fbpx
Now Reading
Dikritik Selepas Dedah Belanja RM4,000, Pelajar Universiti Tampil Beri Penjelasan [Video]

Dikritik Selepas Dedah Belanja RM4,000, Pelajar Universiti Tampil Beri Penjelasan [Video]

Menerusi video tersebut, pelajar wanita itu memaklumkan perbelanjaan RM4,000 itu digunakan untuk makan, pengangkutan dan banyak lagi.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui menjadi seorang pelajar di universiti bukanlah mudah dan memerlukan perbelanjaan untuk membayar yuran pelajaran termasuk kos sara hidup.

Malah keadaan ekonomi yang semakin menghimpit adakalanya membuatkan segelintir pelajar terpaksa mengikat perut atau bekerja kerana enggan menyusahkan ibu bapa mahupun penjaga.

Namun adakalanya ada yang tertanya-tanya berapakah jumlah ideal yang diperlukan oleh seseorang pelajar bagi menyara kehidupan mereka di universiti?

Eksperimen sosial tanya berapa pelajar berbelanja sebulan raih perhatian

Baru-baru ini, tular satu video memaparkan ekperimen sosial di sebuah universiti awam yang bertanya kepada para pelajar jumlah perbelanjaan untuk sebulan.

Menerusi video yang dimuat naik oleh Desasiswa Restu di TikTok, awalnya pelajar lelaki yang pertama memaklumkan dia berbelanja sekitar RM500 dan akan mengurangkan duit makan untuk satu hari sekiranya mempunyai perancangan berhibur.

Ramai berbelanja sekitar RM300 hingga RM600 sebulan

Bagi pelajar kedua yang merupakan seorang wanita mengatakan dia berbelanja sekitar RM500 hingga RM600. Manakala pelajar ketiga memaklumkan dia menggunakan kira-kira RM300 hingga RM400 untuk perbelanjaan sebulan.

Namun berbeza dengan pelajar keempat apabila lelaki tersebut memberitahu jumlah perbelanjaannya untuk sebulan hanya RM210 dan meletakkan bajet makan sehari sekitar RM8.

Ada juga pelajar wanita memaklumkan perbelanjaannya untuk sebulan sekitar RM1,000 dan ke atas bagi makan, pakaian, barangan penjagaan diri seperti produk kecantikan dan sebagainya.

Malah pelajar itu memaklumkan dia suka melakukan aktiviti ‘cafe hunting’.

Pelajar maklum belanja RM4,000 buat ramai terkejut

Apa yang lebih menarik perhatian, seorang lagi pelajar wanita memaklumkan berbelanja lebih daripada RM4,000 untuk sebulan.

“Saya berbelanja dekat makanan, pengangkutan, saya banyak pergi asthetic kafe. Lepas tu, saya ada pergi buat ‘facial’,” katanya dalam video tersebut.

Pendedahan wanita itu secara tidak langsung telah menarik perhatian ramai yang terkejut dengan perbelanjaannya sebagai seseorang yang masih belajar.

Menyedari perkara itu, pelajar itu kemudiannya tampil di ruangan komen memaklumkan dia tersilap mendengar soalan dan memberi penjelasan.

“Saya tersilap dengar soalan kerana ia adalah soalan spontan. Saya ingatkan dia (host) tanya 1 semester jadi RM4,000 tu 1 semester tau bukan 1 bulan.

“Selain itu, wang yang saya belanjakan mengikut kehendak adalah duit saya bekerja dan kumpul sendiri. Jadi harap jangan kisah mengenai cara saya berbelanja memandangkan saya memperolehnya sendiri,” kata pelajar itu.

Ramai prihatin dengan pelajar berbelanja RM210 sebulan

Walau bagaimanapun di ruangan komen, turut dapat dilihat ramai yang prihatin dengan pelajar yang berbelanja RM210 kerana merasakan ia terlalu sedikit.

Malah ada yang mendoakan dia mendapat pekerjaan yang bergaji tinggi apabila sudah bekerja kelak.

Ada juga yang berpendapat perbelanjaan sekitar RM500 hingga RM1,000 adalah normal.

“RM4,000 weh. Aku dulu 2014 diploma sebulan spend RM1500 tapi beli nasi sehari sekali je. Belajar pula dekat PD masa tu memang zaman tengah murah, nasi + lauk + sayur total RM7 paling mahal.”

“RM210 makan bajet dalam RM8. Semoga awak berjaya suatu hari nanti adik.”

“RM210, RM300, RM400 adalah anak-anak yang sedar diri dan kasih akan keluarga. Walaupun kita kaya. Anak yang pandai berjimat adalah anak yang akhlak terbaik. Semoga mudah kerjaya dan kehidupan.”

“Kalau satu hari makan RM8 je, lauk apa adik ni makan sepanjang hari tu?”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.