fbpx
Now Reading
Rasa Lebih Bebas & Gaji Tinggi Punca Amah Pilih Kerja Sendiri, Sanggup Lari Dari Majikan

Rasa Lebih Bebas & Gaji Tinggi Punca Amah Pilih Kerja Sendiri, Sanggup Lari Dari Majikan

Difahamkan, warga asing ini mampu memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 sebulan hasil bekerja sendiri.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Di Malaysia, sudah sering kali kita mendengar kes pembantu rumah warga asing melarikan diri daripada majikannya.

Lebih parah lagi, ada yang tergamak mencuri wang dan barang kemas kepunyaan majikan sebelum lari ke tempat lain atau pulang semula ke negaranya.

Pun begitu, antara persoalan yang menjadi tanda tanya ramai adalah punca yang mendorong seseorang amah atau ‘orang gaji’ itu melarikan diri?

Rasa bebas dan gaji besar jika bekerja sendiri punca amah lari daripada majikan

Memetik Berita Harian yang melakukan tinjauan, kebanyakan pembantu rumah warga asing memilih untuk lari daripada majikan kerana ingin bekerja sendiri meskipun tanpa permit sah.

Hal ini kerana mereka merasakan diri lebih bebas selain gaji yang tinggi dan banyak permintaan sekiranya melakukan perkerjaan sendiri.

Difahamkan, mereka mampu memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 sebulan hasil bekerja sendiri.

Berani larikan diri kerana ada kenalan atau saudara mara di Malaysia

Selain itu, kebanyakan pembantu rumah yang memilih untuk lari kerana mempunyai kenalan mahupun saudara mara yang sudah lama menetap di negara ini.

Lebih membimbangkan apabila ada warga asing yang berani menawarkan perkhidmatan membawa lari pembantu rumah berdaftar dengan mengiklankannya di platform media sosial seperti TikTok dengan mengambil upah serendah RM800.

Kumpulan warga asing ini juga dipercayai akan membina jaringan dengan memaklumkan kekosongan jawatan di tempat bersesuaian, selain saling menjaga antara satu sama lain.

Mampu beli motosikal dan sara keluarga di kampung hasil bekerja sendiri

Seorang warga Indonesia yang hanya ingin dikenali sebagai Siti berkata, dia mula bekerja di Malaysia pada 2015 dan kini mampu membeli motosikal serta mampu menyara keluarga di kampung.

Malah, Siti yang berasal dari Medan, Indonesia itu juga memberitahu bahawa dia sudahpun berkahwin dan melahirkan anak bongsunya di negara ini.

Menceritakan pengalamannya, Siti berkata dia tidak melarikan diri daripada majikan, sebaliknya menggunakan nama warga tempatan untuk membuat permit kerja sebagai pembantu rumah.

“Saya membayar kos sendiri untuk membuat permit dan upah RM1,500 setahun kepada majikan untuk beliau hadir ke imigresen dan membenarkan saya menggunakan namanya.

“Bekerja sendiri membolehkan saya untuk menjaga keluarga, termasuk anak perempuan yang berusia enam tahun. Selain itu, upah untuk membersihkan rumah secara sambilan lebih mahal, iaitu antara RM35 hingga RM50 sejam,” katanya.

Sanggup kerja tiga tempat berbeza demi sara keluarga

Seorang lagi warga asing yang ditemui Berita Harian berkata, dia sanggup melakukan tiga bekerja di tempat berbeza pada setiap hari kerana mempunyai tanggungan besar di kampung.

Menurutnya, dia mengambil upah menguruskan keperluan warga emas sekitar dua atau tiga jam seawal 8 pagi sebelum bergerak ke pasar berdekatan untuk bekerja sebagai pembantu gerai sehingga jam 5 petang.

“Selepas jam 5 petang, saya ambil upah membersihkan rumah sehingga 8 malam dengan gaji RM2,500 sebulan.

“Saya biasanya akan berehat pada hujung minggu, tapi disebabkan sudah terbiasa bekerja, saya mengambil upah membersihkan rumah di tempat lain dengan bayaran RM100 untuk dua jam,” katanya.

Katanya, dia datang ke Malaysia menggunakan pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang sah dan tinggal bersama kakak iparnya yang turut bekerja di kawasan sama.

“Kalau saya bekerja dengan majikan tetap, tiada cuti, gaji cuma RM1,700 dan tidak bebas untuk bergerak ke mana-mana.

“Setiap hari ada saja permintaan untuk mencuci atau mengemas rumah, tidak kira sama ada majikan Melayu, Cina mahupun India,” katanya lagi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.