Ramai Keliru Tentang Hukum Ejakulasi Luar Rahim, Ini Penjelasan Dr Zulkifli
Ejakulasi luar rahim juga dipanggil ‘pancut luar’ oleh segelintir individu sering menjadi persoalan di kalangan orang ramai apakah hukumnya memandangkan ia turut disenaraikan sebagai salah satu cara untuk merancang keluarga atau kehamilan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap pasangan suami isteri pasti mempunyai perancangan keluarga tersendiri yang diambil kira dari segi ekonomi, persekitaran, jumlah anak dan sebagainya.
Malah ada juga yang memilih untuk merancang kehamilan di atas beberapa faktor seperti kewangan, fokus dalam membesarkan anak serta banyak lagi. Susulan itu, bagi mereka yang merancang terdapat pelbagai alternatif dalam bidang perubatan yang boleh dilakukan untuk mengawal kehamilan.
Antara alat yang membantu mengawal kehamilan adalah memasang Intrauterin Device (IUD), pil perancang, suntikan, implan dan banyak lagi yang boleh dilakukan oleh golongan wanita. Manakala untuk lelaki pula adalah versektomi namun ia adalah haram untuk dilakukan oleh mana-mana orang Islam.
Selain itu ada juga pasangan yang melakukan ejakulasi di luar rahim iaitu mengeluarkan air mani di bahagian luar alat sulit wanita.
Ramai keliru mengenai ejakulasi di luar rahim atau pancut luar, Dr Zulkifli beri penjelasan
Baru-baru ini, perkara ini telah menarik perhatian ramai apabila ada yang keliru mengenai hukum tindakan suami melakukan ejakulasi di luar rahim atau turut dipanggil ‘pancut luar’ oleh segelintir individu.
Ini kerana, ada yang bimbang sekiranya perbuatan tersebut boleh mengundang kepada dosa namun ingin mengambil inisiatif untuk merancang keluarga.
Malah ada juga individu yang merasakan dalam merancang keluarga wanita yang akan lebih terseksa kerana terpaksa mengambil suntikan, pil perancang dan sebagainya.
Islam tidak melarang perbuatan mengeluarkan air mani luar rahim
Kenyataan itu secara tidak langsung telah menarik perhatian mantan Menteri Agama Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan menjelaskan apakah hukum melakukan ejakulasi di luar rahim serta memakai kondom.
“Masalah besar yang masih wujud pada 2025 adalah segelintir kecil dalam kalangan masyarakat kita yang cepat membuat kesimpulan emosional tanpa pembacaan yang teliti.
“Islam tak melarang ‘azl (ejakulasi luar rahim), dan kondom. Sebab itulah salam isu ini, suami serta isteri perlu berbincang dan bersikap matang,” katanya yang juga bekas Mufti Wilyah Persekutuan dalam satu ciapan di X.
Masalah besar yang masih wujud pada 2025 adalah segelintir kecil dalam kalangan masyarakat kita yang cepat membuat kesimpulan emosional tanpa pembacaan yang teliti.
— Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri) January 1, 2025
Islam tak melarang ‘azl (ejakulasi luar rahim), dan kondom. Sebab itulah dalam isu ini, suami dan isteri perlu… https://t.co/jK4PfaJXAq
Dibolehkan atas faktor tertentu
Manakala dalam laman Maktabah al-Bakri, Dr Zulkifli turut menjelaskan perbuatan ‘azl (azal) atau senggama terputus atau coitus interruptus adalah salah satu alternatif untuk mengelakkan dari berlakunya kehamilan atas faktor tertentu.
Antara faktornya adalah menjarakkan umur anak, takutkan kemiskinan dan lain-lain hal. Katanya perkara ini turut dilakukan sejak zaman Rasulullah SAW lagi.
Menerusi hadis yang diriwayatkan dari Jabir Bin Abdillah R.A:
كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ ﷺ وَالْقُرْآنُ يَنْزِلُ
Maksud: “Kami melakukan ‘azl pada zaman Nabi SAW dan Al-Quran sedang turun.” – Riwayat al-Bukhari (5207) dan Muslim (1440).
Riwayat lain dari Jabir Bin Abdillah R.A:
كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَبَلَغَ ذَلِكَ نَبِيَّ اللَّهِ ﷺ فَلَمْ يَنْهَنَا
Maksud: “Kami selalu melakukan ‘azl ketika zaman Rasulullah SAW masih hidup dan Baginda mengetahuinya, tetapi Baginda tidak pernah menghalang kami melakukannya.” – Riwayat al-Bukhari (5207) dan Muslim (1440).
