“Sedih Sebab Tak Alert Kebolehan Mata Dia” – Wanita Kongsi Cara Suami OKU Penglihatan Cari Surau [Video]
Menurut wanita itu, suaminya merupakan seorang OKU penglihatan kategori B2 dengan mata kanan yang buta sejak lahir dan penglihatan mata kiri sekitar 20% hingga 30%.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum sedia maklum sesetengah individu dilahirkan ke dunia tanpa fungsi tubuh badan yang lengkap seperti orang lain.
Pun begitu, keadaan fizikal tersebut tidaklah menghalang golongan orang kurang upaya (OKU) ini daripada menunaikan tanggungjawab termasuklah dalam menjalankan suruhan Allah SWT.
Kegigihan dan kesabaran mereka sememangnya menyentuh hati orang ramai, sekaligus dapat menjadi iktibar buat seisi masyarakat.
Baca Artikel Berkaitan: “Sejuk Hati Dengar” – Suami OKU Pendengaran Gigih Lafaz Surah Al-Fatihah Undang Sebak
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Merangkak Untuk Ambil Wuduk, Lelaki OKU Gigih Solat Awal Waktu Buat Ramai Rasa Insaf
Wanita Kongsi Bagaimana Suami OKU Penglihatan Cari Surau
Seorang wanita dikenali sebagai Wani Mustafa sering berkongsi di TikTok mengenai suaminya yang merupakan OKU penglihatan.
Satu perkongsian baharu olehnya telah menyentuh hati orang ramai apabila dia menunjukkan bagaimana suaminya mencari surau apabila bersendirian.
“Walaupun aku dah berkahwin dengan dia lebih daripada 8 tahun, tapi jujurnya masih ada benda yang aku tak tahu tentang tahap penglihatan dia,” luahnya di hantaran tersebut.
Wani berkata kebiasaannya suaminya akan ditemani oleh anak bongsu mereka apabila ingin ke surau atau tandas. Namun dia ketika itu terlupa yang suaminya perlu dibantu apabila anak bongsunya ke sekolah.
“Bila terpandang tadi gerak-geri dia mencari surau, mulalah rasa sedihnya sebab tak alert kebolehan mata dia. Aku cuma guide dia dari jauh je tadi,” katanya.
Lelaki OKU Kenal Pasti Surau Guna Fungsi ‘Zoom’ Kamera Telefon
Wanita itu juga baru menyedari bahawa suaminya akan menggunakan fungsi ‘zoom’ kamera telefon pintar untuk mengenal pasti papan tanda surau atau tandas lelaki.
Dia dalam pada itu berkata orang sekeliling tidak akan benar-benar faham dengan keadaan seorang individu OKU penglihatan jika tidak bergaul lama dengan mereka.
Wani sebelum ini menjelaskan bahawa suaminya merupakan seorang OKU penglihatan kategori B2, iaitu boleh melihat sedikit dalam jarak yang dekat. Mata kanannya telah buta sejak lahir, manakala mata kirinya hanya mempunyai penglihatan sekitar 20% hingga 30%.
Malah, penglihatan individu OKU penglihatan B2 akan lebih teruk dalam keadaan gelap atau di waktu malam.
Mengikut penakrifan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) orang buta adalah mereka yang mempunyai penglihatan kurang daripada 3/60 pada mata yang lebih baik walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan atau medan penglihatan kurang daripada 10 darjah daripada ‘fixation’.
Penglihatan Terhad (Low Vision/Partially Sighted) pula adalah penglihatan lebih teruk daripada 6/18 tetapi sama dengan atau lebih baik daripada 3/60 walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan atau medan penglihatan kurang daripada 20 darjah daripada ‘fixation’.
Pengguna Media Sosial Terharu Lihat Lelaki OKU Penglihatan Cari Surau
Menjenguk ke ruangan komen, orang ramai ternyata terharu dengan perkongsian tersebut dan mendoakan agar pasangan suami isteri itu dipermudahkan segala urusan.
Seorang individu memujuk Wani dengan berkata dia mungkin terlupa suaminya memerlukan bantuan kerana lelaki itu sempurna di matanya.
Buat beberapa pengguna media sosial pula, melihat kegigihan seorang lelaki OKU yang ingin menunaikan solat walaupun terdapat kekurangan pada dirinya menimbulkan rasa keinsafan.
Dalam pada itu, beberapa individu berkongsi pengalaman mereka sendiri serta ahli keluarga yang turut mengalami masalah penglihatan.
Mereka berkata terdapat ahli keluarga OKU penglihatan juga tidak menggunakan tongkat, lebih-lebih lagi apabila ke tempat yang telah biasa dikunjungi.
Seorang wanita yang merupakan OKU penglihatan berkata dia turut menggunakan fungsi kamera telefon seperti lelaki tersebut apabila berseorangan.
Baca Artikel Berkaitan: “Nangis Tanpa Dengar Satu Bunyi Pun” – Qi Razali Terharu Golongan OKU Pekak Enjoy Tonton Filem ‘Babah’
Baca Artikel Berkaitan: Adakah Golongan OKU Digelar Sebagai Anak Syurga? Ini Penjelasan UAI
Baca Artikel Berkaitan: Raih 2.5 Juta Tontonan, Video Wanita OKU Buta Penglihatan Dedah Cara Urus Haid Undang Perhatian Ramai