
Tragik & Tidak Seindah Filem, Ini Kisah Pocahontas Yang Lebih ‘Dark’ Dari Versi Disney
Kisah percintaan Pocahontas yang digambarkan Disney sememangnya berbeza dari apa yang berlaku di dunia nyata.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Peminat animasi khususnya keluaran Disney pasti cukup familiar dengan watak Pocahontas bukan?
Secara ringkasnya Pocahontas digambarkan sebagai seorang gadis cantik dari keturunan pribumi Amerika yang menjadi simbolik dan orang penting dalam menyelesaikan perselisihan antara pihak Inggeris dan kaum pribumi dek kerana kisah cintanya bersama Kapten John Smith.
Jelas buat penonton, filem animasi yang berlatarbelakangkan zaman sekitar 1600-an ini begitu memukau dan penuh dengan kisah perjuangan dan percintaan yang romantis.

Malah menerusi gambaran Disney tersebut, Pocohantas atau nama sebenarnya Amonute dan turut digelar Matoaka seorang yang riang, begitu berani, dihormati dan penuh dengan sifat kasih sayang.
Namun realitinya tidaklah seindah mana, malah kehidupan sebenar yang dialami Pocahontas adalah sangat jauh berbeza dan boleh dikatakan agak mengerikan — begitu menyimpang berbanding apa yang digambarkan di dalam animasi tersebut.
Tiada hubungan cinta bersama John Smith & jurang umur yang ketara

Perkara paling utama yang harus anda tahu adalah tiada hubungan istimewa di antara Pocahontas dan John Smith. Jadi apa yang saksikan di dalam filem yang berlatarbelakangkan kisah di Virginia, Amerika itu hanyalah satu naratif dongeng tau lebih tepat – sekadar fantasi.
Pocahontas sewaktu pertama kali bertemu Smith pada tahun 1607 adalah pada usia 11 tahun, manakala Smith pada waktu itu sudah pun mencecah 28 tahun.
Meskipun benar dia menyelamatkan Smith dari dibunuh oleh ayahnya, Powhatan Wahunsenaca yang juga ketua suku Red Indian di sana, namun semua itu hanyalah atas dasar rasa kasihan dan langsung tidak berkaitan dengan cinta.
Dia juga boleh dikatakan sebagai pengantara dari segi bahasa di antara golongan pribumi dan juga kolonial Inggeris.
Powhatan dan John Smith tidak pernah berdamai
Powhatan juga dalam realitinya begitu membenci John Smith yang padanya adalah seorang penjajah yang akan mengancam posisinya sebagai ketua untuk 30 suku yang menguasai Teluk Chesapeake, yang terletak di Virginia.
Malah permusuhan mereka berdua sampai ke tahap ingin membunuh sama sendiri dan tidak pernah reda. Mereka juga tidak pernah berdamai seperti yang ditayangkan di dalam filem tersebut.

Powhatan dalam dunia sebenar adalah seorang yang kejam
Bukan itu sahaja, sifat ayah Pocahonstas ini dalam dunia realiti juga begitu berbeza dengan gambaran Disney.
Di dunia nyata, ada yang mengatakan dia bukanalah seorang pemimpin yang baik meskipun sangat digeruni. Terdapat juga dakwaan yang mengatakan dia begitu kejam malah sanggup membunuh mereka dari suku kaumnya untuk kekal berkuasa.
Powhatan juga digelar sebagai seorang yang hauskan darah dalam memperluaskan kuasanya.
Pocahantas diculik & suami dibunuh kejam
Namun antara semua itu, perkara yang paling menyedihkan pastinya adalah nasib malang Pocahontas. Sewaktu perang melibatkan kesemua suku kaum Red Indian di sana, Pocahontas pada waktu itu sebenanya sudah berkahwin dengan pahlawan pribumi, Kocoum.
Ya! Watak sama yang turut muncul dalam filem Disney tersebut – perwira pribumi yang sepatutnya mengahwini Pocahontas di dalam animasi tersebut.
Namun di tengah-tengah perang saudara itu berlangsung, Pocahontas telah diculik oleh puak Inggeris.
Semuanya dilakukan dan dirancang oleh seorang pegawai tentera Inggeris, yang dikenali dengan nama Kapten Samuel Argall. Argall boleh dikategorikan sebagai lelaki kejam, bijak dengan tipu helah dan tidak berperikemanusiaan.

