fbpx
Now Reading
El Azman Nafi Ciplak Rekaan Samping Suami Tyra Kamaruzzaman, Tampil Beri Penjelasan

El Azman Nafi Ciplak Rekaan Samping Suami Tyra Kamaruzzaman, Tampil Beri Penjelasan

Menurut El Azman, motif keris telah lama wujud dalam seni tekstil tradisional Melayu, termasuk dalam rekaan songket batik, samping, dan ukiran kayu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai isu dakwaan Tyra Kamaruzzaman bahawa reka bentuk kain samping Elrah Exclusive adalah ditiru daripada jenama pakaian milik suaminya, Emran Rijal.

Tyra mendakwa reka bentuk samping tersebut adalah hasil warisan turun-temurun oleh keluarga suaminya sejak tahun 1890.

Dia turut mendakwa suaminya telah menghubungi pengasas Elrah Exclusive, El Azman untuk bertemu dan berbincang mengenai isu terbabit, namun ada sahaja alasan diberikan pihak sana.

El Azman tampil nafi tiru rekaan samping suami Tyra

Semalam (25 Mac), El Azman akhirnya tampil menerusi satu kenyataan memberi penjelasan berhubung dakwaan berkenaan.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, El Azman menafikan bahawa samping Elrah Exclusive telah meniru reka bentuk yang didakwa sebagai hak cipta eksklusif oleh pihak tertentu.

“Setelah meneliti dakwaan yang dibuat, kami ingin menegaskan beberapa perkara penting seperti berikut,” katanya.

Motif Keris adalah warisan budaya, bukan hak eksekutif individu

Menurutnya, motif keris telah lama wujud dalam seni tekstil tradisional Melayu, termasuk dalam rekaan songket batik, samping, dan ukiran kayu.

“Seperti juga motif pucuk rebung, motif bunga tanjung, motif kaligrafi, motif matahari dan lain-lain.

“Motif keris bukanlah sesuatu yang dicipta oleh satu individu atau keluarga tertentu, tetapi merupakan sebahagian daripada warisan budaya Nusantara. Oleh itu, motif ini tidak boleh didakwa sebagai milik eksklusif mana-mana pihak,” katanya.

Pendaftaran hak cipta tidak membuktikan pemilikan sejarah

Menurutnya lagi, pihaknya mendapati bahawa pihak yang mendakwa hak ke atas motif keris ini hanya mendaftarkan hak cipta mereka pada tahun 2025, berdasarkan nombor notifikasi CRAR2025W00596.

“Ini bermakna mereka baru sahaja mendapatkan perlindungan hak cipta dan tidak mempunyai bukti rasmi bahawa mereka telah memiliki motif ini sejak tahun 1890 seperti yang didakwa.

“Hak cipta hanya melindungi reka bentuk spesifik yang telah didaftarkan dan bukan konsep atau elemen umum dalam seni tradisional,” katanya lagi.

Reka bentuk Elrah Exclusive berdiri sendiri dan tidak meniru mana-mana pihak

Ujar El Azman, koleksi Samping Raya Elrah Exclusive 2025 telah melalui proses reka bentuk dalaman tersendiri yang menyesuaikan elemen tradisional ke dalam fesyen kontemporari.

Jelasnya, motif keris yang digunakan dalam koleksi Elrah Exclusive adalah hasil interpretasi tersendiri dan bukanlah salinan langsung daripada mana-mana karya berdaftar.

“Selagi motif yang digunakan tidak meniru secara tepat karya yang telah didaftarkan di bawah hak cipta, ia bukan satu kes pelanggaran hak cipta,” ujarnya.

Dakwaan timbul hanya selepas koleksi samping Elrah Exclusive dipasarkan

Berkongsi lanjut, El Azman turut mempersoal mengapa pihak di sana hanya tampil selepas koleksi samping berkenaan dilancarkan.

“Jika benar motif ini telah wujud dalam pemilikan eksklusif mereka sejak tahun 1890, mengapa tiada sebarang pendaftaran hak cipta atau dokumen rasmi yang membuktikannya sebelum ini?

“Perkara ini menimbulkan persoalan sama ada dakwaan ini dibuat atas dasar oportunis semata-mata,” kata El Azman.

Elrah Exclusive menghormati hak harta intelek dan warisan budaya

Sebagai jenama fesyen yang menjunjung nilai warisan dan keaslian dalam reka bentuk, Elrah Exclusive sentiasa menghormati hak harta intelek dan warisan budaya, kata El Azman.

“Kami menolak sebarang dakwaan yang tidak berasas dan akan mempertahankan hak kami dalam menggunakan elemen budaya yang telah lama menjadi sebahagian daripada seni dan identiti masyarakat Melayu,” katanya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.