Dalam satu lagi riwayat Abu Sa’id al-Khudri R.A turut menjelaskan mengapa sebahagian dari sahabat melakukan ‘azl:
ذُكِرَ الْعَزْلُ عِنْدَ النَّبِيِّ ﷺ فَقَالَ: وَمَا ذَاكُمْ. قَالُوا الرَّجُلُ تَكُونُ لَهُ الْمَرْأَةُ تُرْضِعُ فَيُصِيبُ مِنْهَا وَيَكْرَهُ أَنْ تَحْمِلَ مِنْهُ وَالرَّجُلُ تَكُونُ لَهُ الأَمَةُ فَيُصِيبُ مِنْهَا وَيَكْرَهُ أَنْ تَحْمِلَ مِنْهُ. قَالَ: فَلاَ عَلَيْكُمْ أَنْ لاَ تَفْعَلُوا ذَاكُمْ فَإِنَّمَا هُوَ الْقَدَرُ
Maksud: “Telah diceritakan kepada Nabi SAW tentang ‘azl, lalu Baginda bertanya: ‘Mengapa buat begitu? Sahabat berkata: ‘Ada lelaki yang mempunyai isteri yang masih menyusukan anak, makan dia tidak suka jika isterinya mengandung dengan melepaskan air mani dalam rahim. Dan ada lelaki yang mempunyai hamba perempuan, maka dia tidak mahu perbuatannya menyebabkan hamba terus mengandung’ lalu Baginda bersabda: ‘Apa yang baik atas kamu agar kamu tidak melakukannya, sesungguhnya ia (kehamilan) berdasarkan takdir.” – Riwayat al-Bukhari (2542) dan Muslim (1438).
Perlu tahu Allah SWT Maha berkuasa atas segala-galanya
Namun menurut Maktabah Al-Bakri, meskipun perkara ini pernah dilakukan oleh sahabat semasa hayat Rasulullah SAW, tidak bermakna ia merupakan amalan yang digalakkan atau diterima baik oleh Baginda SAW.
Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata Rasulullah SAW tak melarang secara jelas perbuatan berkenaan namun Baginda memberi isyarat bahawa sebaik perbuatan itu ditinggal kerana tidak mendatangkan faedah. Allah SWT Maha berkuasa menciptakan anak tersebut. (Fath al-Bari, 9/307).
Imam al-Ghazali turut ada menyebut berhubung hukum perbuatan itu adalah harus atas faktor ekonomi, kesihatan isteri, dan kecantikan isteri untuk tujuan kasih sayang berpanjangan antara pasangan ia bertujuan mengelakkan daripada berlaku penceraian.
Namun faktor yang tak boleh diterima dan berdosa jika takut mendapat anak perempuan adalah haram (Ihya Ulum al-Din, 2/52).
Perlu mempunyai sebab yang munasabah untuk melakukan ejakulasi luar rahim
Sebelum ini dalam persidangan Majma’al-fiqh di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kuwait pada 15 Disember 1988 turut memutuskan bawah ‘azl dibolehkan bagi mengawal secara sementara kemampuan reproduksi dengan tujuan:
- Jarakkan tempoh kehamilan.
- Menghentikan bagi tempoh tertentu.
- Berdasarkan persetujuan dan keredaan antara kedua pasangan yang sah dengan syarat kaedah kawalan tidak memudaratkan.
- Berdasarkan kaedah yang tepat dengan syariat dan tidak menzalimi kandungan sedia ada.
Haram jika lakukan ejakulasi luar rahim kerana takut miskin, serupa dengan amalan jahiliyah
Oleh itu, adalah dibolehkan jika pasangan itu ingin mengeluarkan air mani di luar rahim sekiranya mempunyai sebab yang kuat seperti ingin menjaga agama, nyawa, akal, keturunan termasuklah harta.
Namun janganlah sesekali pasangan melakukan perkara itu kerana bimbang miskin mahupun rezeki disempitkan kerana perkara itu jelas bertentangan dengan kehendak syarak disebabkan menyerupai amalan jahiliyah yang membunuh anak kecil kerana takut kepada kemisikinan.
Adalah wajib untuk semua umat Islam mengetahui rezeki adalah milik Allah SWT dan perancangan keluarga kerana takut kepada kemiskinan adalah salah satu tanggapan berburuk sangka kepada Allah SWT.