fbpx
Now Reading
“Rupanya Dia Yang Tinggalkan Saya”- Tular Isteri Meninggal Dalam Pelukan, Suami Kongsi ‘Tanda’ Isteri Sebelum Pergi

“Rupanya Dia Yang Tinggalkan Saya”- Tular Isteri Meninggal Dalam Pelukan, Suami Kongsi ‘Tanda’ Isteri Sebelum Pergi

Ketika ditanya adakah isterinya itu ada menunjukkan tanda sebelum meninggal dunia, Amirul Nafis menjelaskan dia tidak menyedarinya sehingga selepas pemergian Nur Izzaty Hafizah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, media sosial dikejutkan dengan kisah seorang wanita yang meninggal dunia dalam pelukan suaminya ketika tidur.

Apa yang menjadi perhatian, wanita yang dikenali sebagai arwah Nur Izzaty Hafizah Abuhuraira dikatakan sempat memberi susu kepada bayi lelakinya yang baru sahaja berusia dua bulan sebelum pergi menghadap Ilahi.

Kisah menyayat hati itu nyata mendapat perhatian ramai hingga ia masih hangat lagi diperkatakan hingga kini.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ‎اَلْحَمْدُ ِللهِ…

Posted by Amirul Nafis Amirnuddin on Sunday 5 January 2025

Isteri Tidak Hidap Sakit Serius, Hanya Alami Sengugut Pada Malam Sebelum Meninggal Dunia

Memetik Harian Metro, suami wanita berkenaan yang dikenali sebagai Amirul Nafis Amirnuddin mendedahkan isterinya yang baru berusia 19 tahun itu langsung tidak menghidap sebarang penyakit.

Allahyarham Nur Izzaty Hafizah dikatakan hanya mengalami senggugut pada malam sebelumnya.

Malah, sebelum beberapa jam menghembuskan nafas terakhir pada 6 Januari lalu jam 9 pagi, ibu muda itu sempat meminta Amirul Nafis untuk memeluk dirinya.

“Papa, peluklah mama…tak nak peluk mama ke?” cerita Amirul Nafis.

Baru Pulang Dari Bercuti Di Beberapa Negeri

Tambah lelaki yang berusia 27 tahun itu, mereka sekeluarga sempat pergi bercuti di Terengganu, Cameron Higlands, Pahang dan Pulau Pinang bagi menyambut tahun baharu.

“Waktu itu, kami baru pulang dari Pulau Pinang dan sampai rumah jam 1 pagi, malah sempat bermain dengan anak sehingga jam 2.30 pagi sebelum tertidur.

“Subuh hari kejadian, isteri kejutkan saya untuk solat sementara dia buatkan susu sebelum beri susu pada anak.

“Selesai semuanya, dia beritahu nak tidur dan saya tersedar jam 9 pagi apabila terdengar isteri seolah menggelupur sebelum menarik nafas kuat dan terkulai. Saya terus memanggil ayah naik ke atas dan cuba beri bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum ambulans tiba,” katanya.

Malah, sebaik ambulans sampai ke rumah, pasukan perubatan turut memberi bantuan CPR menggunakan mesin pernafasan.

Namun, segala usaha menyelamatkan Nur Izzaty Hafizah gagal dan dia kemudiannya disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 pagi.

Hasil Bedah Siasat Tunjuk Ada Jangkitan Kuman

Kongsi Amirul Nafis yang tinggal di Bandar Tasik Puteri Rawang, Selangor itu, segalanya berlaku begitu pantas dan dia kehilangan isteri tersayang dalam sekelip mata.

“Dia (isteri) memang sihat, tak ada sakit malah bacaan darah dan gulanya juga baik hasil pemeriksaan di klinik kesihatan kerana dia seorang yang menjaga pemakanan.

“Tetapi, hasil pemeriksaan selepas bedah siasat mendapati, ada tompokan jangkitan kuman pada paru-parunya,” ujarnya.

Sedar Isteri Tunjuk ‘Tanda’ Akan Pergi Selepas Meninggal Dunia

Ketika ditanya adakah pasangannya itu ada menunjukkan tanda sebelum meninggal dunia, lelaki itu menjelaskan dia tidak menyedarinya sehingga selepas pemergian Nur Izzaty Hafizah.

“Banyak juga yang saya perasan selepas isteri tiada, antaranya isteri minta hendak guna kad kredit saya untuk langsaikan semua hutangnya tiga hari sebelum meninggal dunia.

“Pada 4 Januari lalu, isteri teringin hendak makan daging wagyu dan saya bawanya ke restoran di sebuah pusat beli belah di Kuala Lumpur.

“Dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke rumah pula, isteri letak tangannya di pipi saya dan ucap terima kasih, dia beritahu kepada saya jangan baik sangat kerana orang baik selalu pergi dulu, tapi rupanya dia yang terlebih dulu tinggalkan saya.

“Itu belum lagi bungkusan pelbagai barangan keperluan bayi yang sempat dibeli isteri dan ia seolah-olah bekalan buat anak kami,” kongsinya lagi.

Reda Dengan Pemergian Isteri Walaupun Sukar

Tambah Amirul Nafis lagi, dia reda dan akan tabahkan hati menempuh hari mendatang walaupun sukar tanpa isterinya di sisi.

“Isteri seorang yang ceria malah disenangi seluruh ahli keluarga. Kami cukup terasa apabila dia tiada kerana dia sangat baik, malah ramai yang datang pada hari pengebumian dan majlis tahlilnya,” jelasnya lagi.

Baca Artikel Berkaitan: “Cinta Sampai Syurga” – Lelaki Dijemput Ilahi Selepas 2 Minggu Isteri Meninggal Dunia Ketika Bersalin [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Suami Terkilan Isteri Meninggal Dunia Pada Hari Keempat Berpantang, Majikan Hanya Bagi Dua Hari Cuti Paterniti

Baca Artikel Berkaitan: Suami Meninggal Dunia Selang 2 Jam Selepas Isteri Menghadap Ilahi

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.