
Pemandu Honda WR-V Rempuh Parkir Dinding Hospital Serdang Rupanya Pesakit Jantung
Menurut Pengarah Hospital Sultan Idris Shah, pemandu hilang kawalan ketika memandu kerana mengalami sakit dada secara tiba-tiba.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (4 Februari) tular di media sosial satu hantaran di Facebook memaparkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda WR-V nyaris terjatuh daripada parkir tingkat tiga di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Menerusi foto yang dikongsikan kelihatan kenderaan berkenaan telah merempuh dinding dan menyebabkan tembok pecah serta hampir separuh badan kereta terkeluar daripada bangunan parkir terbabit.
Menurut pihak polis, pemandu tertekan pedal minyak secara tak sengaja dan hilang kawalan sebelum merempuh tembok aras berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Honda HR-V Hampir Terjatuh Dari Tingkat 2, Rempuh Dinding Parkir Bertingkat Hospital Serdang [Video]
Pemandu rempuh dinding tingkat tiga hospital alami sakit dada secara tiba-tiba
Terbaharu, Pengarah Hospital Sultan Idris Shah, Dr Farique Rizal Abdul Hamid memaklumkan insiden berkenaan berlaku di tempat letak kereta bertingkat di Pusat Jantung HSIS dan pemandu adalah pesakit jantung.
“Siasatan awal mendapati pemandu kenderaan tersebut merupakan seorang lelaki berusia 40 tahun, yang juga merupakan pesakit jantung.
“Berdasarkan laporan awal, pemandu tersebut mengalami sakit dada secara tiba-tiba ketika memandu, menyebabkan kehilangan kawalan ke atas kenderaan dan mengakibatkan kemalangan,” jelasnya dalam satu kenyataan di Facebook.
Serpihan tembok runtuh terkena kenderaan yang sedang bergerak di kawasan berkenaan
Menurutnya lagi, insiden berkenaan telah menyebabkan tembok pada tempat letak kereta bertingkat berkenaan runtuh serta menimpa kenderaan lain yang sedang bergerak di jalan utama berdekatan lokasi kejadian.
Katanya kenderaan itu membawa tiga orang penumpang namun mereka dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.
“Kes ini sedang disiasat dengan lebih lanjut oleh Bahagian Trafik, IPD Serdang.”