“Siapa Yang Kena Guna Common Sense Ni” – Persona Silap Masuk Jalan Sehala Tapi Ego Melangit Buat Ramai Berang [Video]
Menerusi video yang dikongsikan kedengaran pemandu atau penumpang dalam kereta Proton Persona meminta pemilik dashcam menggunakan ‘common sense’ dan memberikan mereka ruang untuk berjalan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap pengguna jalan raya yang memandu sentiasa dinasihatkan untuk peka dengan keadaan sekeliling. Ini bermaksud bukan sekadar melihat kenderaan di jalan raya sebaliknya perlu prihatin dengan setiap papan tanda dan arah laluan yang digunakan.
Sebagai contoh mana-mana lorong sehala pasti akan dimaklumkan melalui papan tanda atau boleh dirujuk melalui anak panah yang diwarnakan khas pada jalan raya untuk menjadi panduan.
Perkara ini dilakukan untuk mengelakkan daripada berlaku sebarang keadaan tidak diingini seperti kemalangan dan sebagainya.
Walau bagaimanapun sekiranya tersalah menggunakan jalan sehala khususnya untuk mereka yang tidak arif dengan persekitaran kawasan tersebut adalah baik sekiranya memohon maaf dan tidak mengulanginya lagi.
Proton Persona sonsang ketika lalui jalan sehala
Baru-baru ini, tular satu video di media sosial memaparkan sebuah Proton Persona berwarna merah yang dipercayai telah tersilap memasuki jalan sehala dari arah bertentangan sehingga menarik perhatian ramai.
Menerusi video yang dimuat naik, awalnya kelihatan Proton Persona berkenaan bertembung dengan kenderaan pemilik dashcam dan pemandu enggan berundur meskipun tahu dia telah melalui jalan yang salah.
Proton Persona itu bagaimanapun terus bergerak ke hadapan seolah-olah meminta pemilik dashcam untuk beralih. Selepas beberapa ketika pemilik dashcam mengalihkan keretanya ketepi dan menegur pemandu Persona bahawa jalan itu adalah sehala.
“Abang boleh jalan kan,” kata pemandu wanita itu.
Pemilik dashcam sekali lagi memaklumkan itu adalah jalan sehala sebelum pemandu wanita mengatakan dia baharu di kawasan itu.
Suruh pemilik dashcam guna ‘common sense’
Namun apa yang menjadi perhatian apabila salah seorang penumpang dalam kereta Persona itu meminta lelaki itu menggunakan ‘common sense’ dengan membuka laluan untuk mereka bergerak.
“Tapi sekurang-kurangnya bagilah jalan, ‘common sense'” kata individu di dalam Proton Persona.
Kata-kata itu secara tidak langsung membuatkan pemilik dashcam sedikit berang dan menyuruh pemandu wanita itu pula untuk menggunakan ‘common sense’ kerana ia adalah jalan sehala.
Insiden tersebut dipercayai berlaku di sekitar Gombak pada jam 2.39 petang, 31 Disember 2024.
Ramai berang, kereta Persona minta guna ‘common sense’
Melihat di ruangan balas, ramai yang berang dengan tindakan pemandu dan penumpang kereta Persona yang meminta orang menggunakan ‘common sense’ walhal ia adalah silap sendiri.
Ada juga yang mengatakan mereka hanya akan buat tidak tahu sahaja sekiranya mendapat respon sebegitu.
Malah ada juga yang menyoal adakah mereka tahu apa yang dimaksudkan dengan ‘common sense’.
Tidak kurang ada yang mengatakan ‘common sense’ yang sepatutnya adalah kereta Persona meminta maaf dan mengakui kesilapan sendiri serta berundur. Ada juga segelintir pengguna media sosial yang meminta pemilik dashcam untuk membuat laporan di aplikasi MY JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan).
Menerusi semakan kami, rakaman ini awalnya telah dikongsikan oleh pemilik dashcam di TikTok sebelum ia menjadi tular di X.