fbpx

Betul Ke Tak Elok Bercakap Ketika Makan? Ini Penjelasannya [Video]

Menurut Dr Rozaimi Ramle, terdapat beberapa hadis Rasulullah SAW yang menceritakan tentang situasi Baginda bercakap-cakap ketika makan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Sewaktu sedang makan terdapat adab-adab yang harus diikuti demi menjaga kesihatan dan menghormati makanan.

Salah satu perkara yang sering dilarang ketika makan adalah bercakap yang disifatkan sebagai kurang sopan.

Namun baru-baru ini, timbul kenyataan bahawa bercakap ketika makan merupakan salah satu sunnah.

Zahiril Adzim Ditegur Kerana Bercakap Ketika Makan

Mengulas isu ini, Dr Rozaimi Ramle berkata ada hadis Rasulullah SAW yang menceritakan bahawa terdapat situasi bercakap-cakap ketika makan.

Beliau menerangkan tentang perkara itu selepas pelakon Zahiril Adzim berkata bahawa bercakap ketika makan merupakan satu sunnah.

Difahamkan dia berkata sedemikian setelah ditegur sewaktu membuat Live kerana bercakap sambil makan.

Menurut Dr Rozaimi, dalam hadis riwayat Imam Bukhari, Nabi Muhammad SAW telah diberikan kambing bahagian betis. Lalu Baginda jamah sedikit daripada daging kambing tersebut dan berkata, “Aku ialah penghulu bagi manusia.”

Riwayat tersebut menjelaskan bahawa Rasulullah SAW ada bercakap ketika makan.

Bercakap Ketika Makan Bagi Memberikan Kemesraan

Di dalam hadis yang lain yang diriwayatkan Jabir, katanya:

أنَّ النبيَّ صَلّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ سَأَلَ أَهْلَهُ الأُدُمَ، فَقالوا: ما عِنْدَنا إلّا خَلٌّ، فَدَعا به، فَجَعَلَ يَأْكُلُ به، ويقولُ: نِعْمَ الأُدُمُ الخَلُّ، نِعْمَ الأُدُمُ الخَلُّ

Maksudnya: “Nabi SAW meminta kepada ahli keluarganya lauk. Mereka menjawab: ‘Kami tidak mempunyai lauk melainkan cuka.’ Lalu, Baginda meminta supaya dibawakan kepadanya cuka itu dan Baginda pun memakannya sambil bersabda: ‘Sebaik-baik lauk adalah cuka, sebaik-baik lauk adalah cuka.’”

Riwayat Muslim (2052)

Tambah Dr Rozaimi, Imam Nawawi berkata hadis ini menunjukkan bahawa digalakkan untuk bercakap ketika sedang makan kerana ia menjadi satu bentuk kemesraan kepada mereka yang makan bersama.

“Islam menggalakkan kita berhimpun untuk makan bersama-sama. Jadi kalau semua diam sahaja, tak begitu seronoklah sesi makan itu.

“Ini merupakan perkara yang biasa kita lakukan bersama. Makan dengan kawan-kawan, adakan jamuan. Kita bercakap-cakap untuk memberikan kemesraan,” ujarnya.

Dilarang Bercakap Ketika Sedang Kunyah Makanan

Namun tambah Dr Rozaimi, harus diingat agar seseorang tidak bercakap sewaktu makanan penuh di dalam mulut hingga tersembur keluar.

Perkara sama turut disebut oleh penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus iaitu makruh bercakap ketika terdapat makanan di dalam mulut.

“Nabi SAW berbual ketika sedang makan. Tetapi bukan sedang kunyah. Sedang makan bermakna bercakap dua, tiga patah selepas telan,” jelasnya.

Bercakap Ketika Makan Salah Satu Adab Makan

Sebelum ini, bekas Menteri Agama Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut menerangkan berkenaan situasi bercakap ketika makan.

Jelasnya, bercakap ketika makan sememangnya dianjurkan dalam Islam apatah lagi untuk berkata-kata tentang perkara yang baik dan bercerita tentang kisah orang soleh.

Perkara ini adalah seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi berdasarkan kenyataan Imam al-Ghazali dalam al-Ihya’ bahawa bercakap perkara baik semasa makan dan bercerita tentang kisah orang-orang soleh berkaitan makanan dan lain-lain merupakan antara adab makan.

Selain itu, dinukilkan bahawa Ibn al-Jauzi menyebutkan salah satu adab makan adalah tidak berdiam diri ketika makan, sebaliknya berbicara perkara baik dan menceritakan kisah orang-orang soleh berkaitan makanan.

Tidak Mencela Makanan Antara Adab Rasulullah SAW Ketika Makan

Selain bercakap, Rasululah SAW telah mengajar beberapa adab lain ketika makan yang seharusnya menjadi ikutan.

Merujuk kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), antara sunnah tersebut adalah:

  • Tidak mencela makanan yang tidak disukai
  • Mencuci tangan sebelum dan selepas makan
  • Membaca ‘Bismillah’ dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’
  • Makan menggunakan tangan kanan
  • Tidak bersandar ketika makan
  • Memakan makanan yang terdekat dahulu
  • Makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang
  • Menjilat jari ketika makan menggunakan tangan
  • Membuang kotoran dari makanan yang terjatuh kemudian memakannya
  • Makan dan minum sambil duduk
  • Tidak bernafas ketika minum dan menjauhkan mulut dari tempat minum ketika bernafas
  • Tidak berprasangka buruk jika makan ditemani orang yang berpenyakit
  • Tidak duduk pada meja yang dihidangkan makanan haram
  • Mendoakan orang yang mempelawa makan
  • Menutup tempat makan dan minum
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.