Boleh Beri Kesan Buruk Jika Tidak Dikawal, Ini 5 Cara Elak Anak Ketagih Gajet Yang Ibu Bapa Perlu Tahu
Tidak dinafikan, telefon pintar dapat memberi pelbagai maklumat yang diperlukan, namun jika tidak dikawal penggunaannya kepada kanak-kanak, sudah pasti ia boleh mendatangkan keburukan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tanggungjawab ibu bapa pada masa kini boleh dikatakan semakin mencabar dalam mendidik anak-anak yang mudah terjebak dan ketagih dengan gajet elektronik terutamanya telefon pintar.
Tidak dinafikan, teknologi seperti ini dapat memberi pelbagai kebaikan kerana segala maklumat yang ingin dicari boleh diperoleh di hujung jari sahaja.
Bagaimanapun, jika tidak dikawal penggunaannya kepada kanak-kanak, ia sudah pasti boleh membawa kepada masalah atau kesan yang lebih buruk.
Susulan itu, ibu bapa haruslah memainkan peranan utama dalam mengawal penggunaan gajet pada anak-anak mereka.
Berikut kami kongsikan kepada anda lima cara untuk mengelak anak-anak daripada ketagih gajet, seperti yang dikongsikan Kosmo.
#1 Luangkan masa bersama anak
Kesibukan kerja tidak seharusnya dijadikan alasan untuk ibu bapa tidak meluangkan waktu bersama anak-anak dan membiarkan si kecil itu bermain telefon pintar untuk menghiburkan dirinya.
Anak-anak sebenarnya memerlukan keberadaan ibu bapa untuk memberi kasih sayang, panduan dan bimbingan kepada mereka.
Pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk meluangkan masa bersama anak-anak seperti beriadah di luar atau melakukan pelbagai aktiviti di rumah seperti bermain, mengemas rumah bersama-sama dan sebagainya.
Aktiviti-aktiviti sebegini juga dapat membantu anak-anak untuk berkomunikasi dengan lebih baik selain dapat membantu dalam hubungan sosial dan perkembangan pemikiran mereka.
#2 Hadkan masa penggunaan gajet
Sebagai ibu bapa, melarang anak-anak daripada menggunakan gajet sepenuhnya juga tidak boleh, apatah lagi ketika ini terdapat pelbagai pembelajaran yang dilakukan menerusi video yang dimuat naik di media sosial.
Ilmu pengetahuan mengenai teknologi maklumat juga penting buat kanak-kanak, namun ibu bapa haruslah memainkan peranan dengan menetapkan peraturan penggunaan gajet bagi memastikan mereka tidak menggunakannya secara berlebihan.
Langkah ini penting dalam mendisplinkan anak-anak selain mereka boleh menghargai masa dengan mengisi aktiviti berfaedah yang lain.
Sebagai contoh, hadkan masa bermain gajet kurang 20 minit pada satu-satu tempoh bagi mengelak anak-anak terlalu leka dan menjadi ketagih.
#3 Jangan biarkan anak bermain gajet seorang diri
Membiarkan kanak-kanak bermain gajet seperti telefon pintar yang disambungkan dengan rangkaian internet adalah satu kesilapan paling besar.
Hal ini kerana di enjin carian (search engine) mahupun platform-platrom media sosial terdapat banyak konten yang berkaitan dengan keganasan serta pornografi yang boleh diakses oleh kanak-kanak.
Susulan itu, penting untuk ibu bapa sentiasa mengawasi anak-anak ketika bermain gajet terutamanya telefon pintar.
#4 Beri ganjaran kepada anak-anak
Jika orang dewasa boleh bersemangat untuk kerja kerana ganjaran yang ditawarkan oleh majikan, begitu juga dengan kanak-kanak.
Ibu bapa boleh memberikan ganjaran kepada anak-anak sekiranya mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan. Tak perlu berhabis banyak duit, membeli hadiah yang murah juga sudah memadai.
Perkara sebegini adalah penting kerana ia dapat menggalak kanak-kanak untuk terus berbuat baik dan mematuhi peraturan.
Selain itu, jangan lupa memberi pujian supaya mereka terus bersemangat mengikuti segala peraturan yang ditetapkan oleh ibu bapa.
Walaupun pada awalnya sangat sukar, namun apabila dilakukan secara berterusan, ia akan menjadi sebati dalam diri anak-anak.
#5 Ibu bapa perlu tunjuk teladan yang baik
Kanak-kanak juga mengetahui dan mempelajari sesuatu dengan melihat persekitaran di sekelilingnya dan perkara itu bermula dari rumah.
Jika ibu bapa sendiri lebih banyak meluangkan masa bersama telefon pintar, mana tidak anak tak terikut, seperti peribahasa, bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menunjukkan contoh terbaik seperti tidak menggunakan telefon ketika di meja makan, semasa bersama keluarga atau melakukan sebarang aktiviti di rumah.
Bukan sahaja meminta anak-anak menuruti arahan diberikan, tetapi sebagai ibu bapa, anda juga perlu menunjukkan contoh yang baik.