Ramai Terhibur Lihat Gelagat Bapa & Anak Buat Tarian Singa Di Rumah [Video]
Menerusi video yang dikongsikan, kedengaran si kecil mengekek kegembiraan apabila bapa melayannya melakukan tarian singa itu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tidak lama sahaja lagi semua rakyat Malaysia khususnya kaum Cina akan meraikan Tahun Baru Cina pada akhir Januari ini.
Susulan itu, kita dapat melihat banyak pusat membeli-belah telah mula mempromosikan pakaian sempena perayaan ini. Selain itu, ada juga yang menjual kuih dan manisan seperti kek bulan dan sebagainya.
Bukan hanya itu antara perkara yang menarik setiap kali tibanya Tahun Baru Cina selain daripada makanan adalah pertunjukan bunga api dan juga tarian singa.
Tarian singa dipersembahkan kepada orang ramai ini bukan sahaja comel malah ramai yang kagum melihat aksi lincah mereka menari, melompat pada satu tahap ketinggian selepas melakukan latihan untuk tempoh yang lama.
Dua beranak jadi perhatian kerana buat tarian singa di rumah
Baru-baru ini, dua beranak iaitu bapa dan anak kecilnya menjadi perhatian ramai apabila tular aksi mereka melakukan tarian singa sewaktu berada di rumah.
Menerusi video tular yang dikongsikan oleh si ibu, Noorfaeza di TikTok kelihatan dua beranak ini menggunakan kostum khas untuk melakukan tarian singa.
Siap buka lagu dan buat platform untuk melompat
Malah apa yang menjadi perhatian, mereka turut membuka bunyi yang sering digunakan oleh penari tarian singa setiap kali melakukan persembahan itu.
Bukan hanya itu, bapa juga turut menyediakan enam bantal sebagai platform untuk anaknya melompat sama seperti dilakukan oleh penari profesional.
Dalam video itu, kelihatan si anak memegang kepala singa, manakala bapanya pula di bahagian belakang atau badan. Sebaik keluar daripada tepi dinding si bapa langsung mengangkat anaknya untuk memijak bantal yang kononnya dijadikan platform.
Kelihatan si anak turut mengangkat kakinya dan menggerakkan kepala singa sama seperti yang dipersembahkan di dalam televisyen mahupun di tempat awam.
Kedengaran si kecil begitu gembira apabila ayah melayan keinginannya untuk melakukan tarian berkenaan.
Gelagat dua beranak itu adakalanya membuatkan Noorfaeza pening melihat mereka.
“Saya pun tak tahu, adakalanya tak faham dengan mereka berdua,” kata ibu di ruangan kapsyen.
Ramai terhibur lihat kanak-kanak buat tarian singa dengan bapa
Mejengah ke ruangan komen, ramai yang terhibur melihat gelagat si bapa dan anak kecilnya. Malah ada yang menyifatkan mereka comel.
Ada juga yang berseloroh ingin membuat tempahan untuk mereka melakukan persembahan sebagai hadiah hari jadi.
Tidak kurang juga yang berkongsi pengalaman anak mereka juga mempunyai obesesi yang sama iaitu tarian singa.