
Sering Kongsi Konten Memasak Di TikTok, Kakcikyah Bina Nama Di Usia 74 Tahun [Video]
Menerusi video dikongsikan, kelihatan Kakcikyah berkongsi video yang begitu bersahaja dan membuatkan pengikut suka melihatnya memasak.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tak dinafikan media sosial pada hari ini telah menjadi satu platform kepada orang ramai untuk membina kerjaya mereka.
Malah setiap hari kita dapat melihat ramai influencer yang mula menempa nama disebabkan hasil kreatif mereka membina konten antaranya Khairul Aming, Sofyank, serta banyak lagi.
Mereka ini bukan sekadar berkongsi hasil kreatif bahkan turut melakar nama Malaysia ke peringkat antarabangsa apabila populariti yang diraih disalurkan dengan kolaborasi bersama artis antarabangsa dan sebagainya.
Wanita warga emas mula dikenali selepas sering kongsi video memasak
Perkara sama turut berlaku kepada seorang wanita warga emas yang berusia 74 tahun ini apabila dia semakin dikenali selepas video memasaknya menjadi tular di TikTok.
Nariah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Kakcikyah telah menjadi tumpuan ratusan ribu pengikutnya kerana dia sering berkongsi resipi memasak seperti ‘orang lama’.
Populariti serta perhatian yang diberikan oleh pengikut warga emas ini di media sosial secara tidak langsung menunjukkan usianya bukanlah penghalang untuk dia meraih kejayaan.
Hanya rakam sebagai hobi sehingga raih pengikut 200 ribu di TikTok
Malah dia awalnya hanya merakam video masakan sebagai hobi. Selain Kakcikyah, wanita ini juga digelar sebagai Makcik Karipap dan kini sudah mempunyai sebanyak 200 ribu pengikut di TikTok.
Apa yang lebih menarik, wanita ini turut ditawarkan dengan pelbagai peluang untuk membuat ulasan produk.
Mula dikenali selepas kongsi resipi kerabu mangga Thailand
Jelas wanita yang berasal dari Mata Ayer, Perlis ini kerjayanya sebagai influencer bermula pada pertengahan tahun lalu sewaktu berkongsi resipi serta cara-cara membuat kerabu mangga Thailand di akaun rasminya.
“Saya pun tak sangka orang ramai suka dengan celoteh saya ketika memasak, video resipi kerabu mangga ini telah dilihat oleh lebih sejuta pengguna TikTok, semuanya adalah untuk isi masa lapang saya.
“Saya memang minat memasak dan merakam video, Saya buat sendiri saja, anak-anak pun suruh saya belajar untuk gunakan TikTok bagi isi masa lapang. Dari tak tahu guna telefon, sekarang dah pandai rakam dan balas komen,” ujarnya, lapor Kosmo.
Warga emas ini mempunyai seramai empat orang cahaya mata dan tujuh orang cucu. Dia juga menganggap populariti yang diraih ini sebagai satu rezeki dari Allah sempena bulan Ramadan ini memandangkan sebelum ini dia pernah melakukan banyak pekerjaan.
Kakcikyah sering tampil dengan video bersahaja
Bukan hanya itu, menerusi semakan kami kelihatan Kakcikyah berkongsi video yang bersahaja di mana dapat dilihat ia tidak disunting dan real.
Malah apabila menjadi penonton ia seperti anda sedang melihat nenek di kampung yang sedang memasak.
Meskipun ada beberapa videonya tidak mempunyai kualiti gambar atau suara yang baik namun pengikutnya akan sentiasa cuba untuk memahami apa yang disampaikan oleh warga emas ini.
Telatahnya yang comel juga membuatkan pengikut senang melihat Kakcikyah dalam setiap videonya. Malah baru-baru ini, kelihatan Kakcikyah turut berkolaborasi bersama PakMat Western dalam berkongsi resipi Nasi Goreng Kambing Perap.
Rata-rata video dimuat naik oleh Kakcikyah mendapat jutaan tontonan.
@kakcikyah4 Rezeki pertama bulan Ramadan @pakmatwesterncafee @unajerrr_ #kampungmelayu
♬ original sound – kakcikyah – kakcikyah
@kakcikyah4 Masak masak Di bulan ramadan
♬ original sound – kakcikyah – kakcikyah