Bagi memastikan rancangannya untuk menculik Pocahontas berjaya, dia bertindak membunuh Kocoum.
Menurut versi penduduk pribumi, Pocahontas sebenarnya mempunyai anak bersama Kocoum iaitu Little Kocoum. Namun cubaan untuk membunuh bayi pasangan Red Indian itu tidak berjaya selepas anak kecil tersebut berjaya diselamatkan oleh seorang wanita.
Dibawa ke Eropah
Berbalik kepada kisah penculikan Pocahontas, Argall pada mulanya hanya bercadang untuk menjadikan wanita itu sebagai tawanan demi mengugut Powhatan untuk membebaskan askar-askar Ingeris yang ditahannya.
Selain itu dia juga menggunakan wanita ini sebagai umpan untuk mendapatkan kembali senjata mereka yang dirampas puak Red Indian.
Namun selepas segala permintaannya ditunaikan oleh Powhatan yang akur demi keselamatan anaknya, Argall bertindak memungkiri janjinya untuk melepaskan Pocahontas sebaliknya membawa dia ke Eropah.
Dari situ, bermulalah episod hitam Pocahontas. Dia yang baru sahaja kematian suami dan berjauhan dengan anak kecil terpaksa pula berdepan penderaan fizikal dan mental.
Terdapat versi yang mengatakan wanita Red Indian ini dirogol oleh beberapa orang kolonis malah dipaksa menukar budayanya.
Satu yang pasti, kebencian kolonis terhadap Powhatan dilampiaskan terhadap puteri kesayangannya itu.
Tukar namanya jadi Rebecca

Tahun 1614, Pocahontas akhirnya dibaptis dan ditukar namanya menjadi Rebecca. Dia kemudiannya dibebaskan dan berkahwin dengan seorang kolonis bernama John Rolfe.
Perkahwinan itu membuatkan ketegangan antara kolonis dan penduduk pribumi akhirnya mengendur.
Namun ada kisah yang mengatakan perkahwinannya adalah demi menutup kisahnya yang hamil selepas dirogol oleh ramai lelaki. Pun begitu, pasangan ini kemudiannya dikurniakan cahaya mata bernama Thomas.

Cuba melupakan segala kisah hitam yang terjadi kepadanya, Pocahontas kemudian memulakan kehidupan baru bersama suaminya di England.
Pada 1617, selepas beberapa ketika berada di kawasan koloni, dia akhirnya bersama suami barunya berangkat pulang ke Virginia demi bertemu bapanya.
Namun dalam perjalanan pulang ke Virginia dari England dia dilaporkan mati selepas dijangkiti satu penyakit misteri seperti Pneumonia yang kebiasaannya menyerang warga Eropah.
Ada juga versi lain yang mengatakan Pocohontas diracun sewaktu berada di atas kapal selepas makan bersama Kapten Samuel Argall – lelaki yang dahulu pernah menculiknya.
Namun apa sahaja versi yang ada, pengakhirannya tetap sama. Pocahontas mati pada usia 21 tahun tanpa sempat pulang bertemu bapanya. Dia kemudian disemadikan di gereja St. George’s pada 21 Mac 1617.
Lebih menyayat hati Powhatan yang berduka selepas mendapat perkhabaran mengenai kematian puteri kesayangannya kemudiannya jatuh sakit, dan meninggal dunia setahun kemudiannya.
Jelas tiada momen indah seperti yang digambarkan Disney, sebaliknya hanya kedukaan dan kesengsaraan yang ditanggung seorang wanita di atas kerakusan dan sikap kurang rasional manusia di sekelilingnya.