Ramai Puji Lelaki Tak Ambil Bayaran Daripada Warga Emas Lepas Baiki Tayar Bocor [Video]
Kongsi pengguna berkenaan, dia mendapat panggilan daripada seorang pemuda yang meminta dia untuk menukar tayar bocor di sebuah lokasi di Kuala Lumpur.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap individu sering dinasihatkan untuk saling bantu-membantu antara satu sama lain khususnya buat mereka yang sedang dilanda kesusahan.
Bagi mereka yang mendapat pertolongan, kadangkala terbit rasa terhutang budi hingga ada yang mahu membayar harga pertolongan tersebut dengan wang ringgit.
Namun, bagi kebanyakan orang, bantuan yang diberikan adalah ikhlas dari hati apatah lagi jika yang dibantu itu merupakan warga emas.
Lelaki Dapat Panggilan Minta Baiki Tayar Motosikal Bocor
Semalam (8 November) tular di media sosial perbuatan baik seorang lelaki yang dipercayai mekanik membantu pasangan warga emas.
Menerusi video yang dikongsikan di TikTok @minyakhitamjalanan, pengguna itu berkongsikan kisahnya menghulurkan bantuan kepada pasangan tersebut kerana tayar motosikal milik mereka bocor.
Kongsi pengguna berkenaan, dia mendapat panggilan daripada seorang pemuda yang meminta untuk menukar tayar bocor di salah sebuah lokasi di Kuala Lumpur.
Namun, dia meminta pemuda itu untuk menunggu di stesen minyak berhampiran kerana risau pam miliknya tidak dapat menampung angin tayar tersebut.
Rupanya Dapat Panggilan Bagi Pihak Orang Lain, Warga Emas Dah Tunggu 3 Jam Depan Bengkel Yang Tutup
Apa yang menjadi perhatian adalah rupanya pemuda itu bukanlah menelefon untuk dirinya.
Sebaliknya, dia menelefon bagi pihak pasangan warga emas yang baru sahaja ditemuinya.
Difahamkan, warga emas itu telah duduk di hadapan sebuah kedai motosikal selama tiga jam namun premis berkenaan tidak beroperasi.
Terus Bergegas Ke Lokasi Untuk Baiki Tayar Rosak
Mendengar kenyataan individu terbabit, pengguna berkenaan terus bergegas pergi ke lokasi yang dinyatakan apatah lagi cuaca pada ketika itu menunjukkan tanda-tanda akan hujan.
Sebaik tiba di lokasi yang diberikan, dia terus bertanyakan soalan kepada lelaki warga emas ke mana destinasi yang mahu dituju oleh mereka.
Rupanya lelaki warga emas yang menggelarkan dirinya sebagai pak cik itu menjelaskan dia baru mengambil isterinya pulang dari kerja.
Namun, tayar motosikalnya tiba-tiba bocor hingga menyebabkan dia terlanggar sebuah kereta. Pun begitu, kedua-duanya bernasib baik kerana tiada kecederaan yang serius.
Warga Emas Mahu Buat Bayaran Namun Ditolak
Melalui perkongsian tersebut, dapat dilihat pengguna berkenaan berjaya mengeluarkan skru serta membaiki tayar motosikal warga emas itu.
Ketika dia sudah menyelesaikan kerjanya, warga emas berkenaan dilihat mahu membuat bayaran.
Namun, kerana mereka dilihat seperti ibu bapa sendiri, pengguna berkenaan enggan menerima bayaran tersebut. Bahkan, dia turut meminta mereka mendoakannya murah rezeki.
“Eh tak payah bayar. Tak payah. Mak cik doakan saya murah rezeki je,” kata pengguna tersebut.
Ramai Puji & Doakan Lelaki
Video yang telah mendapat lebih 874,000 tontonan itu nyata mendapat perhatian pengguna media sosial.
Mengintai ke ruangan komen, majoriti mereka menzahirkan ucapan terima kasih dan memuji kebaikan pengguna berkenaan dalam memberi bantuan kepada pasangan warga emas itu.
Malah, ada yang mendoakan agar urusan pengguna berkenaan berjalan dengan lancar.
Berikut antara komen pengguna TikTok:
“Sebanyak Mana Tayar Tu Berpusing, Semoga Sebanyak Itu Pahala Abang Berterusan”
“Aku Terbayang Macam Mana La Kalau Mak Ayah Aku Sendiri Yang Berada Di Situasi Macam Ini”
“Abang Memang Hebat, Saya Respect Abang, Semoga Dimurahkan Rezeki”
“Semoga Abang Ada 10 Biji Kedai Atas Nama Sendiri”
Baca Artikel Berkaitan: Wanita Sanggup Pandu Kereta Dengan Perlahan Demi Bantu Warga Emas Lalu Jalan Gelap [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “World Class Mentality” – Tindakan Driver Rapid KL Bantu Warga Emas Turun Dari Bas Raih Pujian Ramai [Video]