
“Jom Support!” – Mimi Fly Dipuji Tampil Dengan MV ‘Serumpun’ Versi Baharu Selepas Ditegur Berkemban [Video]
Krew Mimi Fly menyunting semula muzik video tersebut kepada versi yang baharu susulan penggunaan baju seperti berkemban yang dikatakan tidak sesuai dengan konsep Hari Raya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Penyanyi rap, Mimi Fly sebelum ini (14 Mac 2025) telah memuat naik muzik video lagu bersempena Raya Aidilfitri ini yang berjudul ‘Serumpun’.
Namun tidak sampai beberapa hari tular, video tersebut telah mendapat kecaman ramai kerana penampilan Mimi yang berkemban dan menampilkan pemakaian yang dikatakan kurang sopan di bulan Ramadan.
Susulan kritikan dan teguran daripada pelbagai pihak termasuklah Mufti Wilayah Persekutuan, Mimi atau nama sebenar, Shamimi Amalina Norhisham, 38, telah menurunkan muzik video itu.
Muzik Video ‘Serumpun’ Diubah & Dimuat Naik Semula
Terbaharu, Mimi menerusi platform YouTube telah memuat naik semula muzik video yang diubah suai dengan penampilan dan pakaian yang sopan.
Mimi yang juga bekas bekas anggota kumpulan One Nation Emcees menyunting semula klip-klip menunjukkan dia berkemban kepada pakaian yang lebih tertutup. Busana baharu yang ditampilkan oleh Mimi dipercayai mendapat inspirasi daripada klasik Melayu, Jawa serta etnik Thai.
Bukan itu sahaja, babak sekumpulan individu melakukan ‘break dance’ di halaman sebuah rumah kampung juga telah dikeluarkan dari video asal.
Menerusi semakan kami, muzik video ini hampir mencecah 20,000 tontonan meskipun baharu satu jam dimuat naik setakat artikel ini ditulis (19 Mac).
Mimi Fly Akan Sentiasa Tampil Dengan Lagu & Karya Berkualiti
Menurut Mimi di laman Instagram pula, muzik video ini digubah oleh dirinya sendiri dengan mengambil ilham daripada kepelbagaian budaya di alam Nusantara zaman-berzaman.
“Sebagai anak Melayu, bukanlah niat Mimi menghina budaya dan agama kita dan sebagai anak seni, Mimi akan sentiasa memastikan karya Mimi diterima, berkualiti dan memberi makna yang dalam kepada semua,” ujar penyanyi itu.
Ramai Puji Mimi Fly Kerana Akur & Baiki Kesilapan
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai memberikan reaksi yang positif terhadap muzik video ‘Serumpun’ versi baharu ini.
“Tak mati dek keji tak hidup dek puji. Terima teguran dan perbaiki. Terbanglah lebih tinggi Mimi Fly! Peminat karyamu tetap berdiri teguh dibelakangmu,” kata seorang lelaki.
Malah, ramai juga memuji sikap Mimi Fly yang sedia menerima pandangan dan kritikan dengan hati terbuka.
“Akhlak dia tinggi. Dia terima teguran dan perbaiki. Orang macam ni kita kena sokong. Go girl!” ujar seorang pengguna YouTube.
Sementara itu, warganet turut mengajak orang ramai untuk menyokong lagu Serumpun ini dan menaikkan lagi jumlah tontonan muzik video terbaharu itu.
“Jom guys support versi baharu Serumpun. Lagu penuh vibes dan angkat seni bahasa isyarat. Lirik penuh makna. Kasi trending korang,” kata seorang netizen.




Mimi Fly Minta Maaf, Hanya Ingin Berkarya
Terdahulu, Mimi Fly telah tampil memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dan tersinggung dengan muzik video Serumpun versi lamanya. Menurut Mimi, dia menerima setiap teguran dengan seadanya.
“Kalau Mimi buat ada yang tersinggung sebab karya Mimi, saya minta maaf. Bukan niat Mimi. Mimi cuma obses dengan karya Mimi sekarang. Mimi dah berdiam lama. Bila nak mula balik (lancarkan lagu), Mimi study balik Mimi daripada mana, keturunan dan darah.
“Mimi ada darah serumpun, ada Minang, Indonesia, Vietnam dan Siam. Mungkin Mimi tolak tepi ni lagu raya jadi kalau Mimi buat orang tersinggung, Mimi minta maaf. Insya-Allah jika Mimi buat lagu raya lain kali, saya akan perbaiki,” katanya.
Mimifly yang positif. Lurve ❤️ #Serumpun pic.twitter.com/26uDL6QNYa
— Hailan Hamid (@hailanhamid) March 17, 2025
Baca Artikel Berkaitan: [Watch] Mimi Fly Apologises For “Serumpun” Raya Music Video, Grateful For Feedback