
Penyondol Naik Mahkamah, Diarah Bayar RM200,000
Isteri kepada lelaki berkenaan mengetahui suaminya mempunyai hubungan sulit dengan wanita berkenaan pada 2022 dan memfailkan perceraian serta menuntut nafkah suami isteri.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tindakan individu yang suka menganggu rumah tangga orang yang sudah berkahwin sememangnya perkara yang sukar untuk diterima.
Malah sikap ini bukan sahaja boleh merosakkan rumah tangga yang telah dibina bahkan boleh menyebabkan suami isteri bergaduh dan keluarga menjadi porak-peranda.
Meskipun tahu perkara ini mendatangkan keburukan kepada rumah tangga orang lain, namun kebanyakkannya masih mementingkan diri.
Rosakkan perkahwinan yang dah lama dibina, wanita simpanan kena bayar RM200,000
Terbaharu, seorang wanita berusia 38 tahun dipercayai melakukan tindakan sama telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membayar saman sebanyak RM200,000 kepada seorang surirumah ekoran meruntuhkan perkahwinan yang sudah dibina selama 50 tahun.
Hakim, Evrol Marietter Peters turut mengarahkan suami berusia 74 tahun untuk membayar nafkah isterinya yang berusia 72 tahun sebanyak RM205,000.
Suami nafi curang, dakwa ada masalah mati pucuk
Walau bagaimanapun si suami menafikan dia berlaku curang terhadap isterinya bahkan mendakwa mengalami masalah mati pucuk atau erectile dysfunction (ED).
Namun dakwaan itu gagal untuk disahkan kerana tiada sebarang bukti sokongan seperti laporan perubatan, keterangan pakar atau dokumentasi yang menyokong kepada masalah kesihatan yang dialami.
Hakim bagaimanapun mengarahkan aset perkahwinan pasangan tersebut dibahagikan secara sama rata.
Suami yang dikenali dengan nama singkatan sebagai PAI dan perempuan simpanannya KAI juga diarahkan oleh mahkamah untuk membayar wang bernilai RM100,000 sebagai kos kepada isteri yang dikenali sebagai HAI.
Hakim tolak pembelaan, ada banyak bukti menunjukkan kecurangan suami
Peters memaklumkan terdapat bukti menunjukkan hubungan sulit lelaki berkenaan seperti berkongsi kediaman, bermalam di kediaman wanita simpanan, berkongsi penginapan di Singapura serta membuat rawatan persenyawaan in vitro (IVF) sebagai ikhtiar hamil termasuk pengakuan dilakukan suami mengenai hubungan intim kepada isterinya.
Susulan itu, hakim menolak pembelaan suami bahawa dia boleh melakukan hubungan seksual.
“Sepanjang perbicaraan, dia mendakwa bahawa masalah ED dialaminya telah menyebabkan dia berhenti melakukan hubungan seksual dengan isteri dan dia tidak mungkin melakukan hubungan intim dengan perempuan simpanannya,” katanya, dipetik FMT.
Lelaki berkenaan turut berpendapat keputusan untuk melakukan IVF adalah disebabkan masalah mati pucuk dan ketidakupayaan untuk memberikan anak kepada wanita simpanannya secara semula jadi.
“Hakikatnya seorang lelaki tidak dapat memberikan anak tidak semestinya menunjukkan bahawa dia (suami) tidak mampu melakukan hubungan seksual,” kata hakim.
Tindakan meneruskan hubungan sulit menunjukkan wanita simpanan tak kisah perasaan si isteri
Oleh itu, hakim memerintahkan wanita simpanan berkenaan membayar ganti rugi dan kos kepada isteri lelaki berkenaan.
Malah hakim mengatakan tindakan meneruskan hubungan sulit, ia menunjukkan sikap tidak ambil peduli wanita simpanan berkenaan terhadap kesejahteraan emosi isteri lelaki berkenaan.
Apa yang lebih menjadi perhatian, e-mel di antara wanita simpanan itu dengan lelaki berkenaan menunjukkan dia sering mendesaknya untuk menceraikan isterinya yang juga menjejaskan perkahwinan mereka.
“Usaha wanita simpanan untuk mengandung anak dengan lelaki berkenaan melalui IVF menunjukkan niat untuk mewujudkan hubungan yang kekal dan tidak boleh putus dengannya.”
Hakim arah bagi separuh harta sepencarian atas pengorbanan isteri sepanjang berkahwin
Hakim turut memberikan separuh nilai aset sepencarian kepada isteri lelaki berkenaan dan mengatakan ia adalah pembahagian yang adil kepada wanita tersebut yang sudah mengorbakan kerjayanya dan sebagai hak untuk mendapat gaji atau dividen daripada perniagaan keluarga.
Kata Peters lagi dedikasi yang diberikan oleh isteri terhadap kebajikan keluarga merupakan satu pertimbangan kritikal.
“Membesarkan enam anak dan memelihara tiga cucu selama ini memerlukan masa, tenaga dan komitmen yang besar,” jelasnya.
Jelas hakim lagi, menerusi keterangan yang dikemukakan juga menunjukkan si isteri telah menjaga suami dan keadaan tidak sihat dan sebagainya.
Peters turut memberitahu pasangan itu sudah mendirikan rumah tangga sejak 1977 dan si isteri telah berkorban pelbagai perkara demi menyokong kerjaya dan perniagaan suaminya meskipun mempunyai kebolehan untuk berkerja dalam bidang profesional.
Isteri dakwa suami ada hubungan sulit sejak 2022
Sebelum ini, si isteri mendakwa suaminya mempunyai hubungan sulit dengan wanita simpanannya pada September 2022. Ekoran daripada perkara itu, dia kemudian memfailkan perceraian serta menuntut nafkah suami isteri.
Si isteri meminta separuh daripada nilai semua harta alih dan tak alih sepanjang perkahwinan mereka didirikan.
Dia juga berusaha untuk membawa wanita simpanan tersebut ke muka pengadilan untuk bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan meruntuhkan perkahwinannya.