fbpx

Bukan Sekadar Laungan, Ini Maksud & Kisah Di Sebalik Laungan ‘Vel! Vel!’

Sebelum ini, kecoh mengenai seorang penyampai radio Era FM sedang menari sambil diiringi laungan Vel! Vel!.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Semalam (4 Mac), kecoh di media sosial isu mengenai tiga orang penyampai radio Era FM yang didakwa mempersendakan upacara agama Hindu.

Menerusi video tular itu, salah seorang penyampai radio berkenaan dikatakan sedang menari diiringi lagu Paqueta dan laungan ‘Vel! Vel!’ oleh seseorang yang berada di situ.

Perbuatan itu nyata menarik perhatian ramai khususnya penganut agama Hindu yang merasakan tindakan sebegitu seolah-olah mempersendakan ritual agama mereka.

Namun, Astro Audio dalam satu kenyataan terbaharu telah memohon maaf dan kesal atas apa yang berlaku. Mereka juga turut menggantung ketiga-tiga penyampai radio tersebut bersama dua kakitangan sehingga diberitahu kelak.

Pada masa yang sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menjelaskan pihaknya telah membuka kertas siasatan susulan enam laporan polis telah diterima berhubung insiden berkenaan.

Namun, di sebalik apa yang berlaku, ramai yang tertanya-tanya apakah sebenarnya maksud Vel! Vel! dan mengapakah tindakan penyampai radio meniru tarian mirip ‘Ring Entrance’ atlet Muay Thai, Miki Ghazali itu menjadi isu besar.

Memandangkan kami juga tidak mengetahui makna laungan tersebut – kecuali menontonnya dalam babak “Teropong ajaib” filem P. Ramlee, jadi kami telah membuat carian yang mungkin dapat membantu anda semua termasuk kami dalam memahami maksud perkataan tersebut mengikut perspektif penganut agama Hindu.

Baca Artikel Berkaitan: Dakwaan Persenda Agama Lain: Astro Audio Mohon Maaf, Rehatkan Nabil Ahmad, Azad Jazmin & Radin

Laungan Vel! Vel! Adalah Penghormatan Kepada Dewa, Sinonim Dengan Thaipusam

Hasial carian, kami mendapati penganut agama Hindu percaya Vel! Vel! bukan sekadar laungan sebaliknya ia melambangkan penghormatan kepada Dewa Murugan sebagai memperingati kejayaannya menghapuskan kejahatan.

Malah, Vel! Vel! juga membawa maksud lembing kemenangan. Manakala, tarian yang dilakukan penyampai radio itu pula didakwa sebagai tarian Kavadi yang biasanya dilakukan untuk upacara suci.

Satu yang pasti, laungan dan tarian ini amat sinonim dengan perayaan Thaipusam yang diraikan oleh masyarakat beragama Hindu di Malaysia.

Memandangkan ramai dari anda termasuk kurang mengetahui perkara ini, pasti ada yang tertanya-tanya apakah kaitan ungkapan Vel! Vel! dengan perayaan Thaipusam.

Thaipusam Rai Kemenangan Dewa Murugan

Secara ringkasnya, Thaipusam merupakan festival Hindu Tamil yang dirayakan pada hari bulan purnama pertama dalam bulan Thai iaitu bulan kesepuluh di dalam kalendar Tamil bertepatan dengan bintang Pusam.

Pada ketika ini, bulan penuh Thai akan berada pada kedudukan melintasi bintang terang bernama ‘Pusam’ dan dari situlah terhasilnya nama Thaipusam.

Bagi tahun 2025, Thaipusam baru sahaja berlangsung pada 11 Februari yang lalu.

Dewa Shiva Cipta Dewa Peperangan Untuk Kalahkan Surapadma

Asal usul perayaan Thaipusam ini dikaitkan dengan kisah purba mengenai makhluk jahat yang digelar golongan Asura bernama Surapadma yang berperang dengan para dewa.

