selama mana dia mampu untuk melakukannya dengan tidak beriktikad (mempercayai) bahawa ia adalah sunah,” jelasnya.
Namun seperti Ustaz Azhar, beliau mengingatkan bahawa Rasulullah SAW menetapkan puasa Nabi Daud AS sebagai puasa yang terbaik berdasarkan hadis:
Maksudnya: “Puasa yang paling dicintai oleh Allah ‘Azza wa Jalla adalah puasa Daud AS. Baginda berpuasa satu hari kemudian tidak berpuasa pada keesokannya.”
Riwayat al-Nasa’ie
Tiada Amalan Khusus Bagi Bulan Rejab
Seperti yang dinyatakan tadi, Rejab merupakan salah satu bulan Haram dalam Islam.
Bagi tahun ini, bulan Rejab bermula pada 1 Januari sehingga 30 Januari sebelum memasuki bulan kedua Islam yakni Syaban.
Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tiada amalan khusus yang boleh dilakukan pada bulan Rejab berdasarkan kepada pandangan beberapa para ulama.
Namun memandangkan bulan Haram mempunyai kelebihan berbanding bulan-bulan lain, umat Islam digalakkan agar memperbanyakkan ibadah termasuk berpuasa dengan syarat tidak mempercayai bahawa amalan tersebut mempunyai kelebihan tertentu.
“Bulan Rejab adalah bulan untuk bercucuk tanam, bulan Sya’ban pula adalah bulan untuk menyiram tanaman dan bulan Ramadhan pula adalah bulan untuk memungut hasil,” kata tokoh Sufi, Abu Bakar al-Warraq.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum ini telah berkongsi doa yang boleh diamalkan saat memasuki bulan Rejab seperti di bawah.
Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Puasa Tapi Tak Mandi Wajib? Ini Penjelasannya
Baca Artikel Berkaitan: Puasa Asyura Beri Peluang Dosa Diampun Setahun, Jom Rebut Pahala Ini