Lelaki Terjumpa Beg Ditepi Jalan, Gigih Cari Pemiliknya Sampai Jumpa [Video]
Dia dapat mengesan pemilik asal beg berkenaan yang merupakan seorang lelaki warga emas dengan melihat maklumat yang ada pada MyKad.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
“Buat baik pasti dibalas baik”
Kata-kata sebegini pasti kita pernah mendengar untuk mengajak orang ramai agar berbuat baik supaya perkara yang sama berbalik kepada diri kita.
Malah, sejak kecil lagi kita telah diajar untuk tidak mengambil barang yang bukanlah hak kita meskipun menemuinya.
Tidak dinafikan, didikan sebegitu masih ramai yang mengingatinya dan menerapkannya di dalam diri mereka sehinggalah dewasa.
Lelaki gigih cari pemilik beg yang tercicir
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan usaha gigih seorang lelaki mencari pemilik kepada sebuah beg sandang yang ditemuinya.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @pitstopakustik, beg terbabit dipercayai tercicir di tepi sebuah kawasan jalan di Kepala Batang, Pulau Pinang.
Menurut lelaki itu, perkara tersebut adalah ujian daripada Tuhan kepada dirinya, sama ada memulangkannya atau mengambilnya.
Selongkar beg untuk cari maklumat pemiliknya
Dia kemudiannya bertindak menyelongkar ‘sling bag’ itu untuk memeriksa barang yang ada di dalam dan mengesan pemiliknya.
Di dalam beg tersebut, terdapat sebuah dompet dan telefon bimbit yang telah rosak dipercayai akibat digilis kenderaan lain.
Sementara di dalam dompet pula, ada pelbagai kad seperti kad bank, kad pengenalan diri, lesen memandu serta wang tunai berjumlah lebih RM100.
Dia dapat mengesan pemilik asal beg berkenaan yang merupakan seorang lelaki warga emas dengan melihat maklumat yang ada pada MyKad.
Tak putus asa, cari pemilik beg sampai jumpa
Pada awal pencarian, lelaki terbabit telah pergi ke sebuah lokasi mengikut alamat yang tertera pada kad pengenalan itu, namun tidak menjumpai rumah pemiliknya.
Apa yang mengharukan, dia tidak berputus asa dan pergi ke balai polis pula untuk membuat laporan sebelum menemui alamat sebenar tempat tinggal warga emas tersebut, tetapi masih tidak dapat memulangkannya.
Pada akhirnya, lelaki itu berjaya menghubungi anak kepada warga emas berkenaan dan memulangkan beg terbabit.
Di ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memberi pujian kepada lelaki tersebut kerana tidak berputus asa mencari pemilik beg berkenaan sehingga jumpa.
Malah, ramai yang menitipkan doa kepadanya agar segala urusannya juga dimudahkan oleh Allah SWT.