
Ustaz Kongsi Kebaikan Amal Surah Al-Waqiah Dalam Kehidupan [Video]
Menurut UstazLah, surah Al-Waqiah adalah bagus untuk dibaca dan dijadikan sebagai rutin pada setiap pagi selain memberikan emosi yang lebih tenang kepada pembacanya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita terkini dan isu trending.
Sebagai seorang muslim dan hamba Allah SWT, pasti kita ingin memperbaiki kehidupan dari sehari ke sehari.
Perubahan ini dilakukan bukan sekadar untuk menjadi seorang yang lebih baik di masa akan datang namun ia juga bagi hidup yang lebih tenang dan damai.
Oleh itu, tidak hairanlah jika ada individu terdekat yang dilihat berubah dan mendekatkan diri lebih lagi kepada Allah SWT dengan mengamalkan doa, membaca surah tertentu dan sebagainya untuk hidup yang lebih tenang.
Ustaz kongsi kebaikan membaca surah Al-Waqiah setiap hari
Seorang pendakwah bebas, Ustaz Abdullah Abdul Razak telah berkongsi kebaikan jika seseorang itu mengamalkan surah Al-Waqiah dalam hidupnya.
Jelasnya surah Al-Waqiah ini bukan sekadar meminta kepada Allah SWT di dunia, sebaliknya kekayaan yang diberikan olehNya begitu luas dan mempengaruhi pelbagai perkara.
“Jangan kita fikir kekayaan itu hanya duit semata-mata. Kekayaan yang kita inginkan tuan dan puan daripada pembacaan surah Al-Waqiah antara benda yang kita minta iaitu ketenangan.
“Emosi kita Allah SWT berikan kepada kita kekuatan tuan dan puan, dalam jiwa kita. Kerana jiwa kita kuat, emosi kita tenang, pemikiran kita positif, dia akan mendatang rezeki yang lebih luas kepada kita,” ujarnya dalam satu video di TikTok.
Cara menyelesaikan masalah berbeza
Dalam video sama, ustaz yang mesra dipanggil UstazLah turut memberikan contoh ada segelintir yang mengatakan mereka sering membaca surah Al-Waqiah namun hutang masih belum selesai serta mempunyai masalah keluarga.
UstazLah mengatakan apabila seseorang yang mengamalkan surah ini ditimpa masalah sama cara mereka menghadapinya akan berbeza.
“Dengan jiwa yang lebih kuat, emosi yang lebih stabil dengan penuh ketenangan, hutang yang sama tak kurang pun tuan puan. Tapi kita boleh menghadapinya dalam keadaan penuh tenang, hebat surah Al-Waqiah.”
Malah UstazLah turut meminta orang ramai untuk mengamalkan surah ini pada setiap pagi dan rasakan impak luar biasa darinya.
“Surah Al-Waqiah mengingatkan kita erti kekayaan sebenar yang perlu dicari. Bukan sekadar kekayaan berkaitan duit, tetapi kekayaan dalam pelbagai sifat yang penuh maknanya sendiri. Semoga kita dijauhkan dari sifat-sifat yang tidak baik dalam kehidupan harian kita. Insya-Allah,” ujarnya di ruang kapsyen.
Dr Zulkifli juga kongsi kelebihan membaca surah Al-Waqiah
Bekas Menteri Agama dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli di dalam laman bukunya turut menceritakan kelebihan membaca surah Al-Waqiah ini.
Jelasnya, Imam Syaukani menyatkan dalam tafsirnya surah ini mengandungi sekitar 97 atau 96 ayat yang diturunkan di Mekah.
Tidak akan miskin jika amalkan Al-Waqiah
Antara kelebihan surah ini yang diceritakan oleh Ibnu Mas’ud RA, mereka yang mengamalkannya tidak ditimpa musibah kemiskinan selama-lamanya.
مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ لَمْ تُصِبْهُ فَاقَةٌ أَبَداً
Maksud: “Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya.” – Al-Jamie’ al-Soghir, al-Suyuti (12546)
Di dalam satu lagi nukilan Imam Al-Syaukani dari sebuah hadis Ibnu Abbas RA, Nabi SAW bersabda:
سُورَةُ الْوَاقِعَةِ سُورَةُ الْغِنَى، فَاقْرَؤُوهَا، وَعَلِّمُوهَا أَوْلَادَكُمْ
Maksudnya: Surah al-Waqiah merupakan surah kekayaan, maka bacalah ia, dan ajarilah ia kepada anak-anak kamu – Fathu al-Qadir li Syaukani, 5/176.
Bukan hanya itu, Dr Wahbah Zuhaili menukikan sebuah hadis mengenai kelebihan surah Al-Waqiah dengan menjelaskan, daripada Abu Zibah berkata ketika Abdullah bin Mas’ud sedang tenang, lalu Saidina Osman bin Affan RA menziarahinya dan bertanya berhubung peninggalannya kepada anak perempuannya.
Ibu Mas’ud berkata dia telah memerintahkan anak perempuannya untuk membaca surah Al-Waqiah pada setiap malam kerana mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya – Al-Tafsir al-Munir li Zuhaili (27/240).