
Rakaman CCTV Dedah Situasi Sebenar Budak 4 Tahun Diserang Anjing Liar [Video]
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada Sabtu (1 Mac) lalu, kecoh mengenai insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang parah akibat diserang sekumpulan anjing di Langkawi.
Dalam insiden di Kampung Dede Sungai Menghulu itu, kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan di kepala, badan dan kaki akibat digigit kumpulan haiwan itu sebelum berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada berdekatan.
Difahamkan kejadian berlaku ketika kanak-kanak berkenaan sedang bermain berhampiran rumahnya.
Si ibu kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi pada jam 12.30 hari yang sama.
Memetik The Star, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, ketika kejadian sekumpulan anjing dilaporkan mengelilingi dan menyerang anaknya sehingga mendatangkan kecederaan parah.
Insiden berkenaan mencetuskan perdebatan di media sosial di mana ada segelintir yang menyalahkan pencinta haiwan yang kerap melindungi haiwan liar dan ada juga yang tertanya-tanya mengapakah orang ramai lambat bertindak untuk menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.
Tular rakamanan CCTV sewaktu anjing serang budak 4 tahun
Terbaharu BuzzKini telah menerima rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sewaktu insiden serangan berlaku.
Apa yang mencuri perhatian, dalam CCTV yang diterima dari sumber yang enggan dikenali, kanak-kanak berkenaan dilihat berada di kawasan berkenaan secara bersendirian tanpa pengawasan orang dewasa.
Menerusi rakaman, pada mulanya kanak-kanak lelaki itu sedang berjalan ke arah sekumpulan anjing yang berada di bawah sebatang pokok.
Dia kemudian dilihat berlari menyebabkan kumpulan anjing berkenaan mengejarnya.
Namun selepas beberapa ketika, anjing-anjing itu berhenti dari mengejar dan meninggalkan kanak-kanak berkenaan tanpa sebarang kecederaan.
Kanak-kanak berkenaan yang sudah berhenti kemudiannya dilihat berpatah balik lalu mengejar anjing berkenaan menyebabkan dia akhirnya dikepung.
Dia yang cuba mempertahankan dirinya akhirnya diterkam lalu terjatuh hingga dipercayai menjadi punca kecederaan pada bahagian badannya.
Dia bagaimanapun bernasib baik apabila diselamatkan oleh seorang penunggang motosikal yang kebetulan sedang melalui kawasan berkenaan.
Bukan salah kanak-kanak atau anjing
Bersama-sama dengan rakaman itu, kami juga menemubual seorang ‘rakyat Malaysia yang prihatin’, yang berkongsi perspektifnya tentang isu itu. Dia menekankan bahawa orang ramai tidak sepatutnya menyalahkan kanak-kanak atau anjing berkenaan.
“Harus diakui insiden sebegini membangkitkan emosi yang kuat dalam masyarakat, terutamanya mengenai lambakan haiwan liar di persekitaran kita,” kata individu berkenaan.
Dia dalam masa sama turut menggesa orang ramai untuk menangani isu itu dengan perspektif yang menyeluruh, dan bukannya menumpukan pada fakta terpilih yang mungkin meningkatkan sentimen negatif sedia ada terhadap haiwan dan hidupan liar.