Wanita Kongsi Detik Cemas Terkena Serangan Jantung, Bersyukur Polis Bantu Escort Ke Hospital [Video]
Wanita dikenali sebagai Alya itu berkata, dia pada awalnya hanya rasa sakit di bahagian dada namun terkena serangan jantung sewaktu menghampiri hospital.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui pelbagai perkara boleh terjadi ketika berada di atas jalan raya. Bukan sahaja risiko kemalangan, malah anda juga boleh diserang penyakit secara tiba-tiba.
Trafik yang sesak pula akan membuatkan situasi lebih teruk di mana anda sukar untuk bergerak bagi mendapatkan rawatan di hospital atau klinik dengan pantas.
Seperti sebelum ini, seorang wanita mengalami sesak nafas semasa tersangkut dalam trafik. Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana telah mendapat bantuan dari anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengiringi keretanya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Baca Artikel Berkaitan: “Salute PDRM” – Polis Escort Kereta Pesakit Sesak Nafas Ke Hospital Raih Pujian Netizen
Wanita Terkena Serangan Jantung Ketika Di Jalan Raya
Terbaharu, tular satu hantaran di laman TikTok apabila seorang wanita dikenali sebagai Alya (@.cikalya) berkongsi situasi detik cemas yang dilalui olehnya sewaktu terkena serangan jantung.
Menerusi rakaman dashcam tersebut, kelihatan Alya sedang diiringi Unit Kereta Peronda (MPV) polis bagi menuju ke sebuah hospital. Difahamkan, wanita itu telah meminta bantuan polis untuk membuka laluannya bagi mendapatkan rawatan dengan pantas selepas diserang sakit dada.
Dalam video itu, kendengaran Alya menangis teresak-esak kerana sakit yang dialami. Jelasnya, dia mula terkena serangan jantung apabila sudah mula menghampiri hospital.
Namun disebabkan tidak mahu berlengah menunggu ambulans, Alya gigihkan diri untuk memandu sehingga sampai di Unit Kecemasan.
“Alhamdulillah saya bersyukur sangat dalam perjalanan tu ada mereka (polis) sekitar situ. Tak dapat bayang kalau mereka tak ada, apa nasib saya masa tu,” kata Alya.
Menurut pesakit itu, anggota PDRM pada awalnya telah menawar untuk menghantarnya ke hospital tetapi Alya menolaknya kerana beranggapan dia mampu memandu secara bersendirian.
“Terima kasih kepada anggota polis bernama Deshan dan rakan kerana membantu mengiringi saya ke hospital secepat yang mungkin. Allah SWT hadirkan mereka di saat saya sangat memerlukan bantuan,” ujar Alya.
Baca Artikel Berkaitan: “Orang Kedah Memang Baik” – Polis Trafik Tolong Hidupkan Motor Pakcik Undang Perhatian Ramai
Alya Hargai Individu Yang Sudi Buka Laluan Ketika Menuju Ke Hospital
Pesakit yang kini sudah stabil itu dalam masa sama mengucapkan terima kasih kepada pengguna jalan raya lain kerana sudi membuka ruang kepada dirinya dan polis untuk melalui jalan tersebut.
“Jutaan terima kasih juga kepada semua pemandu yang membuka laluan semasa saat ini, masa itu sangat berharga untuk menyelamatkan nyawa saya. Alhamdulillah Allah masih beri peluang untuk bernafas walaupun berdepan dengan detik paling cemas,” kata Alya di ruangan kapsyen.
@.cikalya Terima kasih kepada anggota polis bernama Deshan & rakan kerana mmbntu mngiringi saya ke hospital secepat yg mungkin, Allah swt hadirkn mereka disaat saya sgt memerlukan bantuan dan jutaan terima kasih juga kpd semua pmndu yg mmbuka laluan semasa saat ini, masa itu sgt brharga utk mnyelamatkn nyawa saya. Alhamdulillah Allah masih beri peluang utk bernafas,walaupun berdepan dengan detik paling cemas. Hujung sekali masa sy senyap tu sbb dh kena serangan. #dashcam #dashcamvideos #dashcamfootage ♬ suara asli – fredd
Orang Ramai Beri Pelbagai Reaksi Lihat Alya Yang Menahan Sakit Sambil Memandu
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai berasa sebak mendengar tangisan Alya yang menahan sakit dan mendoakan agar dirinya sentiasa diberi kesihatan baik selepas ini.
“Saya pun nangis sekali dengan sis nangis. Semoga cepat sembuh ya. Bahaya memandu waktu sakit dada. Tapi alhamdulillah segalanya dipermudahkan,” kata seorang wanita.
Sementara itu, ramai juga berkongsi pengalaman mereka apabila pernah terkena serangan jantung sebelum ini.
“Pernah lalui benda sama. Saya bawa (kereta) masa dada tengah sakit. Sampai hospital saya berhenti depan pengawal keselamatan sebab dah sakit sangat lepas tu guard bawa kereta saya sampai depan unit kecemasan. Keluar kereta, saya rebah,” kata seorang wanita.
Malah ramai juga menasihati Alya agar menaiki MPV polis jika perkara sebegitu berulang lagi pada masa akan datang. Warganet juga dilihat mengucapkan terima kasih kepada anggota PDRM kerana sudi menghulurkan bantuan.
Gejala Serangan Jantung
Untuk pengetahuan semua, sakit di bahagian tengah dada seperti rasa dicucuk boleh menjadi tanda amaran serangan jantung. Serangan jantung ini berlaku apabila bekalan darah ke jantung tersumbat sekaligus merosakkan otot organ tersebut.
Gejala serangan jantung lain yang boleh diperhatikan adalah seperti:
- Kesakitan teruk pada bahagian tengah atau belakang tulang dada. Rasa seolah-olah ditekan dengan kuat
- Rasa sakit merebak ke bahu, lengan, leher, tekak, rahang atau belakang badan
- Berpeluh
- Rasa cemas, pening dah tidak sihat
- Rasa sakit pada bahagian perut
- Sesak nafas
Simptom yang dilalui boleh berlanjutan dalam tempoh antara 10 hingga 15 minit atau lebih. Namun perlu diingatkan bahawa gejala yang dilalui oleh setiap pesakit adalah tidak sama.
Jika anda rasa sakit melampau di bahagian dada, dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan pakar dengan kadar segera.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Dr Malar Jelaskan Serangan Jantung Dialami Pemain Badminton Zhang Zhi Jie