
“Jangan Fikir Bukan-bukan” – Peguam Beri Penjelasan Maksud Pendakwaan Tutup Kes
Menurut peguam Mufarwa Farid, mahkamah akan mengarahkan pendakwaan dan peguam untuk failkan hujahan bertulis pula setelah Pendakwaraya menutup kes pendakwaan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada Disember 2023 lalu, negara pernah digemparkan dengan berita kematian seorang pelajar lelaki tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie yang didakwa dilanggar oleh seorang pegawai kanan polis, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak.
Bagaimanapun, baru-baru ini kes tersebut kembali mendapat perhatian ramai selepas beberapa laman berita melaporkan pihak pendakwaan menutup kes tersebut.
Hal ini kerana terdapat segelintir individu yang menyangka bahawa kes berkenaan telah digugurkan dan pegawai kanan polis itu dibebaskan begitu sahaja tanpa perlu dibicarakan lagi.
Peguam tampil jelaskan maksud ‘tutup kes pendakwaan’
Susulan itu, peguam, Mufarwa Farid tampil menjelaskan tentang maksud di sebalik terma ‘pendakwaan tutup kes’ itu.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Mufarwa berkata, pendakwaan tutup kes bermaksud pihak pendakwa sudah selesai memanggil saksi-saksi untuk memberi keterangan.
“Selepas Pendakwaraya tutup kes pendakwaan, mahkamah akan arahkan pendakwaan dan peguam untuk failkan hujahan bertulis.
“Tempoh hujahan bertulis ini antara satu hingga tiga bulan,” katanya.
Mahkamah akan beri keputusan sama ada OKT perlu bela diri atau tidak
Menurutnya, selepas hujahan bertulis difailkan, mahkamah akan memberi keputusan sama ada orang kena tuduh (OKT) perlu membela diri atau tidak.
“Kalau mahkamah berpuas hati dengan hujah-hujah pendakwaan, maka OKT perlu membela diri, kalau mahkamah tidak berpuas hati, maka OKT boleh dibebaskan.
“Kalau OKT perlu membela diri, OKT pula yang perlu memanggill saksi-saksinya. Contohnya, isteri, orang awam atau pihak polis sendiri. Waktu ini, kita panggil ia sebagai ‘kes pembelaan’ pula,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, setelah selesai memanggil saksi-saksi pembelaan, peguam perlulah menutup pula kes pembelaan.
Mahkamah akan arah failkan hujahan setelah kes pembelaan ditutup
Jelas Mufarwa, mahkamah akan arah peguam dan pendakwaan untuk failkan pula hujahan dalam durasi waktu antara satu hingga tiga bulan.
“Habis sahaja hujahan difailkan, mahkamah akan beri keputusan sama ada OKT bersalah atau tidak. Waktu inilah baru OKT tahu sama ada dia dibebaskan atau didapati bersalah dan akan dihukum.
“Apa-apa pun jangan fikir bukan-bukan ya. Tutup kes pendakwaan, bukan (bermaksud) gugurkan kes. Kita ada dua peringkat kes iaitu kes pendakwaan dan kes pembelaan (kalau ada).
“Dan sekarang, tutup kes pendakwaan bermaksud peringkat pertama baru ditutup,” ujar Mufarwa.
Baca Artikel Berkaitan: Pegawai Kanan Polis Pandu Ativa 90.9 Km/j Semasa Langgar Zaharif, Brek Tidak Ditekan Langsung – Saksi
Baca Artikel Berkaitan: Kes Polis Langgar Pelajar Sekolah: MIROS Dedah Ada Kemungkinan Zaharif Digilis