Dek kerana para dewa sukar untuk mengalahkan Surapadma, para dewa telah meminta bantuan Dewa Shiva untuk menggunakan kuasa saktinya mencipta pahlawan unggul.

Dengan kuasa itu, Dewa Shiva berjaya mencipta Dewa Peperangan yang dikenali sebagai Murugan.

Menariknya, Dewa Murugan juga turut dikenali dengan nama Subramaniam, Velan, Kanthan dan Saravanan.

Isteri Dewa Shiva Kurnia Lembing Vel Kepada Dewa Murugan

Sebagai persediaan untuk menghapuskan Surapadma, isteri kepada Dewa Shiva yang dikenali sebagai Parvathi telah mengkurniakan senjata suci berupa lembing yang dipanggil Vel kepada Dewa Murugan.

Lembing sakti tersebut berjaya menumpaskan Surapadma. Malah, ketika makhluk jahat itu hampir mati di tangan Murugan, Surapadma sempat memohon keampunan.

Pengampunannya diterima dan dia telah bertukar menjadi Vahana yang berbentuk seekor burung merak serta menjadi tunggangan para dewa.

Laungan Vel! Vel! & Kaitannya Dengan Perayaan Thaipusam

Dari kisah inilah tarikh penyerahan kuasa berbentuk vel disambut dalam perayaan Thaipusam.

Malah, laungan Vel! Vel! sewaktu Thaipusam sebagai memperingati kejayaan Murugan menghapuskan kejahatan dan sebab itu jugalah Vel! Vel! dikenali sebagai lembing kemenangan.

Setiap kali berlangsungnya perayaan tersebut, akan adanya perarakan sempena memperingati peristiwa penyerahan Vel oleh Parvathi kepada Murugan dari Kuil Mariamman ke kuil Murugan.

Mengikut kepercayaan penganut Hindu, laungan ini bukanlah sengaja dilaungkan, sebaliknya ada makna tersirat.

Thaipusam Hari Pengampunan & Hapuskan Dosa Serta Tunaikan Nazar

Mengikut kepercayaan penganut Hindu lagi, perayaan Thaipusam juga merupakan hari pengampunan dan penghapusan dosa serta waktu membayar nazar untuk membersihkan jiwa.

Ada penganut agama Hindu akan mula berpuasa selama 48 hari untuk membersihkan jiwa mereka.

Ada juga yang akan melakukan upacara tertentu jika bernazar dan mahu hajat mereka dimakbulkan.

Contohnya seperti membawa susu dalam belanga yang dihias dengan daun serta benang pebagai corak.

Belanga itu kemudiannya akan dijunjung atas kepala dan dibawa dari luar hinggalah ke dalam kuil.

Golongan lelaki pula akan mencukur rambut mereka dan menyapu dengan serbuk cendana atau mewarnakan kepala mereka dengan warna kuning yang terhasil daripada kunyit.

Jangan tidak tahu, amalan ini juga merupakan salah satu cara mereka bernazar dan melupakan peristiwa yang menyedihkan.

Selain mencucuk besi ke dalam badan, salah satu cara untuk memohon keampunan atas dosa lalu adalah dengan mengusung Kavadi yang diperbuat daripada rod besi atau kayu serta datang dalam pelbagai bentuk dan saiz.

Hiasan utama Kavadi pula terdiri daripada bunga-bungaan, bulu burung merak yang diatasnya terletak patung Murugan. Saiz pula bergantung kepada orang yang menjunjung kavadi tersebut.

Jadi, dah terjawabkan maksud di sebalik laungan Vel! Vel! dan ia adalah laungan dalam ritual agama Hindu.

Baca Artikel Berkaitan: Ini Asal Usul & Kisah Sebalik Perayaan Hari Deepavali

Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Perkara Yang Wajib Dilakukan Penganut Hindu Semasa Sambut Perayaan Deepavali

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.