
Boleh Ke Ambil Wuduk Dalam Keadaan Berbogel? Ini Hukum & Penjelasannya [Video]
Tindakan berbogel ketika mengambil wuduk tidak digalakkan kerana ia dianggap sebagai tidak beradab.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita terkini dan isu trending.
Solat merupakan ibadah wajib yang perlu dilaksanakan oleh setiap individu beragama Islam.
Sebelum menunaikan rukun Islam kedua itu, seorang muslim perlu mengambil wuduk sebagai langkah menyucikan diri dengan cara membersihkan anggota badan tertentu menggunakan air.
Kebiasaannya, ada orang lebih selesa mandi terlebih dahulu dan mengambil wuduk sebelum mendirikan ibadah tersebut.
Malah, ada yang memilih untuk berwuduk dalam keadaan telanjang sebaik sahaja selesai mandi namun pernahkah anda terfikir hukum di sebalik perbuatan tersebut?
Tidak Haram Ambil Wuduk Telanjang Jika Seorang Diri
Menerusi satu penjelasan oleh Masjid Bandar Seri Putra di Tiktok mereka @masjidbspofficial, hukum mengambil wuduk dalam keadaan tanpa seurat benang tidaklah haram sekiranya dilakukan secara persendirian dan di tempat yang tertutup seperti tandas di rumah.
Ini kerana menutup aurat bukanlah salah satu syarat wajib untuk berwuduk.
“Wuduk tetap sah walaupun dalam keadaan telanjang,” terang mereka.
Namun, mereka secara berseloroh menjelaskan hukum mengambil wuduk dalam keadaan telanjang adalah haram dan berdosa besar sekiranya seseorang itu mengambil wuduk secara terbuka di hadapan orang ramai.
Berbogel Ketika Berwuduk Tidak Digalakkan
Pun begitu, tindakan berbogel ketika mengambil wuduk tidaklah digalakkan kerana ia dianggap sebagai tidak beradab.
“Paling kurangpun pakailah tuala, tutup antara pusat dan lutut,” jelasnya.
Malah, seseorang itu juga tidak digalakkan untuk mandi dalam keadaan berbogel dan disunatkan menutup aurat.
“Bab mandi pun sama, elakkan mandi telanjang. Kita disunatkan untuk menutup aurat,” kongsi mereka lagi.
@masjidbspofficial Wuduk ni kan perintah Allah, buatlah dengan elok dan beradab😄 Dah masuk tahun baru masih belum bertemu jodoh? Try ikhtiar di sini @TillJannah.my #masjidbandarseriputra #tilljannah #wuduk #ibadah #adab #perkahwinan #suamiistri
♬ original sound – Masjid Bandar Seri Putra – Masjid Bandar Seri Putra
Tidak Ada Kenyataan Tentang Suruhan Menutup Aurat Ketika Berwuduk
Perkara ini juga pernah dikongsikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Jelas mereka, suruhan menutup aurat ketika berwuduk tidak dinyatakan sebagai perkara wajib atau sunat untuk dilakukan.
“Akan tetapi, di dalam bab mandi ada dinyatakan bahawa menutup aurat adalah satu daripada perkara sunat. (rujuk kitab al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, m/s 120).
“Namun begitu, ia berlainan pada keadaan mengambil wudhu’ atau mandi tanpa berpakaian di tempat awam, maka hukumnya jelas wajib untuk menutup aurat. Ini berdasarkan kepada Hadis Nabi SAW:
لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلَا تَنْظُرُ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ
“Maksudnya: lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki dan begitu juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita.
“Hadis riwayat Muslim (no. 388)
قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَوْرَاتُنَا مَا نَأْتِي مِنْهَا وَمَا نَذَرُ قَالَ احْفَظْ عَوْرَتَكَ إِلَّا مِنْ زَوْجَتِكَ أَوْ مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ فَقَالَ الرَّجُلُ يَكُونُ مَعَ الرَّجُلِ قَالَ إِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ لَا يَرَاهَا أَحَدٌ فَافْعَلْ قُلْتُ وَالرَّجُلُ يَكُونُ خَالِيًا قَالَ فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ
“Maksudnya: Saya bertanya: ‘Wahai Nabi Allah, aurat kita manakah yang harus kita tutup dan manakah yang boleh kita nampakkan?’ Nabi menjawab: ‘Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba wanitamu.’ Saya bertanya: ‘Jika lelaki bersama lelaki?’ Nabi menjawab: ‘Jika engkau mampu agar auratmu tidak dilihat oleh sesiapa maka (usahakan) jangan sampai ada orang yang boleh melihatnya.’ Saya bertanya: ‘Wahai Nabi Allah, jika berada dalam keadaan sendirian?’ Nabi menjawab: ‘Allah lebih berhak baginya untuk malu terhadapNya daripada (malu) terhadap manusia’.
“Hadis riwayat al-Tirmidzi (no. 2769).
Wuduk Tetap Sah Walaupun Diambil Dalam Keadaan Telanjang
Namun jelas mereka, mazhab Syafie mewajibkan seseorang Muslim yang bersendirian dan di tempat tertutup untuk menutup aurat.
“Pandangan ini juga disokong oleh ulama’ dari kalangan Hanafi dan Hanbali. Adapun begitu, dari kalangan Ulama’ mazhab Maliki mereka menyatakan sunat untuk menutup aurat ketika berada dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup (rujuk kitab Mausuah Fiqhiyah Quwaitiyah, 24/176)
“Namun begitu, dibenarkan seseorang itu untuk tidak menutup aurat ketika bersendirian dengan syarat ia perlu disertakan dengan hajat seperti mandi atau untuk menyejukkan badan (rujuk kitab Mughni Muhtaj, m/s 185).
“Justeru, dalam keadaan tidak memakai pakaian ketika wudhu’ adalah sah tetapi tidaklah dilakukan di tempat terbuka atau dilihat oleh orang lain.
“Begitu juga sepatutnya seseorang Muslim hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain. Walaupun sah wudhu’nya tetapi dia berdosa kerana mendedahkan aurat kepada orang yang haram melihatnya,” kongsi mereka.
Jelas mereka lagi, walaupun tidak dinyatakan sama ada sunat atau wajib menutup aurat sewaktu mengambil wuduk, adalah lebih baik seseorang itu perlu menutup aurat seperti yang disunatkan ketika mandi.
Baca Artikel Berkaitan: Apa Hukum Tahan Kentut Ketika Solat? Ini Penjelasannya [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Apakah Hukum Pakai Minyak Wangi Ada Alkohol Masa Solat? Ini Penjelasan UAI [Video]