Kerana Minat, Lelaki Sanggup Kutip Tin Minuman & Besi Buruk Untuk Kumpul Duit Beli Figura
Menurut Zulhafizie, dia langsung tidak menganggap duit yang dibelanjakan untuk membeli figura mainan yang disukai termasuk Ultraman sebagai pembaziran sebaliknya ia satu kepuasan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap individu pasti mempunyai minat tersendiri terhadap sesuatu perkara sebagai contoh ada yang meminati sukan bola, penyanyi serta banyak lagi.
Malah kerana minat ada juga yang sanggup menghabiskan ratusan mahupun ribuan wang ringgit demi membeli sesuatu barangan yang sesuai dengan minat mereka.
Meskipun tahu harganya mahal, namun kerana minat segala usaha akan dilakukan untuk membeli barangan yang dihajati.
Sanggup kutip tin minuman dan besi buruk lepas balik sekolah kerana nak kumpul duit beli figura mainan
Perkara sama turut dilakukan oleh seorang lelaki ini apabila dia sanggup mengutip tin minuman serta besi buruk apabila pulang sekolah pada suatu masa dahulu demi mendapatkan wang membeli barangan yang diminati.
Lelaki yang dikenali sebagai Mohamad Zulhafizie Senin berusi 27 tahun ini mempunyai minat dalam mengumpul mainan.
Malah dia juga pernah membeli figura yang diminati bernilai RM1,000 menggunakan duit syiling yang sudah dikumpul.
Figura terkumpul bernilai puluhan ribu ringgit
Walau pun kini sudah dewasa namun minat dalam mengumpul mainan masih lagi dilakukannya bahkan jika dinilai setiap koleksi yang dimiliki ia boleh mencecah kepada puluhan ribu ringgit.
Pemuda yang juga bekerja sebagai seorang pensyarah Reka Bentuk Dalaman di Kolej Komuniti Miri, Sarawak ini menyifatkan dia langsung tidak merasakan wang digunakan untuk membeli dan memiliki mainan diinginkan sebagai pembaziran sebaliknya ia adalah kepuasan.
Jelasnya dia minat mengumpul barangan mainan ini sejak berusia lapan tahun pada 2008.
“Mainan pertama saya ialah figura Transformers pemberian ayah (Senin Usop). Walaupun ayah meninggal dunia lapan tahun lalu, mainan itu masih saya simpan sehingga sekarang.
“Mainan pertama yang saya beli sendiri ialah figura Ultraman ketika di tingkatan tiga. Saya membelinya dengan duit raya serta hasil jualan besi buruk dan bateri kereta,” ujarnya, dipetik Harian Metro.
Jelasnya selain mempunyai figura Transformers, Zulhafizie juga minat mengumpul mainan seperti Ultraman dan Kamen Rider yang merupakan karakter yang paling disukai.
Belanja RM500 sebulan untuk beli mainan yang disukai
Zulhafizie turut mendedahkan dia berhabisan sekitar RM500 sebulan bagi membeli mainan yang disukakannya.
“Koleksi (mainan) saya yang paling banyak adalah Kamen Rider dan bukan saja mainan malah ada juga tali pinggangnya.
“Ada mainan baru dan ada juga yang terpakai malah saya pernah pesan dengan kawan membelinya di Jepun.
“Semua koleksi mainan itu saya letakkan di bilik khas tapi ada juga yang disimpan dalam rak dekat ruang tamu.”
Selain mengumpul figura mainan Zulhafizie juga seorang pemain cosplay dan memaklumkan dia selalu mendapat sokongan daripada ahli keluarga terhadap minatnya itu.
Walaupun ada segelintir yang mempersoalkan minat itu dan inginkan dia berhenti dan mengakui pernah terfikir untuk berhenti.
“Sebenarnya, saya pernah nak berhenti jadi pengumpul mainan tapi tak jadi kerana bertambah semangat bila tengok koleksi kawan.
“Buat masa ini masih nak teruskan, cuma kawal perbelanjaan selain isteri (Nur Qayyimah Ahmad Rosli, 30) sudah hamil, tak lama lagi kami akan dapat cahaya mata sulung jadi perlu buat persediaan daripada segi kewangan.
“Apa pun, saya ingat pesan arwah ayah supaya jangan beli saja mainan dan biar jadi debu tapi manfaatkan dengan cara yang boleh mendatangkan hasil. Sebab itu saya pun menjual mainan secara kecil-kecilan,” ucapnya lagi.