
Ramai Pertama Kali Dengar ‘Kuih Che Abas Demam’, Rupanya Ada Kisah Di Sebalik Namanya [Video]
Kuih Che Abas Demam ini berasal dari Terengganu serta mempunyai rupa yang lebih kurang seperti laksam atau laksa namun menggunakan tepung sagu yang dilihat seperti ambuyat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Malaysia merupakan negara yang kaya dengan pelbagai budaya yang datang daripada etnik, negeri dan sebagainya.
Malah jika ditanya mengenai jenis makanan, tak dinafikan setiap negeri mempunyai makanan tradisi yang menampilkan keistimewaan dan keunikan tersendiri.
Sebagai contoh umum mengetahui nasi dagang, nasi kerabu, laksam, keropok lekor dan sebagainya berasal dari negeri di Pantai Timur.
Oleh itu, jika ingin mencari sesuatu yang asli pelancong perlu berkunjung ke negeri terbabit untuk merasai makanan tersebut.
Wanita kongsi resepi kuih Che Abas Demam berasal dari Pantai Timur
Baru-baru ini, tular satu video memaparkan seorang wanita sedang memasak satu jenis kuih tradisional yang berasal dari Pantai Timur dan dikenali sebagai Kuih Che Abas Demam.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Dya Syazzy, kuih ini dilihat seperti laksa dan laksam namun memakai tepung sagu yang dilihat seperti ambuyat iaitu makanan orang Sabah.
Tunjuk bahan-bahan yang perlu disediakan untuk buat kuih tradisional
Dalam video itu Dya menunjukkan cara untuk membuat kuih itu di mana awalnya dia memasukkan tepung sagu untuk dimasak dengan air panas sehingga teksturnya menjadi kental seperti kanji.
Tidak lama kemudian dia mengambil isi ikan yang dikisar hingga hancur dan memasukkan santan, halba, bawang, halia, air dan juga garam untuk dimasak sebagai kuah.
Menurutnya untuk memasak kuah itu ia perlu menggunakan tahap api yang perlahan dan sentiasa dikacau. Sebaik kuah siap ia kemudian boleh dimakan bersama tepung sagu yang telah dimasak.
Kongsi kisah di sebalik nama kuih Che Abas Demam
Sewaktu menyediakan makanan tradisional itu, Dya turut menceritakan kewujudan kuih itu yang dikatakan pada suatu masa dahulu terdapat seorang lelaki bernama Che Abas yang berkunjung ke sebuah majlis kenduri.
Ketika berada di majlis itu, terdapat laksa yang dihidangkan kepada tetamu yang hadir dan ia merupakan makanan kegemaran Che Abas. Namun disebabkan sedang mengalami demam, isterinya tidak membenarkan lelaki itu makan laksa terbabit.
Ini kerana terdapat nasihat di zaman dahulu mengatakan orang demam tidak elok memakan mi laksa.
Namun disebabkan rasa sayang kepada suami, isteri Che Abas kemudiannya menggantikan mi laksa tersebut dengan sagu untuk dimakan. Apa yang lebih menarik, kuih itu turut dijamu kepada tetamu yang datang ke majlis kenduri berkenaan.
Isteri Che Abas berasal dari Terengganu, kuih sebenarnya menunjukkan simbolik kasih sayang
Menurut Sinar Harian, kuih tradisional ini dimaklumkan berasal dari Terengganu dan kuih itu turut memberikan simbolik kasih sayang di antara suami isteri.
“Kisah kuih ini panjang sebenarnya. Che Abas Demam merupakan simbolik kepada bukti kasih, cinta dan sayangnya seorang isteri di Terengganu yang setia menjaga suaminya ketika demam panas.
“Dia sanggup buat apa sahaja demi tidak menghampakan permintaan tambatan hatinya itu,” cerita Hamemah Ismail kepada Sinar Harian.
Menurutnya, Che Abas sebenarnya berasal dari Sarawak dan menetap di Kampung Maras di Terengganu serta bekerja sebagai penebang pokok sagu.
Kata Hamemah lagi, usaha isteri Che Abas yang kreatif dengan menghasilkan kuih terbabit membuatkan lelaki itu jatuh cinta terhadapnya.
Malah hasil menjamu tetamu lain yang hadir di majlis kenduri itu juga membuatkan kuih tradisional itu menjadi bualan serta gurauan sehingga ia dinamakan Che Abas Demam.
@dyasyazzy Kuih Che Abas Demam | Haritu kita dah belajar buat kuih ulat bulu. Kalini Dya nak kongsi kisah kuih tradisional dari negeri pantai timur pulak. Ada yg pernah rasa tak kuih ni? Bahan-bahan: 2 cawan air 1 cawan tepung sagu 3 sudu besar gula Kuah santan: santan 200ml (kotak kecil) air ~ 150ml 2 ekor isi ikan Selayang (cara asal ikan dipanggang dan diambil isinya. lalu ditumbuk dengan lesung batu) 1-2 biji bawang merah dihiris halus 2 hiris halia di potong memanjang garam secukup rasa Selamat mencuba❤️ #kuihtradisional #foryou
♬ original sound – Dya Syazzy – Dya Syazzy
Ramai yang pertama kali dengar kuih Che Abas Demam
Melihat di ruangan komen, ramai yang baru mengetahui mengenai kewujudan kuih Che Abas Demam ini.
Malah ada yang berasal dari Terengganu juga tidak pernah merasai dan pertama kali mendengarnya.
Ada juga yang mengatakan kuih itu terkenal di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di kawasan pesisir pantai.
Tidak kurang juga yang tertanya-tanya adakah rasa kuih itu seperti Asam Gumpal yang juga berasal dari Terengganu.
“Biasa kedai kuih Gong Kapas ada jual”

“Aku orang Terengganu, tak pernah jumpa pun. Tahu kuih nekbat yang ada setahun sekali je”

“Tak pernah dengar, betul ke rekaan semata-mata?”
