Boleh Ke Makan Ikan Keli, Patin Yang Diberi Makan Daging Babi & Najis? Ini Penjelasannya
Trivia: Haiwan yang pada asalnya halal dimakan namun sumber makanannya berasaskan dari najis sekalipun bukan tahi digelar sebagai al-Jallalah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebut sahaja makanan seperti ikan keli, ikan patin atau ayam kampung, pasti dah terbayang keenakan dan rasa unik hidangan itu.
Sekali makan sahaja, dah buat orang teringat-ingat rasanya yang unik lebih lagi jika dimasak dengan pelbagai jenis masakan.
Namun, sebelum ini timbul dakwaan yang mengatakan ikan keli atau patin diberi makanan dari najis atau bangkai haiwan seperti babi (khinzir).
Keadaan sebegini semestinya menimbulkan pelbagai persoalan khususnya tentang hukum menikmati haiwan tersebut.
Haiwan Yang Makan Najis Dikategorikan Sebagai Al-Jallalah
Tahukah anda, haiwan yang pada asalnya halal dimakan namun sumber makanannya berasaskan dari najis sekalipun bukan tahi digelar sebagai al-Jallalah.
Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-119 yang telah bersidang pada 7 hingga 9 April 2021 turut memutuskan haiwan Jallalah merujuk kepada binatang yang dagingnya berbau busuk kerana memakan najis atau hidup di persekitaran najis.
Memetik Maktabah al-Bakri, haiwan jallalah yang juga secara saintifiknya dikenali sebagai coprophagous (coprophagy) termasuklah kambing yang membesar dengan susu daripada anjing atau keldai jinak.
Ini termasuk ikan-ikan yang membesar dalam kolam najis atau ikan ternakan yang diberi makan najis seperti perut ayam dan sebagainya.
Berbalik kepada keldai jinak tadi, mungkin ada yang tidak tahu susu keldai jinak tersenarai sebagai najis ‘aini dan dagingnya haram untuk dimakan berbanding keldai liar yang halal.
Jadi Haram & Makhruh Tanzih Untuk Dimakan Mengikut Pendapat Ulama
Bila kita tahu ikan itu makan najis atau tinggal dalam persekitaran najis, mesti terdetik dalam hati hukum menikmati haiwan tersebut.
Sebenarnya terdapat pelbagai pendapat mengenai hukum menikmati haiwan jallalah ini.
Menurut bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, setiap ulama mempunyai pendapat yang berbeza mengenai hukum menikmati makanan ini.
Ini kerana ada ulama yang berpendapat haram atau makruh tanzih untuk menikmatinya.
“Hukum memakan daging haiwan al-jallalah ini diperselisihi oleh para fuqaha’, antara yang mengharamkannya secara mutlak atau menghukumkannya sebagai makruh tanzih.
“Khilaf ini berlaku apabila warid nas yang berbentuk larangan, daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, katanya:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ ﷺ عَنْ أَكْلِ الْجَلَّالَةِ وَأَلْبَانِهَا
“Maksudnya: ‘Rasulullah SAW melarang daripada makan haiwan jallalah — yakni dagingnya — dan susunya.
“Riwayat Riwayat al-Tirmizi (1824) dan Abu Dawud (3785). Syeikh al-Albani menilai hadith ini sahih.
“Dalam riwayat lain daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, katanya:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ ﷺ عَنِ الجَلَّالَةِ فِي الْإِبِلِ أَنْ يُرْكَبَ عَلَيْهَا، أَوْ يُشْرَبَ مِنْ أَلْبَانِهَا
“Maksudnya: ‘Rasulullah SAW melarang daripada makan haiwan jallalah daripada jenis unta, sama ada menunggangnya atau minum daripada susunya.’
“Riwayat Abu Daud (3787). Syeikh al-Albani menilai hadith ini sebagai hasan sahih.
“Imam al-Nawawi mengatakan, pandangan yang sahih berdasarkan larangan di atas adalah ianya sekadar makruh tanzih. Inilah pendapat yang dipersetujui oleh majoriti ulama’, termasuk Imam al-Nawawi sendiri, Imam al-Rafi‘i dan selain mereka. (Lihat al-Majmu ‘, 9/28),” tulisnya.
Berdasarkan keputusan MKI pula, haiwan yang diternak dan sengaja diberi makan dari sumber makanan najis ‘aini atau makanan yang dihasilkan daripada campuran bahan najis khususnya dari kategori najis mughallazah atau mutawassitah ianya haram untuk dimakan.
Boleh Makan Jika Haiwan Alami Proses Kuarantin
Namun, hukum haram atau makhruh tanzih tersebut boleh dihilangkan dengan cara mengkuarantin haiwan itu mengikut tempoh tertentu hingga hilang bau busuk.
Malah, haiwan itu juga perlu diberi makanan dari sumber yang baik sepanjang tempoh tersebut.
Menurut Dr. Zul, tiada tempoh tertentu bagi haiwan jallalah seperti ikan keli asalkan tiada perubahan pada daging atau atau bau busuk itu telah hilang namun sebaiknya ia perlu dikuarantin selama tiga hari atau 36 jam.
MKI turut menetapkan kaedah kuarantin haiwan berkenaan khususnya ikan yang dibela berdasarkan seperti berikut:
- Haiwan tersebut perlu diasingkan daripada ruang ternakan asal ke ruang baharu yang bebas daripada elemen najis.
- Ketika tempoh kuarantin dilakukan, haiwan tersebut boleh dibiarkan tanpa makan apa-apa makanan, atau diberi makan dengan makanan yang bersih bebas daripada elemen najis.
- Tempoh umum kuarantin adalah sekurang-kurangnya 3 hari dan hendaklah dipastikan.
Kesimpulannya, haiwan yang pada asalnya halal untuk dimakan namun sumber makanannya daripada najis boleh sahaja untuk dimakan asalkan ia dikuarantin terlebih dahulu sekurang-kurangnya tiga hari sehingga hilang bau busuk.
Baca Artikel Berkaitan: Tular Isu Makanan Halal Di Luar Negara, Lelaki Ini Tampil Perjelas Apa Maksud ‘Halal’ Yang Sebenar
Baca Artikel Berkaitan: Tular Isu Nasi Ayam Claypot, Pakar Halal Jelaskan Haram Guna ‘Rice Wine’ Dalam Makanan [Video]