
“Penantian 20 Tahun Berakhir Jua”- Pasangan Syukur Dikurniakan Anak Selepas Lama Menanti
Norazlina turut berkongsi dia sering mengamalkan air minuman zamzam dengan kerap sejak pulang dari mengerjakan umrah pada tahun 2023 dan 2024.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Mana-mana pasangan yang sudah berkahwin pasti mempunyai impian untuk menimang cahaya mata sendiri, malah ada yang mengatakan ia pengikat kasih sayang antara suami isteri.
Namun tidak semua yang mempunyai rezeki awal, ada segelintir yang sudah lama mendirikan rumah tangga namun masih lagi menanti kehadiran ‘pari-pari kecilnya’.
Bukan hanya itu, ada yang turut menunggu sehingga belasan tahun dan melakukan pelbagai rawatan, petua dan sebagainya untuk berusaha mendapatkan cahaya mata.
Pasangan suami isteri tunggu 20 tahun untuk dapat anak
Terbaharu, penantian pasangan suami isteri di Terengganu selama 20 tahun berakhir selepas mereka dikurniakan seorang bayi lelaki.
Norazlina Ab Rahim berusia 42 tahun dilaporkan telah selamat melahirkan bayi yang sudah lama dinantikan pada 12 Februari yang lalu.
Norazlina dan suaminya, Ahmad Zaidi Abd Ghani, 45, dikurniakan bayi lelaki seberat 2.57 kilogram dan dilahirkan secara pembedahan di Hospital Pakar di Kuala Terengganu pada jam 9.36 pagi.
Menurut wanita yang baru sahaja bergelar ibu itu, kehadiran si comel itu dirasakan seperti mimpi meskipun sudah empat hari selamat melahirkan. Katanya dia mengetahui dirinya mengandung selepas hampir dua tahun berhenti melakukan rawatan untuk hamil serta reda dengan apa yang ditentukan oleh Allah SWT.
“Sampai hari ini saya masih tidak percaya yang saya dan suami akhirnya dapat timang cahaya mata lebih-lebih lagi apabila sudah bermacam-macam ikhtiar dibuat untuk hamil.
“Doktor juga ada cakap mungkin kaedah rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) sahaja ‘jalan’ untuk saya mengandung. Tapi untuk buat IVF pun ia perlukan komitmen yang tinggi. Itu yang buat saya ambil masa lama fikir sebelum tiba-tiba dapat tahu saya mengandung,” jelasnya, dipetik Sinar Harian.
Fasa kehamilan yang mudah siap boleh masak dan jaga ibu
Norazlina turut berkongsi fasa kehamilannya juga begitu membahagiakan kerana tak mengalami sebarang alahan, seperti tidak hamil bahkan boleh memasak serta menjaga ibu yang tidak sihat di hospital.
Menurut Norazlina, meskipun hampir berputus asa untuk mendapatkan zuriat dalam tempoh dua tahun lalu tetapi dia sentiasa mengamalkan untuk minum air zamzam dengan kerap selepas pulang daripada melakukan umrah pada 2023 dan 2024.
“Alhamdulillah saya diizinkan Allah SWT tunaikan ibadah umrah pada 2023 dan 2024, jadi saya memang amal minum air zamzam sepanjang berada di Tanah Suci. Air zamzam yang saya bawa balik pun, saya minum habis dengan niat agar khasiat yang Allah beri dapat sihatkan badan dan suburkan rahim untuk hamil.
“Sepanjang musafir saya panjatkan doa tanpa putus terutamanya di tempat-tempat mustajab doa di Tanah Suci. Saya juga minta jemaah lain doakan sama. Kali terakhir saya balik umrah pada Februari 2024 dan Mei tahun sama saya mengandung. Alhamdulillah,” katanya.
Berikan nama yang ada maksud indah
Norazlina turut memaklumkan dia serta suami memberikan nama Ahmad Abdullah Yunus kerana ia mempunyai makna yang indah dalam Islam.
“Saya ada dengar ceramah penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus bahawa nama Abdullah nama yang paling disukai atau disayangi ALLAH yang bermaksud hamba kepada ALLAH. Yunus pula nama salah seorang nabi. Kami semua panggil bayi dengan nama Yunus.”
Sebelum ini, Norazlina turut berkongsi mengenai kelahiran putera yang sudah lama dinantinya itu di dalam satu hantaran Facebook pada beberapa hari yang lalu.
