
Kedai Mamak Siap Dengan Mesin ATM Buat Ramai Terhibur [Video]
Menerusi video tersebut, kelihatan mesin ATM disediakan di dalam restoran mamak berkenaan dan ia dilihat berfungsi dengan baik.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kedai mamak merupakan salah satu restoran yang sering dikunjungi oleh seluruh masyarakat di Malaysia.
Bukan sahaja menyediakan pelbagai jenis makanan yang sesuai dengan selera rakyat, tetapi tempoh operasi yang lama juga menjadi sebab utama orang ramai suka berkunjung ke kedai mamak.
Malah setiap kali tibanya musim bola, ramai peminat fanatik yang ingin menonton bersama rakan-rakan akan memilih untuk menontonnya di kedai mamak.
Mamak buat ramai teruja kerana sediakan mesin ATM
Baru-baru ini, sebuah restoran mamak dipercayai di Negeri Sembilan telah menarik perhatian ramai.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Fizz di TikTok, awalnya kelihatan dia sedang duduk di dalam kedai mamak berkenaan.
Sewaktu berada di kedai mamak itu, dia kemudian menyedari terdapat sebuah mesin juruwang automatik (ATM) dalam premis tersebut.
Mesin ATM itu diletakkan oleh peniaga berdekatan dengan kaunter membuat air. Perkara itu secara tidak langsung membuatkan Fizz terhibur dengan kewujudan mesin berkenaan.
Malah dia menyifatkan pengusaha restoran itu secara tidak langsung memudahkan pelanggan sekiranya mereka tidak mempunyai wang tunai.
“Mamak akan menjadi: Tak cukup wang tunai? Tak apa kami memahami anda,” tulisnya dalam video.
Menerusi video tersebut kelihatan mesin duit itu boleh digunakan untuk semua kad bank.
Ramai terhibur lihat ada mesin ATM dalam kedai mamak
Melihat di ruangan komen, ramai yang terhibur melihat mesin ATM disediakan di dalam kedai mamak.
Malah ada yang mendakwa mungkin pengusaha kedai makan itu enggan pelanggan lari atau menggunakan alasan tiada wang tunai. Oleh itu, mesin ATM yang disediakan itu dapat menyelesaikan masalah.
Ada juga yang mengatakan selepas ini tiada lagi alasan menyuruh rakan membayar makanan terlebih dahulu kerana tiada wang tunai.
Tidak kurang juga ada yang berasa kagum kerana restoran mamak kini dilihat begitu maju dengan menyediakan pelbagai jenis kemudahan untuk memudahkan pelanggan membuat pembayaran.
Sebagai info, kebanyakan mesin ATM akan mengenakan caj sebanyak RM0.50 sekiranya anda menggunakan kad bank yang bukan keluaran syarikat perbankan sama.
Berikut adalah komen netizen:
“Biasanya ATM macam ni paling kecil pun RM50 macam paksa kita keluarkan duit saja”

“Kan bagus kalau semua mamak ada ATM, QR bermasalah, cash siap sediakan”

“Tempat aku pun ada, tapi bunyi macam nak bagi satu kedai dengar”
