fbpx

Tular Model Dari Britain Fasih Berbahasa Melayu Raih Perhatian Ramai [Video]

Ramai yang mengenali Kit Price di media sosial tidak menyangka bahawa model dari Britain itu boleh bercakap dalam bahasa Melayu dengan begitu fasih.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebagai rakyat Malaysia, kita pasti berbangga sekiranya melihat orang dari luar negara memuji tentang keindahan kepelbagaian budaya yang ada di negara ini.

Malah, kita juga amat mengalu-alukan sekiranya mereka ingin mempelajari budaya serta bahasa yang digunakan di sini sehingga ada yang jatuh cinta dan memilih untuk menjadikan Malaysia sebagai rumah keduanya.

Seperti sebelum ini, Kareef Daniel Abdullah atau lebih dikenali sebagai Mat Dan yang merupakan seorang warganegara England berjaya mencipta nama di Malaysia kerana fasih berbahasa Melayu di dalam dialek Terengganu.

Mat Dan juga memilih untuk menetap di Malaysia dan memeluk Islam selain berkahwin dengan seorang wanita Melayu.

Model British fasih berbahasa Melayu

Terbaharu, tular pula di media sosial satu video yang memaparkan seorang lelaki yang juga model terkenal dari Britain yang dikenali sebagai Kit Price turut fasih berbahasa Melayu.

Menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, Price dipercayai berada di negara ini untuk bersiar-siar bersama seorang lagi rakannya yang dikenali sebagai Calum Harper.

Di dalam video tersebut, dia dilihat membawa Harper untuk mencuba pengalaman bersarapan pagi seperti rakyat tempatan di sebuah warung dengan mencuba nasi lemak serta roti canai.

Minta roti canai dengan nasi lemak macam local

Apa yang mengejutkan, Price bercakap di dalam bahasa Melayu semasa seorang pekerja kedai datang kepada mereka untuk mengambil tempahan makanan.

“Abang, (bagi) dua roti canai dan nasi lemak,” kata Price kepada pekerja warung berkenaan.

Namun, pekerja terbabit menyatakan bahawa tiada nasi lemak di warungnya dan Price membalas ‘Takda?’ seperti rakyat tempatan.

@kitprice

What else should he try? @Calum Harper

♬ original sound – Kit Price

Memetik portal gayahidup Culted, Price menerusi satu temubual menyatakan bahawa dirinya pernah membesar dan bersekolah di Malaysia sebelum pergi ke UK untuk menyambung pelajaran ketika zaman pandemik Covid-19 dahulu.

Jadi tidak hairanlah mengapa Price fasih berbahasa Melayu, dia pernah menetap di negara ini beberapa tahun dahulu.

Netizen terkejut, tak sangka Price fasih berbahasa Melayu

Video tersebut kemudiannya mendapat perhatian ramai orang terutamanya yang mengenali Price kerana tidak menyangka bahawa lelaki tersebut sebenarnya boleh bertutur di dalam Bahasa Melayu.

Tidak hanya itu, mereka juga terkejut kerana menyifatkan bahasa Melayu yang digunakan oleh Price agak lancar tidak seperti kebanyakan mat saleh.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.