fbpx
Now Reading
Apa Hukum Ziarah Rumah Terbuka Bukan Islam? Ini Penjelasan Mufti Pulau Pinang

Apa Hukum Ziarah Rumah Terbuka Bukan Islam? Ini Penjelasan Mufti Pulau Pinang

Jelas Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman terdapat beberapa kriteria yang perlu diambil kira sekiranya ingin menziarah rumah terbuka dilakukan orang bukan Islam.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Malaysia merupakan negara yang masyarakatnya hidup berbilang bangsa dan agama. Malah setiap di antaranya saling menghormati dengan agama dan budaya yang dimiliki.

Oleh itu, setiap kali tibanya musim perayaan dari agama atau bangsa lain ia sentiasa akan disambut oleh rakyat Malaysia, maka tidak hairanlah jia ramai yang mengadakan rumah terbuka dengan menjemput kenalan daripada pelbagai bangsa serta agama.

Namun dalam meraikan perkara itu ada segelintir penganut agama Islam yang mungkin tidak mengetahui apakah hukum jika menziarahi rumah terbuka yang dilakukan untuk meraikan perayaan agama lain.

Ini kerana, ada yang bimbang sekiranya kunjungan itu boleh membawa kepada dosa yang tidak disedari.

Hukum ziarah rumah terbuka dilakukan agama lain dan kriteria yang perlu dititikberatkan

Terbaharu Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Mohd Sukki Othman menjelaskan hukum untuk menziarahi rumah terbuka yang diadakan orang bukan Islam sempena perayaan agama lain adalah harus.

Namun ia perlu mengambil kira beberapa kriteria seperti ia tidak mempunyai sebarang upacara yang bertentangan dengan akidah Islam contohnya membabitkan simbol agama atau berhala.

Majlis yang dihadiri itu juga perlulah tidak mempunyai perbuatan yang bertentangan dengan syarak contohnya memakai sesuatu warna pakaian disebabkan ia mempunyai kepercayaan kepada sesebuah agama lain selain daripada Islam.

“Selain itu perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam di negara ini seperti percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan juga tidak boleh disertakan.

“Majlis juga tidak disediakan dengan makanan-manakan yang haram seperti arak dan babi,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

Haram untuk terbabit dalam persiapan perayaan yang mempunyai unsur agama

Ujar beliau lagi, hukum untuk terbabit di dalam persiapan perayaan orang bukan Islam berkait dengan agama mereka merupakan perkara yang haram di sisi syarak serta pandangan ulama mazhab.

“Namun, membantu mereka dalam perayaan kebudayaan memerlukan pemerhatian yang lebih terperinci.

“Ini kerana seorang Muslim perlu mengenal pasti sejauh mana perayaan kebudayaan itu mempunyai unsur-unsur kepercayaan yang bercanggah dengan ajaran Islam.

“Jika unsur-unsur kepercayaan tersebut mendominasi maka seharusnya orang Islam hendaklah menjauhi tindakan membantu dan menjayakan persiapan perayaan tersebut.”

Jelasnya lagi, jika perayaan yang disambut itu hanyalah budaya semata-mata maka hukumnya adalah harus.

Orang Islam boleh jual barangan yang tiada kaitan dengan upacara keagamaan

Tambah beliau, hukum bagi menjual barangan khas yang digunakan oleh orang bukan Islam sewaktu meraikan perayaan agama mereka bergantung kepada perjalanan majllis terbabit sama ada tidak disertakan dengan upacara yang bertentangan dengan akidah Islam contohnya mempunyai simbol agama lain dan berhala.

“Orang Islam boleh menjual barang-barang yang harus dijual kepada orang bukan Islam seperti pakaian dan makanan selagi mana tidak jelas perkara itu memberi kemaslahatan dalam upacara atau sambutan perayaan keagamaan mereka.

“Jika sudah jelas barang-barang tersebut diginakan untuk perayaan keagamaan orang bukan Islam, maka orang Islam perlu mengelakkan diri daripada terlibat,” ujarnya.

Haram pakai baju yang khusus dan mempunyai unsur membesarkan agama lain

Mohd Sukki menjelaskan adalah haram hukumnya untuk orang Islam memakai pakaian yang khusus untuk meraikan sesuatu perayaan bukan Islam.

“Hukumnya haram memakai pakaian khusus bagi sesuatu kaum tertentu jika mempunyai kaitan yang rapat dengan kepercayaan keagamaan mereka dan juga mendedahkan aurat seperti kostum atau topi Santa Claus, pakaian paderi, pakaian sami atau lambang salib,” jelasnya lagi.

Hanya boleh pakai baju yang berunsur budaya

Namun harus hukumnya sekiranya sesuatu pakaian itu tidak mempunyai kaitan dengan agama sebagai contoh sari, kurta, samfoo, cheongsam dan banyak lagi.

Ini kerana ia langsung tidak membawa sebarang unsur membesarkan agama bukan Islam dan apa yang penting adalah menutupi aurat seperti yang diperintahkan.

“Bagaimanapun, sebaiknya orang Islam elakkan diri daripada memakai pakaian tersebut pada hari perayaan orang bukan Islam atas dasar sadd al-zari’ah iaitu menutup sebarang peluang berlakunya tasyabbuh (meniru orang kafir.”

Kata mufti itu lagi, negeri Pulau Pinang sudah mempunyai panduan sedia ada mengenai sambutan perayaan orang bukan Islam. Walau bagaimanapun untuk dilakukan di seluruh Malaysia ia tergantung kepada Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

“Setakat ini, Pulau Pinang tidak ada masalah ikut garis panduan ini,” jelasnya.

Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bakal meletakkan satu garis panduan yang khusus mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan lain selain agama Islam.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Bukan Islam: JAKIM Jelas Sedang Muktamadkan Garis Panduan

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.