fbpx
Now Reading
Kerap Makan Sosej & Nuget, Pelajar Darjah 2 Buta & Hilang Penglihatan

Kerap Makan Sosej & Nuget, Pelajar Darjah 2 Buta & Hilang Penglihatan

Menurut seorang pengkaji kanser di UK makanan proses seperti sosej mempunyai kandungan lemak dan garam yang tinggi selain boleh meningkatkan risiko kanser.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tak dinafikan makanan proses seperti nuget, sosej, burger dan sebagainya merupakan makanan kegemaran kanak-kanak.

Namun makanan yang diproses ini bukanlah makanan yang sihat untuk diamalkan selalu khususnya jika diberikan kepada kanak-kanak yang sedang membesar.

Bukan sahaja ia mempunyai pelbagai perasa tambahan malah kualitinya juga tidak diketahui sehingga ramai pakar perubatan termasuk pakar pemakanan melarang orang ramai daripada membeli mahupun memakan makanan proses secara kerap.

Pelajar buta gara-gara makan sosej dan nuget

Baru-baru ini, seorang pengamal perubatan yang dikenali sebagai Dr Erna Nadia telah berkongsi insiden membabitkan seorang pelajar darjah dua yang hilang penglihatan kerana makanan proses.

Menurut Dr Erna awalnya pelajar itu menjerit secara tiba-tiba dan bertanya kepada guru mengapakah dia tidak dapat melihat.

“Cikgu, mengapa saya tidak boleh melihat apa-apa?” soal pelajar itu sambil menjerit.

Keadaan itu menyebabkan seluruh kelas terkejut, guru kemudiannya dengan segera menghubungi ibu ayah murid untuk dia dihantar ke hospital.

Kekurangan vitamin A, makan makanan berproses sejak bayi

Selepas melalui pelbagai pemeriksaan yang tidak mudah dan mengambil masa lebih daripada dua hari, pelajar itu disahkan kehilangan deria penglihatan untuk kedua-dua matanya.

Hasil keputusan turut menunjukan kanak-kanak itu kekurangan Vitamin A.

“Kekurangan Vitamin A yang teruk. Terduduklah ibu ayahnya. Sebab bila pakar pemakanan siasat, anak ini cuma makan makanan proses (processed food) sahaja iaitu nuget, sosej, dan biskut (cookies) sejak dari bayi sampailah ke darjah dua.

“Bunyi macam ‘kau biar betul doktor? Takkan itu je makanan budak tu?’ Ya betul.”

Jelas Dr Erna lagi kejadian itu benar-benar berlaku di ibu negara Malaysia dan ibu bapa pelajar berkenaan bukanlah golongan orang biasa.

Nasihat untuk makan makanan sebenar

Katanya sewaktu kisah ini dikongsikan oleh rakannya, Dr Erna mula berasa marah kerana ada ibu bapa yang seperti itu.

Namun apabila direnung dia menyedari kehidupan manusia yang sentiasa sibuk untuk hidup selesa membuatkannya timbul rasa kasihan.

“Buta ini tidak dapat dipulihkan. Sebagai ibu, jika kita tak dpaat masak selalu sebab sibuk, tapi kita cubalah beli makanan yang betul-betul makan lengkap. Nasi ayam pun okay, bihun sup pun okay, dan kena paksa juga mereka makan makanan yang sihat.

“Kalau kena suap pun tak apalah janji mereka makan makanan yang betul-betul makanan supaya mereka dapat nutrisi itu,” ujarnya,

Menurutnya suplemen tambahan seperti vitamin tidak membantu anak-anak mendapat makanan yang betul (real food).

Dr Erna turut menyifatkan dia kasihan dengan ibu ayah pelajar itu kerana tahu ia bukan mudah untuk diterima.

“Sudah tentu tidak mudah juga untuk ini sendiri nak biasakan dengan keadaan diri. Semua benda pasti mengambil masa.

“Saya kongsi bukan untuk kecam sesiapa, saya kongsi sebagai ingatan untuk diri saya sebab saya pun tak masak hari-hari juga.

“Kita cubalah ya masukkan menu sihat dan makan makanan yang betul-betul makanan setuap hari. Makan nasi dan telur mata dan kicap pun ok, janji makanan betul.

“Makanan proses adalah sangat tidak sihat dan tidak ada apa-apa nutrisi di dalamnya. Semakin lama ia boleh bertahan, semakin banyak warnanya, semakin tidak sihatlah ia,” kata Dr Erna.

Antara simptom awal dan makanan yang mengandungi vitamin A

Dalam hantaran sama Dr Erna turut memaklumkan simptom awal seseorang kekurangan vitamin A adalah seperti:

  • Mata menjadi kering, ada macam bayang atau spot kelabu di mata putih.
  • Sukar melihat waktu malam atau di dalam gelap.
  • Mata kurang menghasilkan air mata dan jika dibiarkan boleh menyebabkan kehilangan penglihatan.

Antara makanan yang tinggi dengan vitamin A dan boleh diamalkan adalah:

  • Sayur bayam
  • Lobak merah
  • Buah mangga
  • Buah betik
  • Aprikot
  • Ikan
  • Ayam
  • Telur kuning
  • Keledek

Sosej mengandungi bahan kimia selain banyak kandungan lemak dan garam

Memetik laporan The Guardian, makanan berproses seperti sosej mengandungi banyak bahan kimia yang dipanggil sebagai nitrites dan nitrates. Jika bahan kimia ini berada di dalam badan ia boleh menyebabkan kanser.

Seorang pengkaji kanser di United Kingdom memaklumkan bahan ini ada dalam daging berwarna merah secara semula jadi namun ia sering ditambah sewaktu pemprosesan daging seperti pengawetan dilakukan.

Bukan hanya itu, sosej juga mengandungi lemak dan garam yang tinggi di mana ini memberi risiko yang tinggi untuk sel kanser terhasil.

Jelasnya ia bukanlah mengenai kualiti daging semata-mata sebaliknya apa yang ditambah dalam makanan tersebut.

“Ini bukan tentang daging berkualiti rendah atau gred rendah, dalam hal ini ia mengenai daging itu sendiri dan apa yang telah ditambah. Kita tahu terlalu banyak garam boleh menyebabkan peningkatan risiko kanser perut,” kata pengkaji itu.

Malah dia turut meminta orang ramai menggunakan sosej yang segar dan sentiasa memeriksa kandungannya seperti kurang lemak tepu dan garam. Orang ramai juga boleh membeli sosej di kedai sembelihan yang menjual daging.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.