Bimbang Dengan Keselamatan Rakyat Malaysia, Pramugara Beri Tips Untuk Jemaah Umrah [Video]
Menerusi video yang dikongsikan, kelihatan pramugara Malaysia Airlines itu memberikan pesanan agar jemaah mengambil informasi hotel agar memudahkan mereka untuk pulang sekiranya tersesat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Menunaikan umrah atau haji merupakan salah satu perkara yang wajib untuk dilakukan oleh mana-mana individu yang berkemampuan.
Umrah merupakan salah satu ziarah yang dilakukan oleh umat Islam ke tanah suci Mekah dan Madinah. Kebiasaannya setiap jemaah pasti gembira apabila dapat menjejakkan kaki ke Tanah suci ini kerana selain dapat melihat kebesaran Allah SWT di sana jugalah salah satu tempat Rasulullah SAW memperjuangkan agama Islam.
Namun dalam keterujaan jemaah itu, kita juga sering mendengar kes terdapat rakyat Malaysia yang sesat selama beberapa hari sebelum ditemukan semula. Perkara ini secara tidak langsung membuatkan ahli keluarga bimbang akan keadaan para jemaah.
Pramugara Malaysia Airlines kongsi tips dan pesanan untuk jemaah umrah ketika dalam pesawat
Menyedari perkara itu, baru-baru ini seorang pramugara yang bertugas di Malaysia Airlines dan bertugas dalam pesawat AMAL telah memberikan sedikit tips keselamatan dan nasihat kepada para jemaah yang dalam perjalanan menunaikan umrah.
Menerusi video TikTok yang dikongsikan oleh Ustaz Ismail Sajiman di TikTok, awalnya kelihatan pramugara yang dikenali sebagai Zul berdiri di hadapan puluhan penumpang untuk menyampaikan pesanan berkenaan.
Kata Zul yang pertama, dia meminta para jemaah untuk mengambil informasi tempat tinggal seperti hotel yang didiami dan mengambil maklum keadaan di sekeliling hotel serta sebaiknya mengambil gambar.
Perkara ini penting kerana ia boleh dijadikan sebagai landmark (titik) untuk para jemaah mencari hotel apabila kembali daripada masjid.
“Saya tahu ramai yang teruja yang pertama kali atau beberapa kali, dia teruja nak pergi ke masjid. Masjid di Madinah saya rasa tidak ada masalah, cuma mungkin di Mekah nanti.
“Sebab Mekah kita tak tahu tinggalnya di mana, jadi itu yang penting. Jika kita tanya kepada pengawal keselamatan Arab ke apa.
“Kadang-kadang mereka tak boleh nak balas apa yang kita cakap (penggunaan bahasa) sebab mereka mungkin lebih kepada bahasa Arab sahaja, bahasa Malaysia dia tak boleh cakap,” katanya.
Minta ambil gambar pintu masjid untuk memudahkan perjalanan pulang ke hotel
Seterusnya dia juga meminta para jemaah untuk sentiasa mengambil gambar pintu masjid yang dimasuki agar memudahkan mereka. Ini kerana, pintu masjid kebiasaannya berpandu kepada warna serta nombor yang tertera pada pintu.
Selain itu, pramugara berkenaan turut memesan para jemaah untuk bersiap sedia membeli makanan sewaktu ingin pulang ke Malaysia.
Zul turut memesan untuk membeli makanan kerana di Mekah jemaah mudah membeli makanan yang disukai berbanding makanan yang dijual di lapangan terbang Jeddah. Malah harganya juga jauh lebih murah berbanding makanan yang ada di lapangan terbabit.
“Untuk yang ada anak ke apa, haa tu penting. Buah kita ada anggur ada, pisang ada, sebab buah tu satu kita takut kalau penerbangan lewat (flight delay) bila flight delay kalau kita nak beli makanan di airport (lapangan terbang) agak mahal dan tak kena dengan selera.
“Jadi kita boleh beli benda-benda macam tulah. Makan atau tak makan tiada masalah. Sebab kalau makan alhamdulillah. Kalau tak makan, kita boleh makan di dalam kapal terbang.
“Kalau kita tak makan dalam kapal, mungkin bukan rezeki kita tetapi rezeki kepada cucu, anak buah, dan anak. Jadi mereka cerita kebab sana (Tanah Suci) sedaplah apa semua, tak pernah rasa. Jadi kita beri mereka rasa,” katanya lagi.
Ramai puji staf Malaysia Airlines
Melihat di ruangan komen, ramai yang memuji Malaysia Airlines merupakan antara salah satu penerbangan yang sentiasa dekat di hati.
Malah mereka juga menyifatkan kebanyakan staf di syarikat tersebut sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggannya.
Ada juga mengatakan mereka mempunyai pengalaman yang luar biasa setiap kali menaiki pesawat syarikat terbabit.
Mohon maaf jika ada kekurangan dari segi layanan
Pramugara dalam video tersebut turut memohon maaf bagi pihaknya dan rakan atas layanan yang diberikan sekiranya ada kekurangan kepada semua penumpang berkenaan.
Malah mereka juga turut mendoakan urusan umrah yang dijalankan oleh penumpang-penumpang pesawat itu dipermudahkan dan diberikan rezeki untuk mengerjakan haji pula selepas ini.
Menerusi semakan kami, video ini telah dimuat naik pada 18 Disember 2024 namun ia kembali menjadi tular dan meraih perhatian ramai.