Bukan Virus Baru Di Malaysia! Ketahui Apa Itu hMPV & Gejalanya
Menurut KKM, penyakit hMPV tidak wajib dilaporkan atau dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai laporan peningkatan kes Human Metapneumovirus (hMPV) di China.
Perkara itu sememangnya mencetuskan kebimbangan ramai orang termasuk rakyat Malaysia mengenai kesan virus tersebut jika dijangkiti.
Malah, tidak kurang juga yang menyangka bahawa virus ini merupakan satu penyakit yang akan mengancam dunia seperti wabak Covid-19 dahulu.
hMPV bukan penyakit baru di Malaysia
Pun begitu, pada Sabtu lalu (4 Januari), Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi satu kenyataan telah menjelaskan bahawa jangkitan hMPV bukanlah satu penyakit baru di negara ini.
KKM berkata, malah ia juga tidak wajib dilaporkan atau dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].
“Jangkitan saluran pernafasan akut adalah penyakit akut yang disebabkan oleh jangkitan kuman pada saluran pernafasan.
“Jangkitan saluran pernafasan akan terus wujud dalam komuniti dan kita perlu sentiasa berwaspada menghadapinya,” katanya.
Bagaimana hMPV tersebar dan apa gejalanya?
Memetik infografik Bernama, hMPV disebarkan melalui kontak langsung dengan individu terjangkit atau permukaan yang tercemar, termasuk akibat batuk dan bersalaman.
Antara gejala yang akan dihadapi bagi mereka yang terjangkiti virus ini adalah seperti batuk kering, selsema dan sakit tekak.
Selain itu, pesakit juga akan berasa sesak nafas, keletihan dan wheezing iaitu bunyi seperti siulan yang akan terhasil semasa sedang bernafas.
Komplikasi seperti bronkiolitis dan pneumonia juga antara gejala penyakit hMPV ini.
Kumpulan berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit ini ialah kanak-kanak di bawah umur lima tahun atau warga emas berusia 65 tahun ke atas serta individu yang memiliki sistem imun yang lemah.
Diagnosis dan rawatan hMPV serta cara mencegahnya
Setakat ini, tiada rawatan khusus yang diperlukan untuk penyakit hMPV ini kerana kebanyakannya adalah kes ringan dan akan sembuh dengan sendirinya dalam beberapa hari.
Bagi pencengahan pula, orang ramai dinasihati agar sentiasa mencuci tangan secara berkala, membersihkan permukaan objek yang sering disentuh dan elak kontak rapat dengan individu yang sedang sakit.