fbpx
Now Reading
Wanita Dakwa Terpaksa Jalani Pembedahan Keluarkan IUCD Kerana Doktor Cuai

Wanita Dakwa Terpaksa Jalani Pembedahan Keluarkan IUCD Kerana Doktor Cuai

Menerusi ruangan balas pada satu hantaran di X, KKM memaklumkan pihaknya sudah menerima aduan wanita itu dan akan melakukan siasatan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Setiap wanita yang sedang merancang kehamilan pasti mengetahui terdapat beberapa cara dan alat yang boleh digunakan untuk mencegah kehamilan.

Ada yang memilih untuk memakan pil, suntikan, atau alatan yang masuk ke dalam badan seperti Intrauterine Contraceptive Device (IUCD) serta banyak lagi.

Namun setiap individu mempunyai pilihan yang berbeza dan ia juga mempunyai kesan serta risiko yang berbeza kepada pemakai.

Wanita kesal dengan kecuaian doktor ketika pasang IUCD

Sama seperti seorang wanita ini apabila dia meluahkan rasa kesal dengan seorang pengamal perubatan yang didakwanya cuai sehingga menyebabkan dia terpaksa melalui pembedahan.

Perkara yang dialaminya itu membuatkan dia keliru serta tidak tahu apakah tindakan lanjut yang perlu dilakukan.

Doktor maklum rahim kebelakang dan sukar untuk masuk IUCD namun cuba yakinkan pesakit untuk mencuba

Menerusi hantaran tersebut, wanita itu memaklumkan dia baru selesai menjalani pantang selepas bersalin secara pembedahan dan berkunjung ke sebuah klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan cegah kehamilan dengan memasang IUCD pada 10 pagi, 17 Januari lalu.

Jelasnya sebelum pemasangan IUCD dibuat, doktor telah membuat imbasan CT dan memaklumkan keadaan rahim yang berada kebelakang serta sukar untuk memasukkan alat cegah kehamilan.

IUCD dipasang hilang ketika imbasan CT

Susulan itu, wanita tersebut bertanya adakah pemasangan masih boleh dilakukan atau tidak, namun doktor mangatakan ia boleh dicuba.

“Sebelum pemasangan dia kata banyak keputihan, aku cuba tanya lagi ‘Boleh ke doktor?’ jawapan yang sama ‘Tak apa kita cuba’.

“Semasa pemasangan doktor itu sendiri alami kesukaran dan aku alami kesakitan. Selepas dah pasang, terus buat imbasan CT didapati IUCD tiada dalam rahim. Doktor tersebut meminta dua doktor lain untuk melakukan imbasan sekali lagi dan didapati IUCD tiada di tempat sepatutnya dan perlu dikeluarkan.

“Doktor yang pasang IUCD aku terus hilang buat kerja seperti biasa tanpa jumpa aku untuk meminta maaf,” jelas wanita itu.

Dirujuk ke doktor pakar untuk keluarkan IUCD & jalani pembedahan

Malah dia turut meluahkan kekecewaan apabila doktor terbabit turut tidak memohon maaf kepadanya selepas tindakan yang dilakukan. Ekoran masalah dialami, doktor kemudian memberikannya surat untuk kes dirujuk kepada pakar bagi membuang IUCD terbabit.

Pada jam 3 petang di hospital, wanita itu telah bertemu dengan doktor pakar dan dia memaklumkan menerusi imbasan dan x-ray dilakukan IUCD dikatakan telah ‘tembus dari rahim’ serta ada pendarahan.

Situasi itu menyebabkan wanita itu perlu menjalani pembedahan pada malam berkenaan untuk mengeluarkannya.

Dihimpit dengan pelbagai perasaan selepas melalui insiden mencemaskan ketika pasang IUCD

Pada jam 12.30 pagi, 18 Januari pembedahan berjaya dilakukan dan IUCD telah dikeluarkan namun wanita itu perlu menjalani penyembuhan sama seperti bersalin secara pembedahan.

“Rasa yang amat kesal, sedih, marah, kecewa, trauma dan macam-macam lagi. Aku tahu setiap perancangan yang kita ambil mesti ada risiko. Tapi risiko macam ni ke yang patut aku hadap? Apa yang patut aku lakukan?

“Takkan bila jadi macam ni aku je kena hadap. Doktor lepas tangan, buat kerja macam tak ada apa berlaku? Tak ada rasa serba salah ke? Seronok ke tengok pesakit macam ni hasil tugasan yang dilakukan?”

Luahan wanita ini kemudiannya telah mendapat perhatian orang ramai yang bersimpati dengan nasib yang menimpanya dan hantaran itu kemudian menjadi tular sehingga dikongsikan ke beberapa platform sosial media lain.

KKM terima aduan dan akan buat siasatan

Berikutan daripada luahan wanita itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudiannya memaklumkan pihaknya telah menerima aduan menerusi SISPA dan siasatan juga akan dilakukan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.