Tindakan Lelaki Campur Racun Dalam Ais Krim Untuk Bunuh Monyet Liar Undang Pelbagai Reaksi [Video]
Tindakan lelaki mencampurkan racun dalam ais krim untuk diberikan kepada monyet liar mendapat pelbagai reaksi apabila ada yang bersetuju dan ada juga yang mengecamnya kerana membunuh haiwan yang tidak berdosa.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tak dinafikan di bumi ini terdapat hidupan lain yang hidup bersama manusia seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Namun memandangkan keadaan sesebuah kawasan semakin pesat membangun membuatkan segelintir haiwan telah hilang habitat asal termasuk bekalan makanan.
Perkara ini secara tidak langsung menyebabkan ada haiwan yang mengganggu kawasan perumahan sehingga mengundang bahaya kepada penduduk.
Lelaki letak racun dalam makanan yang diberi kepada monyet liar untuk hentikan gangguan
Baru-baru ini, seorang lelaki telah menjadi perhatian ramai apabila bertindak meletakkan racun di dalam makanan untuk membunuh monyet liar yang datang menyerang kawasan perumahannya.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Stray Free Foundation, awalnya kelihatan lelaki berkenaan membaling ais krim yang sudah dicampur dengan racun dikenali sebagai ‘crodex’.
“Ini tuan-tuan cara dia kita nak bagi dekat binatang ni menggunakan crodex (racun) yang telah kita buat. Dalam ni tuan-tuan, dalam crodex yang kita buat ni kita letak dalam ais krim ni. Ni binatang (monyet) yang duk kacau ni. Nampak ni, beranak-pinak,” katanya sambil membaling ais krim terbabit kepada haiwan itu.
Turut kongsi cara campurkan racun dalam makanan diberikan pada monyet liar
Malah lelaki itu turut memberitahu bagaimana cara dia mencampurkan racun tersebut dengan ais krim untuk diberikan kepada kumpulan monyet yang berada di kawasan itu.
Dakwanya makanan yang dicampurkan dengan racun itu akan menyebabkan haiwan berkenaan mati.
“Bancuh cordex ni dalam ais krim tu supaya dia makan nanti dia kiok (mati). Itu cara sebenar, cara guna dia tuan-tuan.
“Ni kawasan perumahan ni dekat dengan kawasan sayalah. Kita pastikan betul-betul dia (monyet) yang makan bukan manusia. Ni tengok beranak-pinak, kalau kita biarkan habis.
“Dia (monyet) masuk rumah, kacau barang-barang kita. Jadi ni jangan risau, ni kelas dua (racun) guna cara yang betul tuan-tuan. Ingat pesan saya guna cara yang betul. Insya-Allah dia kiok.
“Dia bukan binatang peliharaan Kedah. Jadi dia menjahanamkan harta-benda. Jadi faham-fahamlah saya tak nak ulaslah orang yang kecam saya tu. Tapi benda ni (serangan monyet) memang teruk lah,” katanya lagi.
Lelaki beri racun pada monyet undang pelbagai reaksi di kalangan pengguna media sosial
Tindakan lelaki itu bagaimanapun telah mendapat pelbagai reaksi di kalangan orang ramai termasuklah Stray Free Foundation yang merasakan ia sesuatu perkara yang tidak wajar dilakukan.
Ada juga yang berpendapat tindakan lelaki berkenaan kejam kerana membunuh haiwan tersebut.
Dengan bangganya bunuh haiwan tak berdosa. Moga Allah bagi balasan setimpal. pic.twitter.com/3Kzmo3wXcA
— Stray Free Foundation (@StrayFreeFndn) January 3, 2025
Namun ada juga yang berpendapat tindakan lelaki itu tidak salah kerana mereka yang berdepan dengan gangguan daripada serangan monyet mengalami pelbagai kerugian.
Ini kerana selain mencuri makanan harta-benda di dalam rumah juga rosak angkara haiwan liar ini.
Namun ada juga yang berpendapat adalah lebih baik untuk melaporkan perkara itu kepada Jabatan Perhilitan agar tindakan lanjut boleh dilakukan pihak berkuasa dan orang ramai mahupun penduduk tidak melakukan kesalahan jenayah.
Ini kerana mereka yang melakukan jenayah terhadap hidupan liar boleh didakwa di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 Seksyen 86.
Malah turut tular video lelaki berkenaan berkongsi cara-cara menggunakan racun berkenaan.
Dr Zulkifli jelaskan hukum bunuh monyet yang mengganggu
Bekas Menteri Agama dan Mufti Wilayah Pesekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri juga ada menjelaskan di dalam laman Maktabah Al-Bakri mengenai hukum membunuh monyet yang mengganggu.
Jelasnya terdapat dua jenis haiwan yang boleh dibunuh, yang pertama sekiranya haiwan tersebut tabiat semula jadinya adalah perosak atau mengganggu, maka disunatkan untuk membunuhnya tidak kira ia terdiri dalam jenis haiwan yang terdapat nas dari Nabi SAW untuk dibunuh seperti kala jengking, tikus, anjing gila atau mempunyai ‘illah yang sama (dengan haiwan yang diperintah untuk membunuhnya) di mana yang melakukan gangguan atau membuat kerosakan.
Oleh itu, para ulama juga berpendapat disunatkan untuk membunuh semua jenis haiwan yang melakukan kerosakan atau mengganggu.
Jenis yang kedua pula, haiwan yang (secara tabiat semula jadi) tidak melakukan kerosakan atau mengganggu dan tidak juga memudaratkan. Maka haiwan seperti ini tidak dibunuh. Akan tetapi, membunuhnya tidak dihukumkan sebagai haram melainkan tidak membunuhnya adalah lebih utama.
Namun sekiranya ia membuat kerosakan serta mengganggu maka ia dibenarkan untuk membunuh sebagai suatu tindak balas dalam mengecah kemudaratannya.
Oleh itu, tidak mengapa jika haiwan yang dibunuh itu memberi gangguan, menyakiti, melakukan kerosakan, mengancam keselamatan diri, anak kecil atau individu disekeliling.
Ini kerana ia termasuk dalam jalan atau cara untuk mencegak kerosakan disebabkannya.
“Adapun jika monyet itu langsung tidak menganggu atau melakukan kerosakan, maka kami berpendapat bahawa sebaik-baiknya ia tidak dibunuh tetapi cukup sekadar dengan hanya menghalaunya pergi jauh sahaja.
“Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama,” ujarnya.
Pun begitu pada pendapat kami cara terbaik untuk mengatasi masalah gangguan adalah menghubungi pihak berkuasa.