
“Minta Maaf Lah, Ini Je Yang Ada” – Pemandu Rasa Bersalah, Kereta Lama Rosak Di Tengah Jalan [Video]
Dalam video tersebut, kelihatan deretan kereta yang berada di lorong kanan terpaksa berhenti dan secara perlahan-lahan menukar laluan lain.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pasti ada di antara kita yang pernah berhadapan dengan situasi kereta dipandu atau dinaiki secara tiba-tiba rosak di atas jalan raya.
Perasaan ketika itu semestinya bercambur-baur, ada perasaan takut, cemas, bahkan rasa bersalah kerana telah menghalang laluan sehingga menjadi penyebab jalan raya sesak.
Kebiasaannya kejadian sebegini berlaku kepada kereta-kereta lama. Ia seperti manusia, semakin berusia pastinya semakin tinggi risiko menghadapi masalah kesihatan.
Lelaki rasa bersalah, kereta dipandu rosak di tengah jalan
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang lelaki berasa bersalah kerana telah menghalang laluan jalan selepas kereta lama yang dipandunya mengalami kerosakan di tengah jalan raya.
Menerusi hantaran video yang dikongsikan di akaun tiktok miliknya (@pyan_strike), kereta jenis Proton Saga yang dipandu lelaki itu mengalami kerosakan di lorong kanan jalan raya berdekatan Batu Caves.
Dalam video sama, kelihatan deretan kereta yang berada di lorong kanan terpaksa berhenti dan secara perlahan-lahan menukar laluan lain yang turut dipenuhi kenderaan lain sedang bergerak laju.
“Mintak maaf menyusahkan, nak buat macam mana ini saja yang ada”
Lelaki terbabit berulang kali meminta maaf kerana kerosakan yang dialami keretanya menyebabkan jalan raya bertambah sesak.
“Mintak maaf semua, minta maaf lah menyusahkan korang, tak sengaja. Aduhai nak buat macam mana, (kereta) ini je yang ada,” katanya.
Ketika kejadian, dia sempat meletakkan amaran segitiga di belakang keretanya untuk memberi peringatan kepada pemandu lain.
Netizen bersimpati dengan nasib lelaki terbabit
Memindai ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial berasa simpati melihat nasib lelaki tersebut yang terpaksa berada di tengah jalan raya yang sesak itu.
Malah, kebanyakan mereka juga menitipkan doa agar lelaki berkenaan diberikan rezeki yang banyak selain urusannya juga dimudahkan.
Pun begitu, tidak kurang juga segelintir pengguna TikTok yang menasihati lelaki itu untuk melupuskan sahaja keretanya dan membeli kenderaan terpakai baharu yang lebih baik dan murah.
Mungkin ada kereta terpakai yang hanya berharga sekitar RM5,000 hingga RM10,000, namun jumlah tersebut masih dianggap besar serta membebankan untuk dikumpul bagi sesetengah orang.



