
Kencing Berbuih? Doktor Kongsi Tanda-tanda Awal Buah Pinggang Mula Rosak [Video]
Pakar perubatan yang dikenali sebagai Dr Hanif itu menasihati orang ramai untuk segera bertemu doktor sekiranya ada tanda-tanda ini.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
“Jual buah pinggang untuk beli iPhone.”
Korang pasti pernah dengar lawak sebegini bukan? Hakikatnya buah pinggang sememangnya boleh dijual beli dengan harga yang tinggi.
Hal ini kerana buah pinggang atau ginjal merupakan antara organ yang paling banyak bekerja keras untuk memastikan setiap bahagian tubuh badan dapat berfungsi dengan sempurna.
Sekiranya buah pinggang gagal berfungsi dengan betul, ia boleh menjejaskan otot, saraf dan tisu badan yang lain.
Doktor kongsi tanda-tanda buah pinggang mula rosak
Baru-baru ini, seorang doktor di sebuah klinik dikenali sebagai Dr Hanif Arshad berkongsi tanda-tanda awal sekiranya buah pinggang seseorang sudah mulai rosak.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, Dr Hanif menasihati orang ramai untuk segera bertemu pegawai perubatan sekiranya ada tanda-tanda ini.
Jadi korang jangan ambil ringan tentang tanda-tanda buah pinggang ini, sebaiknya dapatkan kepastian mengenai kesihatan diri lebih awal sebelum terlambat.
Kaki dan muka membengkak, rasa sesak nafas?
Menurut Dr Hanif, kaki mula membengkak merupakan antara tanda buah pinggang rosak, lebih teruk lagi pembengkakkan boleh membawa hingga ke muka.
Jelasnya, hal ini kerana air kencing yang ada dalam badan tidak dapat keluar seperti dahulu atau keluar dalam kuantiti yang sedikit.

Kongsinya lagi, sesak nafas juga merupakan antara tanda-tanda seseorang itu mungkin mempunyai masalah buah pinggang.
“Ada satu tahap itu air banyak sangat dalam badan dan ia mula pergi pada paru-paru, SPO2 (nilai saturasi oksigen) mula turun, oksigen kena pakai dan paling teruk perlu masuk wad,” katanya.
Rasa tak bermaya, jantung berdebar, badan gatal-gatal dan kencing berbuih?
Menurutnya lagi, rasa tidak bermaya, jantung berdebar serta rasa gatal-gatal pada badan juga mungkin petanda buah pinggang seseorang itu sudah ingin rosak.
Katanya, perkara ini berlaku berkemungkinan kerana hemoglobin (hb) sudah menjadi rendah, manakala urea pula semakin tinggi.

Akhir sekali, Dr Hanif menjelaskan bahawa air kencing yang berbuih juga tidak boleh diambil ringan kerana ia mungkin petanda buah pinggang seseorang ingin mulai rosak.
“Kalau dah perasan (air kencing berbuih) sebaiknya pergi ke klinik dan periksa air kencing, kalau ada protein kita boleh rawat awal dan insyaAllah buah pinggang tidak akan jadi rosak,” katanya lagi.
Apa beza penyakit buah pinggang dan kegagalan buah pinggang?
Dalam pada itu, memetik Pantai Hospitals, terdapat perbezaan antara penyakit buah pinggang (CKD) dan kegagalan buah pinggang.
Penyakit CKD adalah keadaan buah pinggang rosak dan keupayaannya untuk menapis sisa dan cecair keluar daripada darah telah terjejas. Ini menyebabkan sisa terkumpul di dalam badan.
Manakala kegagalan buah pinggang atau penyakit buah pinggang peringkat akhir (ESRD) pula adalah keadaan di mana ginjal telah berhenti berfungsi dengan baik, jadi pesakit perlu menjalani dialisis atau pemindahan buah pinggang untuk terus hidup.