“Orang Tidur Aku Keluar” – Pemuda Jadi ‘Burung Hantu’ Demi Mencari Sesuap Rezeki [Video]
Jelas pemuda yang dikenali sebagai Muhammad Amir Firdaus Zulalim, dia lebih gemar memilih waktu tengah malam dan awal pagi kerana suasananya yang tenang dan sunyi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Jika ditanya kepada mana-mana individu, ramai yang lebih suka untuk bekerja pada waktu siang.
Buat mereka yang bekerja syif khususnya, waktu bekerja pada malam hari sememangnya tidak digemari apatah lagi pada ketika itu majoriti masyarakat dunia sedang menikmati waktu tidur mereka.
Bagi golongan ini, sudah pastilah waktu bekerja fleksibel pada waktu siang akan menjadi pilihan.
Pemuda Lebih Suka Kerja Pagi-Pagi Buta Kerana Tenang
Namun, lain pula dengan seorang pemuda yang lebih memilih waktu malam sehingga awal pagi sebagai waktu bekerja.
Menerusi video yang dikongsikan oleh pemuda itu di akaun TikTok @miloais__2, dia berkongsikan pengalamannya yang bekerja sebagai penghantar makanan pada waktu tengah malam.
Jelas pemuda yang dikenali sebagai Muhammad Amir Firdaus Zulalim, dia lebih gemar memilih waktu itu kerana suasananya yang tenang dan sunyi.
“Sampaikan ada orang cakap dekat aku, ‘kau gila ke keluar pagi-pagi buta, ada order (pesanan) ke? Orang semua tidur la’.
“Siapa cakap tiada order, ada. Kalau tiada order, aku tak keluar time ni. Aku buat yang orang tak buat, orang tidur, aku keluar.
“Sebab apa aku suka keluar malam-malam macam ni, jalan tenang. Hantu-hantu tiada, aku tak fikir hantu.
“Rezeki tu mana-mana nak datang, kau rajin tak rajin je nak cari, nak kata malas, aku pun malas,” jelasnya menerusi video tersebut.
Perkongsian Untuk Mereka Yang Selalu Bertanya
Memetik Harian Metro, Amir yang berusia 21 tahun itu menjelaskan video perkongsian pengalamannya itu hanyalah sekadar mahu menjawab persoalan yang diajukan oleh orang ramai.
Jelas Amir, ada yang mengatakan dirinya gila hanya kerana keluar bekerja ketika orang lain sedang lena diulit mimpi sedangkan hakikatnya dia tetap menerima pesanan untuk dihantar kepada pelanggan walaupun pada jam empat pagi atau waktu lain.
Dia yang berasal dari Bukit Kapar, Klang itu mendedahkan waktu kerjanya agak fleksibel dan dia akan keluar bekerja pada 12 tengah malam dan pulang ke rumah pada jam 7 pagi.
“Perkongsian itu sebenarnya untuk yang selalu bertanya (mengenai kerja) malah ada juga kata tak payah keluar (bekerja) kerana buat penat saja.
“Tapi bagi saya, itu semua bergantung dengan rezeki dan daripada duduk rumah tak tidur, lebih baik saya gunakan masa yang ada dengan keluar mencari duit.
“Emak dan abah pun tak halang, malah bagi sokongan, cuma mereka selalu pesan kepada saya supaya berhati-hati apabila di luar,” jelasnya.
Mahu Berdikari & Cari Duit Sendiri Serta Kumpul Pengalaman
Amir yang sedang menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap tiga menjelaskan dia memilih pekerjaan sebagai p-hailing kerana mahu berdikari dan mencari duit sendiri selain daripada mengumpul pengalaman.
“Saya mula bekerja sambilan sebagai penunggang p-hailing sejak empat tahun lalu dengan niat cari duit sendiri supaya tak susahkan emak ayah kerana ada adik yang masih bersekolah.
“Banyak juga pengalaman sejak bekerja, antaranya dimarahi pelanggan yang mendakwa makanan tak sampai dan pernah juga kemalangan hingga terfikir untuk berhenti, mengenangkan risikonya.
“Tapi seronoknya kerana berasa (nikmat) pegang duit sendiri dan belanja adik-adik. Sebelum kerja, abang dan abang ipar ada cerita pengalaman mereka, memang ada risiko, tapi mahu atau tidak, kena bersedia sebab kerja itu yang saya pilih,” jelasnya lagi.
Bakal menamatkan pengajian pada akhir bulan ini, Amir merancang untuk menyambung pengajiannya di GiatMARA.
“Tapi kalau tak ada rezeki, saya akan terus jadi penunggang p-hailing buat sementara waktu sehingga dapat peluang belajar,” katanya.
Ramai Tunjukkan Sokongan & Doakan Keselamatan
Video Amir yang telah mendapat lebih 1.9 juta tontonan itu nyata menarik perhatian pengguna media sosial.
Mengintai ke ruangan komen, ramai yang memuji kesungguhan pemuda itu dalam mencari rezeki.
Tidak kurang, ada juga yang menasihati dan mendoakan keselamatan serta kesihatan buat pemuda itu ketika sedang mencari rezeki khususnya pada waktu malam yang sunyi.
Pada masa yang sama, ada juga pengguna yang berkongsikan pengalaman sendiri bekerja dalam tempoh waktu tersebut.
Berikut antara komen pengguna TikTok:
“Pulun Juga Bang Tapi Jaga Badan Juga, Risau Kena Slip Disc, Semangat”
“Aku Tak Kenal Kau Bang, Cuma Aku Mampu Doakan Semoga Dipermudahkan Urusan Bang”
“Semoga Sihat Walafiat Dik. Akak Baru Lepas Microsleep & Kemalangan, Jaga Diri”
“Aku Pun Pernah Bro, Cedok Keluar Lepas Subuh Sampai 3 Pagi, Malam Itu Sungguh Tenang”
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Warga Emas Jadi Rider Hantar Makanan Sambil Ditemani Isteri Undang Hiba [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Wanita Beri Tips RM300, Sebak Penghantar Makanan OKU Tetap Cari Rezeki Ketika Hujan [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Rezeki Tak Salah Alamat, Rider Grab Kumpul Duit Kahwin Terima ‘Tip’ RM500 Dari Pelanggan [Video]