fbpx
Now Reading
“Abah Bangga Dengan Hang”- Kanak-kanak Sebak Dapat Keputusan UPKK Cemerlang [Video]

“Abah Bangga Dengan Hang”- Kanak-kanak Sebak Dapat Keputusan UPKK Cemerlang [Video]

Menerusi video yang dikongsikan kelihatan Harith terus menangis sebaik melihat keputusan cemerlang yang diperoleh untuk ujian berkenaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setiap individu yang bergelar sebagai anak pasti ingin berjaya dalam setiap bidang yang diceburinya.

Malah sejak dari kecil kita dapat melihat bagaimana ibu bapa menekankan betapa pentingnya pelajaran serta menjadi individu yang berjaya untuk masa depan yang lebih baik.

Oleh itu, tidak hairanlah jika ramai pelajar yang berusaha keras untuk menuntut ilmu serta melakukan ulang kaji untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang agar dapat mencapai cita-cita mereka.

Pelajar menangis selepas dapat tahu keputusan UPKK

Baru-baru ini, seorang pelajar dilihat mengalirkan air mata sebaik mengetahui keputusan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK).

Menerusi video yang dikongsikan oleh Mizan di TikTok, awalnya kelihatan si ayah bertanya kepada anak lelakinya dikenali sebagai Harith adakah dia tahu keputusan UPKK sudah boleh disemak?

Harith kemudian dilihat seperti tidak mengetahui mengenai perkara itu. Susulan itu, si ayah kemudian memberikan telefon bimbit dan meminta kanak-kanak tersebut untuk menyemak keputusan yang dimilikinya.

“Hang (awak) buka link (pautan) dia tu, tapi sebelum tu abah nak bagitahulah kalau keputusan tak elok. Reda jelah, nak buat macam mana kita dah usaha.

“Bersyukurlah dengan seadanya, kalau cemerlang okay lah alhamdulillah syukur,” kata si ayah.

Target dapat 7 hingga 9A bagi keputusan UPKK

Mizan turut bertanya kepada Harith berapakah target yang disasarkan untuk keputusan UPKK berkenaan.

Harith kemudian menjawab dia menjangkakan akan mendapat sekitar tujuh hingga sembilan A namun dalam masa sama tidak yakin dengan target yang diletakkan itu kerana bimbang jika ia sebaliknya.

Sebaik memasukkan nombor angka giliran peperiksaannya, Mizan kemudian meminta anak lelakinya itu untuk membaca bismillah serta berselawat untuk menenangkan hati.

Harith lalu mengikuti pesanan bapanya dan perkara itu turut diikuti oleh adik lelakinya yang turut berada di situ. Malah kelihatan si adik turut mendoakan kejayaan abangnya.

Sebaik sahaja keputusan dipaparkan pada skrin telefon bimbit, kelihatan Harith terus menangis teresak-esak.

Adik turut bersorak gembira abang dapat keputusan cemerlang

Manakala si adik pula bersorak kegembirann meraikan kejayaan abang yang berjaya mendapat 9A untuk keputusan UPKK.

“Tahniah, tahniah. Hang hebat, mari peluk abah. Hang hebat bang. Hang hebat hang memang power.

“Hang hebat Harith, abah bangga dengan hang,” kata si ayah sambil memeluk anak lelakinya.

Si ayah turut mengucapkan alhamdulillah sebagai tanda bersyukur atas keputusan cemerlang yang diperoleh anaknya.

Ramai ucap tahniah kepada pelajar

Melihat di ruangan komen, ramai yang turut mengucapkan tahniah kepada Harith atas keputusan cemerlangnya dalam ujian tersebut.

Tidak kurang juga ada berkongsi keputusan anak-anak mereka yang juga mengambil peperiksaan sama.

Ada juga yang menyifatkan pelukan yang diberikan oleh ayah selepas Harith mengetahui keputusannya merupakan satu perkara yang cukup mahal.

Malah ada yang turut memaklumkan mereka juga sebak apabila melihat reaksi Harith apabila mengetahui dia mendapat keputusan cemerlang.

“Ucapan keluar dari kata ibu bapa iaitu ‘ayah bangga dengan kamu’ sangatlah berharga.”

“Pelukkan mahal seorang ayah, semoga adik Harith jadi anak yang baik untuk keluarga”

“Alhamdulillah, tahniah selepas ini sambung Mumtaz PSRA 2025”

“Semoga terus maju jaya lagi adik dunia dan akhirat,”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.